Semua pihak sudah sepakat supaya Dun dibubarkan. Pemimpin MCA dan Gerakan sudah membuat pendirian, Tengku Razaleigh juga telah memberi pandangan. Suhakam dan pengamal undang-undang juga mahukan Dun dibubarkan sebagai jalan keluar. Yang tidak mahu kerana percaya BN akan kalah hanyalah Tun Dr Mahathir. MINGGU lepas suasana politik negara kita agak aneh. Dalam suasana tegang kerana penyalahgunaan pasukan keselamatan untuk menjaga 'keselamatan' kuasa politik Umno/BN, tiba-tiba 13 tahanan ISA dibebaskan. Saya amat kesal sekali dengan kejadian pencerobohan oleh satu kumpulan yang dikatakan 'pasukan keselamatan' ke atas Dun Perak, sedangkan di luar pejabat SUK Perak, sejumlah polis sedang menyekat kebebasan rakyat untuk bergerak, berhimpun dan berpendirian politik. Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah negara kita sidang Dun dicemari oleh penceroboh yang bersenjata. Hal ini tidak akan berlaku sekiranya BN tidak melakukan rampasan kuasa pada Februari 2009 lalu. Rampasan kuasa ini walaupun kelihatan seperti mendapat restu istana, tetapi rakyat telah membuat penghakiman bahawa ia adalah sesuatu yang tidak baik. Kerana pendirian tegas rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang menolak politik ugut, culik, paksa dan rasuah yang diamalkan oleh Umno/BN, maka ketika bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti, pemimpin BN mempertikaikannya. Bahkan, Najib Razak awal-awal sudah membayangkan kemungkinan BN tidak bertanding. Sebabnya hanya satu... takut kalah lagi. Dalam keadaan politik ketakutan ini, nampaknya M Manoharan, Adun Kota Alam Shah lebih licik apabila beliau membuat ugutan untuk meletakkan jawatan jika tidak dibebaskan daripada tahanan ISA. Kerana terlalu takutkan pilihan raya kecil, Najib Razak tidak ada pilihan melain membebaskan Manoharan. Duabelas yang lain mendapat durian runtuh daripada pembebasan ini. Cerita tentang Penanti dan ISA ini menyinggung hidup saya kerana saya pernah ditahan ISA dan pernah juga bertanding di Parlimen Permatang Pauh yang Dun Penanti terletak di dalamnya. Kerana sindrom takutkan pilihan raya atau lebih tepat lagi takutkan penghakiman rakyat, BN melakukan taktik kotor untuk mendapatkan kuasa. Dulu mereka merampas kerajaan Perak, baru-baru ini mereka melakukan rampasan jawatan Speaker Dun Perak secara tidak berperlembagaan. Keadaan sudah menjadi kecoh kerana Dun Perak tidak dapat bersidang dengan baik dan sempurna, bahkan dianggap tidak sah. Umno/BN terpaksa mengadakan sidang tegesa-gesa ini untuk mengelakkan Dun terbubar dengan sendiri kerana sudah hampir enam bulan tidak bersidang. Dan mereka berusaha dengan cara yang jahat untuk menlantik Speaker haram, R Ganesan dengan tujuan membolehkan mereka mengemukakan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Telahan mereka memang tepat kerana selepas sidang tersebut, mahkamah telah mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar yang sah. Maknanya Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar haram! Kini Umno tidak ada jalan lain kecuali memperalatkan mahkamah untuk menjatuhkan Nizar. Masalahnya kedudukan Speaker Dun masih tidak jelas. Jika Dun brsidang juga, ia akan menimbulkan keadaan politik yang lebih kecoh terutama sekiranya undi tidak percaya dibuat. Bukan soal Speaker, tetapi tentang kedudukan Zambry Abdul Kadir. Jika BN membuat usul undi tidak percaya kepada Nizar, maka dengan sendirinya mereka memperakui bahawa tindakan mereka merampas kuasa dan melantik Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah dan haram di sisi undang-undang. Kerja buat Zambry sebagai Menteri Besar semenjak 6 Februari 2009 adalah haram juga. Gaji yang diambil oleh Zambry juga haram. Di mana maruah dan air muka Zambry sebagai Menteri Besar haram dalam isu ini. Ia bukan soal pandangan rakyat atau pendirian mahkamah, tetapi pengakuan Umno/BN sendiri yang akan dibuat melalui undi tidak percaya itu. Undi tidak percaya hanya dibuat kepada Menteri Besar yang sah. Tidak pernah berlaku undi tidak percaya dikemukakan kepada bekas Menteri Besar atau kepada orang lain yang bukan Menteri Besar. Ini bermakna usul undi tidak percaya jika berlaku adalah satu pengiktirafan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sebenar. Dan sekiranya Nizar berjaya disingkirkan melalui undi tidak percaya, ini bermakna Zambry kena mengangkat sumpah semula kerana sumpah yang lama itu tidak sah hukumnya. Mana mungkin seseorang Menteri Besar itu dikenakan undi tidak percaya selepas Menteri Besar baru dilantik, melainkan dilantik Menteri Besar baru sesudah Menteri Besar lama dijatuhkan. Sumpah yang lama itu tidak laku, tidak sah dan haram. Walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, namun kedudukan Zambry tetap haram. Sekiranya Zambry memilih untuk menjatuhkan Nizar melalui undi tidak percaya dan dia mengangkat sumpah semula, ini bermakna Zambry memilih untuk memalukan Tuanku Sultan Perak. Baginda sudah tentu berasa malu kerana tindakan baginda memanggil Zambry mengangkat sumpah dahulu dianggap tidak sah, sedangkan baginda adalah bekas Ketua Hakim Negara. Proses mengenakan undi tidak percaya ini dalam apa keadaan pun akan memalukan Sultan Perak. Pertama, baginda akan tercemar kerana telah melantik Zambry secara haram; kedua, baginda mendapat malu kerana mahkamah telah memutuskan Nizar yang dipecat oleh baginda sebagai Menteri Besar yang sah; dan ketiga baginda akan dimalukan lagi apabila Dun tidak mengiktiraf keputusan baginda dengan membuat usul tidak percaya kepada Nizar. Dalam apa keadaan pun, baginda akan tercemar kerana permainan politik kotor BN yang didalangi sendiri oleh Najib Razak. Tuanku Sultan Perak hanya ada satu pilihan untuk membersihkan nama baginda dan memulihkan keyakinan rakyat kepada istana, sekali gus menamatkan krisis politik ini iaitu dengan memperkenankan permohonan membubarkan Dun. Semua pihak sudah sepakat supaya Dun dibubarkan. Pemimpin MCA dan Gerakan sudah membuat pendirian, Tengku Razaleigh juga telah memberi pandangan. Suhakam dan pengamal undang-undang juga mahukan Dun dibubarkan sebagai jalan keluar. Yang tidak mahu kerana percaya BN akan kalah hanyalah Tun Dr Mahathir. Pemangku Sultan Perak sudah memberitahu bahawa istana berada di atas politik. Maknanya baginda tidak memihak. Sebagai ketua negeri, sudah tentu baginda mengutamakan rakyat Perak. BN berkata mereka mendahulukan rakyat juga dan inilah masa untuk membuktikannya. Jika Sultan Perak mengikut pendapat Mahathir yang tidak mahu pilihan raya, baginda akan dilihat memihak. Tetapi jika baginda membubarkan Dun semua rakyat akan berpuas hati kerana hak memilihkan kerajaan dikembalikan kepada rakyat, bukannya dengan membeli wakil rakyat. |
Monday, May 18, 2009
Apabila yang haram jadi Menteri Besar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment