Tuesday, April 28, 2009

Sekarang Baru Tahu ,Siapa Kawan Dan Lawan



Oleh Misbahul Munir

Setahun berkhidmat sebagai SETPOL YAB Menteri Besar Perak, pejabat saya sentiasa didatangi oleh orang ramai yang samada mahu bertemu janji dengan MB atau berjumpa dengan saya. Mereka datang ada yang sekadar bertanya khabar dan yang paling banyak memohon supaya dapat dipanjangkan dan diberi sokongan permohonan tanah, balak, proposal projek, aduan dan sebagainya.



Berbagai latar belakang orang yang datang jumpa saya, ada yang memang saya kenali, dan yang paling ramai yang saya tidak kenali. Orang-orang Besar Raja termasuk yang mengaku kaum kerabat Raja pun ada datang ke pejabat. Semua saya layan dengan baik, mereka datang dengan harapan yang tinggi, dan saya pula tidak berani berjanji apa-apa terhadap harapan mereka, sekadar akan memanjangkan dan memberi sokongan untuk pertimbangan MB.

Yang menarik, semua mengaku penyokong kuat PR, tidak ada yang mengaku penyokong BN walaupun saya tahu mereka itu orang kuat BN. Saya tidak pula pernah bertanya latar belakang pendirian politik mereka dan sikap mereka kepada kerajaan PR. Mereka sendiri yang membuat pengakuan bahawa mereka penyokong kuat calon PR, berkempen secara senyap-senyap, ahli keluarganya semua orang bulan, calon itu kawan baiknya, Hj Nizar itu kawannya dulu di Kuala Lumpur, di Penang, di Kampar dan macam-macam lagi. Saya sekadar tersenyum dan ucapkan terima kasih di atas sokongan mereka.

Mereka juga yang bercerita dan membeza-bezakan kerajaan BN dengan PR sekarang. Dulu, kata mereka, nak jumpa setpol bukan senang, apatah lagi nak jumpa MB. Sekarang, tak payah temujanji pun boleh jumpa setpol, kalau nasib baik, boleh pulak jumpa MB. Saya kata, kalau nak senang jumpa MB, pergi solat jamaah Zohor di surau SUK, Insya Allah kalau MB tak ke mana hari tu, mesti dapat jumpa MB atau makan tengahari di kantin lepas Zohor, Insya Allah dapat jumpa MB.

Sebahagian dari permohonan mereka, ada yang pada pertimbangan MB atau MMK wajar diluluskan, maka luluslah permohonan mereka tanpa mengambil kira fahaman politik, agama dan bangsa. Salah seorang bekas EXCO yang keluar PKR, cukup kuat anti UMNO dan anti MCA Cina. Asalkan sahaja pemohon itu dikenali sebagai UMNO atau Cina MCA, dia pasti akan menentang, tak setuju bagi projek pada orang UMNO atau Cina. Setiap kali jumpa saya, itulah yang diingatkan, sebarang permohonan dari UMNO jangan harap disokong, bagi je pada orang kita maknanya orang PKR atau PAS. Itu kata YB Jamaluddin. Sekarang UMNO BN yang beliau sangat anti itu disokongnya untuk menumbangkan kerajaan PR. Kita nak kata apa pada orang ini agaknya ?.

Apabila kerajaan PR dijatuhkan oleh BN dengan cara haram, hanya sebahagian kecil sahaja dari kalangan mereka yang bersimpati, mereka datang berkunjung ke kediaman MB, hantar mesej dan telepon saya dan juga MB, mereka lahirkan rasa simpati dan tetap menyokong PR. Sebahagian besar yang lain, mesej pun tidak, telepon pun tidak, datang berkunjung tunjuk muka apa lagi lah. Dengar cerita, mereka ni jugalah yang sekarang jadi pengampu kerajaan haram BN. Mereka ini sekarang jugalah yang menyindir dan memerli Dato' Seri di belakang, berdepan tak pula berani.

Dalam majlis-majlis keraian bersama Tuanku, Dato' Seri Hj Nizar akan menghadirinya sekiranya dijemput. Dalam majlis tersebut, seperti biasa, Hj Nizar akan bersalaman dengan semua tetamu-tetamu kenamaan termasuk kaum kerabat dan Orang-orang Besar. Kalau dulu, Sebahgaian Orang-orang Besar ini boleh bersalaman dan bergurau senda dengan Hj Nizar, sekarang mandang pun idak, kata sumber yang saya sangat percaya akan kebenarannya sebab orang itu pun ada dalam majlis-majlis tersebut, "bukan sahaja tak mandang, diperli dan disindirnya Hj Nizar, sakit hati aku, tak selera lansung aku nak makan", kata sahabat kita itu.

Alhamdulillah, berlakunya rampasan kuasa ini ada hikmah di sebalik peristiwa terkutuk ini. Antaranya barulah kita sedar siapa sebenar kawan ?, siapa sebenar lawan ?, Siapa pula yang munafik ?.

4 comments:

A Mum Of Three Mohd said...

Salam saudara Misbah.

Itulah dunia lumrah manusia. Itu nama nyer kawan masa senang ,kawan masa berada, yang mahu mengena. Bersabor aje ler....

Tak berkawan dengan orang macam ni pun kita tak rugi apa-apa. Katakan saja pada mereka..

"Boleh jalan lah lu!!!!"

IbnAbdHalim said...

Salam saudara,

Antara tiga golongan yang disebut Allah dalam awal Surah Al-Baqarah yang paling sedikit ialah yang pertama. Yang kedua teramai sekali ialah golongan kuffar yang kita boleh berkerjasama dengan bersyarat, tapi golongan ketiga yang selalu mengunting dalam lipatan ialah yang paling bahaya sekali. Yang perlu pengawasan teliti ialah golongan ini. Maklum sajalah musuh dalam selimut. Keturunan Abdullah ibn Ubay ibn Salul katakan. Kalau kita tak berhati-hati nanaslah kita.

anakjatiperak said...

Kawan bukan selamanya kawan, musuh bukan selamanya musuh.Dulu bermusuh, la ni berkawan, dulu berkawan la ni bermusuh. begitulah kalau dah masuk dunia politik.kena terima hakikat. namun yang penting, kalau mahu disanjung dan dihormati, kita mesti berpegang kepada PRINSIP. namun prinsip juga kenalah yang tidak bertentangan dengan Allah dan Rasul. Selamat dunia akhirat. Takbir.

AnakWarisan said...

Salam semua,
Saya akui kata-kata tuan lebih mudah berurusan dengan pakatan rakyat berbanding bn.saya sendiri pernah ke bangunan suk darul ridzuan untuk berjumpa dengan yb a.sivanesan.pada mulanya saya cuma ingin membuat temu janji tetapi saya telah di beritahu oleh pegawai yang bertugas saya boleh berjumpa terus yb a.sivanesan.
sudah menjadi asam garam di dunia ini semasa berpangkat dan berjabatan.walau berjuta kesalahan dan pembohongan di lakukan tapi berpangkat dan berjabatan orang akan tetap sanjung di puja.tetapi kalau menjadi awam tanpa pangkat dan jabatan walau pun jujur tatap akan di pandang macam kucing kurap.

Search This Blog