Wednesday, April 29, 2009

Perkukuh tarbiyah untuk survival PAS



Oleh ABDUL SHUKUR HARUN
DI tengahGo to fullsize image-tengah suasana politik yang bergolak dan tidak menentu, ketika musuh politik PAS dalam keadaan lemah dan sangat bermasalah, ketika PAS berada di dalam kedudukan paling baik, diterima dan dihormati oleh pelbagai pihak, ada aspek yang sewajarnya diperhatikan sungguh-sungguh oleh pemimpin dan pendukung setia semua peringkat.


Aspek ini ialah tarbiyah, pembentukan syahsiah pendukung jemaah. Persoalan tarbiyah sentiasa berbangkit baik pada Muktamar PAS atau pertemuan-pertemuan lain. Ulama tidak putus-putus digantungkan harapan supaya terus menerus menyegarkan dan memperkukuh tarbiyah.
Kepentingan tarbiyah sangat nyata, lebih-lebih lagi dengan bertambah ramainya kemasukan ahli yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza. Dengan itu sewajarnya difikirkan pendekatannya oleh para naqib dan naqibah supaya tarbiyah ini menghasilkan kejayaan.

Sejak penulis mengikuti usrah PAS suku abad lalu, ahli jemaah tidak henti-hentinya diperingatkan mengenai kepentingan tarbiyah oleh para pemimpin dan tuan-tuan guru daripada Almarhum Yusuf Rawa, Ustaz Nik Abd Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, Ustaz Abd Hadi Awang, Ustaz Yahya Othman, Utaz Abd Ghani Shamsuddin dan yang lain-lain, hinggalah kini.
Tidak syak lagi hasil daripada ingatan dan dorongan mereka ini menyebabkan ahli PAS sentiasa menjadi pendukung setia kepada perjuangan, bersemangat waja, mampu menghadapi pelbagai cabaran, hingga akhirnya kejayaan PAS dapat dilihat hari ini.
Ia menjadi parti politik yang sangat dihormati oleh pelbagai pihak kerana ahlinya memegang teguh prinsip perjuangan dan memiliki akhlak yang tinggi, adil, amanah dan bersikap terbuka.
Namun cabaran yang dihadapi tidak berkurangan, lebih-lebih lagi apabila PAS bersama dengan Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan gilang-gemilang dalam pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu.
Dengan itu secara 'nature'nya terbuka luaslah pintu kuasa, peringkat tinggi dan rendah dituruti pelbagai peluang rezeki dalam kerajaan yang diperintah seperti yang termaklum.
Ini adalah cabaran dan 'godaan' yang dihadapi oleh pendukung PAS. Jika di Gaza, Palestin, cabaran dan ujian yang dihadapi oleh rakyat di sana ialah bom-bom dan meriam kereta kebal Israel yang demikian kejam, pendukung PAS di sini berdepan dengan cabaran dan ujian yang disebutkan tadi. Bahayanya hampir sama.
Tidak salah mendapat rezeki daripada sumber yang halal, hasil daripada keringat, kerajinan dan sebagainya. Namun yang menjadi persoalan ialah apabila matlamat perjuangan tidak lagi kepada mencari keredaan Allah SWT tetapi untuk mendapatkan ganjaran material.
Adapun yang membezakan parti politik bernuansa Islam dengan parti berbentuk sekular ialah dari segi matlamat tadi. Parti Islam tidak meletakkan 'matlamat menghalalkan cara' tetapi 'matlamat mesti betul dan benar, pelaksanaannya juga mesti benar'. Itu saja kriteria untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.
Justeru, tarbiyah dengan segala perihalnya bersifat antibodi, atau 'filter' yang mampu menahan dan menjadi penapis segala serangan virus penyakit yang bersumber daripada nafsu dan kehendak tidak terkawal para pendukung jemaah.
Untuk itu contohilah bagaimana setianya pendukung jemaah ketika PAS miskin dan susah pada masa lalu, tetapi mereka mampu bertahan hingga kini. Jumlahnya ramai, ada yang berprofil tinggi, ada yang rendah, tidak terkenal. Namun seperti kata Almarhum Ustaz Fadzil Noor, "mereka adalah pahlawan yang tidak ternama, tetapi jasa dan pengorbanan mereka sungguh besar".
Dengan itu berilah perhatian sungguh-sunguh kepada aspek tarbiyah. Ini bukan seruan tradisi setiap kali Muktamar PAS, tetapi ia perlu diperingat dan dilaksanakan, sama ada sebelum muktamar mahupun selepas muktamar, justeru ia adalah antara 'talian hayat' PAS.
Pada ketika PAS mengharungi suasana politik baru di tanah air sekarang, ketika orang bukan Islam sudah merapati dan berinteraksi, bahkah mendukung perjuangan PAS menegakkan keadilan, maka manhaj atau pendekatan tarbiyah tentu saja berubah.
Namun asas tarbiyah itu tidak berubah dari yang disebut oleh para naqib dan naqibah pada tahun-tahun 70-an, 80-an, malah 90-an dulu, iaitu bersumber daripada al-Quran, Seerah Nabawiyah serta diambil daripada pemikiran pemimpin gerakan Islam dunia, khususnya dari buku-buku pemimpin Ikhanul-Muslimin, Abul A'la Maududi, Badiuzaman Said Nursi, Muhd Natsir dan lain-lain.
Asas-asas tarbiyah mereka ini tetap segar dan relevan hingga kini. Namun idea-idea dalamnya perlu dikembangkan sesuai dengan suasana kontemporeri ini iaitu bagaimana watak kita meladeni dan menyesuaikan diri dengan perubahan ini, umpamanya, ketika orang bukan Islam demikian ramai mendekati perjuangan PAS.
Pendukung PAS tidak perlu menanggalkan serban, kopiah dan jubah untuk apa yang dipanggil 'menyesuaikan' diri dengan suasana terkini. Yang penting ialah watak, ilmu dan kearifan kita sendiri. Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat tetap berserban dan berjubah, namun kerana kearifannya meladeni sifat insan, ia mampu menjadi contoh terbaik mengadunkan politik berpaksikan agama hingga ia menjadi tokoh yang disegani.
Selain daripada tarbiyah, PAS juga sewajarnya menggalakkan wacana ilmu, perbincangan serius membuka minda ahli kepada persoalan terkini, dibedah menurut perspektif Islam. PAS tidak kurang para agamawan, profesional pelbagai bidang dan intelektual untuk mengisikan program seperti ini.
Malah para intelektual di luar PAS juga boleh diundang ikut serta memberikan pandangan. Bukankah hadis Nabi s.a.w. menyatakan "ilmu itu barang yang tercicir dari orang mukmin, cari dan ambillah di mana saja kamu menjumpainya".

Memanglah sifat parti politik memerlukan ahli atau khalayak yang ramai kerana ia memerlukan sokongan rakyat setiap masa. Namun bagi PAS yang juga bernuansa sebagai gerakan Islam, sewajarnyalah pendukungnya memerlukan pengisian yang boleh meningkatkan kualitinya.
Sekali lagi tarbiyah sangat perlu diperkukuh dan dilaksanakan secara serius di semua peringkat baik sebelum Muktamar atau selepasnya. Perkukuh tarbiyah untuk survival PAS.

No comments:

Search This Blog