KUALA LUMPUR 2 Jan. - Harga minyak mentah dijangka berada pada paras stabil melebihi AS$40 (RM138.40) dan akan kekal di paras tersebut sehingga Presiden Amerika Syarikat (AS) baru, Barack Obama memulakan tugas pada 20 Januari ini.
Ini berikutan, harga pasaran akan menunggu polisi beliau terhadap ekonomi AS, pengeluar minyak utama Iran dan konflik yang berlaku antara Israel-Hamas di Timur Tengah yang kaya dengan minyak bagi menentukan harga semasa minyak mentah dunia.
Harga pasaran minyak mentah hari didagangkan rendah pada hari pertama 2009, walaupun harga meningkat sehari sebelum cuti tahun baru.
Kontrak utama New York, minyak berkualiti tinggi Light sweet untuk penghantaran Februari jatuh AS$2.03 (RM7.02) kepada AS$42.57 (RM147.29) setong pada dagangan tengah hari selepas meningkat AS$5.57 (RM19.27) kepada AS$44.60 (RM154.31) di New York Mercantile Exchange, Rabu lalu.
Sementara itu, minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Februari jatuh AS$1.91 (RM6.60) kepada AS$43.68 (RM151.13) setong selepas melonjak AS$5.55 (RM19.20) kepada AS$45.59 (RM157.74) di London, Rabu lalu.
''Harga pasaran mengalami kejatuhan disebabkan pelabur Asia berpendapat trend menaik yang berlaku adalah melampau pada Rabu lalu,'' kata Dave Ernsberger, Pengarah Editorial Kanan Platts Asia, penyedia maklumat tenaga global.
Dengan permintaan dikawal oleh kemelesetan ekonomi di negara-negara besar ekonomi dunia, harga minyak berisiko untuk terus jatuh pada tahun ini, menurut penganalisis.
''Berita ekonomi yang berterusan suram akan menyebabkan harga pasaran minyak berada dalam keadaan defensif pada 2009 sehingga pakej rangsangan AS dapat dinilai keberkesanannya,'' kata Mike Fitzpatrick di MF Global.
Sementara itu, Obama bercadang membelanjakan sehingga AS$775 bilion (RM2.68 trilion) bagi pakej rangsangan ekonomi, seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Terdahulu, harga minyak mentah melonjak sehingga mencapai paras tertinggi melebihi AS$147 (RM508) setong dari Julai lalu, sebelum krisis ekonomi global mengurangkan permintaan dunia untuk tenaga dan menjadikan harga jatuh secara drastik.
Rabu lalu, harga pasaran meningkat selepas laporan mingguan Jabatan Tenaga AS menunjukkan peningkatan dalam simpanan minyak mentah negara itu.
''Kemungkinan (pelabur) menjangkakan sesuatu yang lebih daripada itu,'' kata Andy Lipow dari Lipow Oil Associates
No comments:
Post a Comment