Tuesday, May 12, 2009

Mahkamah Rayuan benarkan permohonan Zambry tangguh keputusan MB Perak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan laksana Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar(MB) Perak yang sah.

Sementara itu, ketika ditemui di perkarangan mahkamah Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, beliau akan tetap meneruskan tugas sebagai MB dan akan kembali ke pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada bila-bila masa.

Semalam Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar sah.

Pagi tadi, Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah semalam.

Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari lalu berada di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke-11 pada 5 Februari lalu.

Nizar ke Istana Iskandariah

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin keluar dari pejabat Menteri Besar Perak menuju ke Istana Iskandariah bagi menghadiri istiadat penganugerahan pingat kira-kira pukul 7.50 pagi ini. beliau juga akan mohon perkenan untuk mengadap seri paduka sultan perak untuk mohon pembubaran DUN.

Nizar, Exco masuk pejabat

BINCANG... MB Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berbincang dengan pihak polis sebelum memasuki bangunan SUK pagi tadi.

IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.bersama lapan Exconya memasuki bangunan SUK pagi tadi - kira-kira 16 jam selepas mahkamah mengisytiharkan beliau Menteri Besar yang sah.

Mereka dibenarkan melepasi pintu pagar bangunan itu pada pukul 7.31 pagi.

Turut bersama rombongan itu ialah V. Sivakumar yang Khamis lalu disingkirkan oleh Barisan Nasional (BN) daripada kedudukan Speaker DUN.

Nizar gantung tugas tiga pegawai kanan termasuk SUK

IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim dan Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Jamalludin Al Amini Ahmad berkuat kuasa serta merta.

Tugas mereka itu akan dipangku oleh timbalan masing-masing.

Itu adalah beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco pimpinan beliau di ibu pejabat PAS negeri, tengah malam tadi.

Petang semalam, Mohammad Nizar turut menggantung tugas Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkuat kuasa serta merta sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada pagi esok, Mohammad Nizar berkata, beliau akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Sultan Azlan Shah.

"Bukan menghadap, kami hanya mengemukakan permohonann untuk menghadap," katanya pada sidang media yang diadakan kira-kira pukul 12.30 malam tadi.

Mohammad Nizar berkata, beliau dan kesemua Exconya akan memulakan tugas seperti biasa pada pukul 7.15 pagi ini.

Beliau juga berkata, mesyuarat tersebut memutuskan untuk meneruskan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) selama tiga bulan yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

Selain itu katanya, V Sivakumar masih merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sah.

Katanya, Datuk R Ganesan yang dilantik oleh BN sebagai Speaker DUN adalah tidah sah kerana masih belum mengangkat sumpah.

Sehubungan itu kata beliau, apa juga kemungkinan sidang DUN tergempar yang akan dibawa BN pada pagi ini adalah tidak sah.

"Untuk mengadakannya, mereka mesti memberi notis," katanya.

Petang tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah - antara Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menyebabkan negeri itu dilanda krisis politik sejak Februari lalu akhirnya terjawab.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Monday, May 11, 2009

perak..kita tunggu episod seterusnya

keputusan mahkamah tinggi hari menampakkan integriti mahkamah dan demokrasi yang sebenar. kita bukan hanya memuji mahkamah hanya apabila keputusannya memihak kepada kita..tetapi kedilan dan kebenaran yang ditegakkan oleh mahkamah itu yang kita puji. semua telah maklum bahawa menteri besar tidak boleh dipecat melainkan hanya dengan undi tidak percaya ahli dewan atau jika beliau dengan rela meletak jawatan. ini termaktub didalam perlembagaan tubuh negeri. bukan rekaan sesiapa. sejarah di sarawak telah membuktikannya.

syabas diucapkan kepada hakim datuk aziz abdul rahim kerana membuat keputusan tanpa di pengaruhi oleh tekanan dari sesiapa. tindakan yang sama patut dilakukan oleh seri paduka sultan perak. demi untuk kepentingan negeri dan rakyat perak. bukan untuk kepentingan segelintir manusia yang tamak kuasa sehingga sanggup melanggar batas undang-undang dan perlembagaan.

kini kita tunggu apa tindakan najib yang seterusnya. apakah tekanan akan dikenakan keatas mahkamah rayuan apabila rayuan dikemukakan nanti. apakah akan ada kuasa-kuasa luar yang akan digunakan untuk mempengaruhi keputusan rayuan nanti. seperti mana yang berlaku didalam kes abdul razak baginda. jika tidak masakan najib berani berkata bahawa mereka mempunyai kes yang kuat untuk membuat rayuan. apakah faktor yang boleh menguatkan kenyatannya itu. hakim telah berhujah bahawa menteri besar tidak boleh dipecat oleh sultan. dan nizar juga tidak pernah meletakkan jawatan mahupun menerima undi tidak percaya ahli dewan. jadi apakah asas najib untuk membuat rayuan.

namun kita yakin bahawa tiada kuasa yang lebih tinggi dari kuasa yang maha esa. jika dikehendakinya begini maka beginilah jadinya. maka pihak PR tidak perlu bimbang....tapi tidak pula boleh duduk saja tanpa berusaha. insyaallah kemenangan dipihak kita jika itu janjinya.

Nizar Menteri Besar Perak sah, mahu menghadap Sultan Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas keputusan permohonan diumumkan. - foto The Star oleh ONG SIN HOONG

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sebentar tadi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim DatukAbdul Aziz Abdul Rahim memutuskan perkara itu selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan dan tiada sebarang usul undi tidak percaya yang dilakukan terhadapnya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai MB Perak tetapi boleh mengemukakan rayuan rasmi.

Nizar berkata, beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan secara rasmi berhubung keputusan mahkamah yang diputuskan hari ini.

Katanya, semua keputusan yang dibuat oleh zambry akan dikaji semula dan bukannya tidak sah sehingga notis seterusnya kecuali sidang DUN pada 7 Mei lalu.

"Kita akan minta Datuk Zambry dan Exco lain untuk mengosongkan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta berikutan keputusan mahkamah.

"Mesyuarat Exco akan diadakan segera dan kita berpegang yang DUN harus dibubarkan berdasarkan kepada usul yang diluluskan pada sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac 2009,"katanya.

Nizar MB Perak sah


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi sebentar tadi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari berikutan krisis politik Perak.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk memohon keputusan itu ditangguhkan untuk membolehkan rayuan dibuat kepada Mahkamah Rayuan ditolak oleh hakim.

Hakim juga berkata, jika Sultan Perak mahu Nizar meletakkan jawatan, baginda hendaklah mengarahkan Dun Perak bersidang dan usul undi tidak percaya dikemukakan.

Selepas usul itu lulus barulah Sultan berhak memerintahkannya meletakkan jawatan dan melantik MB baru.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2.30 petang.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah

Nizar MB Perak

Mahkamah sahkan Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak

takbir....takbir.....takbir

KES MB PERAK: SITUASI DI KOMPLEKS MAHKAMAH JALAN DUTA

BERIKUT adalah perkembangan semasa di kawasan pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta menunggu keputusan kes mempersoalkan kesahihan Menteri Besar Perak.

3.30 petang: Hakim, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim sedang membaca kertas penghakiman.

2.30 petang: Mahkamah mula bersidang.

2.15 petang: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat tiba di kawasan pekarangan mahkamah.

1.58 tengah hari: Barisan peguam kedua-dua pihak - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berada di depan Mahkamah Tinggi Dagang 8. Kelihatan juga segelintir penyokong mula berkumpul, menunggu masa untuk masuk ke kawasan mahkamah.

1.20 tengah hari: Keadaan masih masih lagi tenang. Kelihatan beberapa trak FRU mula memasuki kawasan pekarangan mahkamah.

1.15 tengah hari: Wartawan mula berkumpul di hadapan mahkamah.

Zambry Kadir peragut politik

Dato' Mahfuz Omar

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah bunyinya tajuk utama Utusan Melayu hari Khamis, 7 Mei 2009 yang menyiarkan kisah bagaimana tiga orang mangsa ragut yang terbunuh kerana perbuatan kejam tersebut.

Cerita ragut sudah begitu lama kedengaran, cuma ditakdirkan Allah ia berlaku kali ini ketika polis sedang berkubu di Ipoh dan Penanti. Nampaknya hari ini polis lebih banyak digunakan untuk mempertahankan kuasa politik BN daripada menjaga keselamatan awam. Jika keadaan ini berterusan, suatu hari nanti, Malaysia akan betul-betul menjadi 'negara polis'.

Keadaan politik di Perak sebenarnya tidak serumit di Terengganu kerana kedua-dua menteri besarnya mempunyai kumpulan penyokong yang ramai. Yang menjadi masalah besar di Perak ialah kedegilan Zambry Kadir untuk tidak mengikut undang-undang dan peraturan dalam setiap tindakannya.

Dulu dia bersekongkol dengan Najib Razak untuk menculik dan merasuah tiga Adun Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan, kemudian dia mengangkat sumpah sebelum sempat Menteri Besar Nizar meletak jawatan atau dikenakan undi tidak percaya. Mahkamah dijadikan alat untuk mereka mengesahkan tindakan haram itu. SPR dan SPRM pula menjadi kuda tunggangan untuk menjayakan rancangan jahat yang bertentangan dengan undang-undang.

Mungkin Zambry Kadir belum sedar apabila rakyat Bukit Gantang menyampaikan mesej untuk menolak perbuatan tidak bertamadun BN pada 7 April 2009 yang lalu. Dia mahu 'diajar' dengan cara yang lebih jelas lagi. Kita tunggu tindakan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

KEJAMNYA PERAGUT! Begitulah yang terjadi pada Khamis, 7 Mei 2009 di Ipoh, Perak. Kali ini bukannya mat rempit yang meragut. Tetapi pemimpin politik BN yang tidak bertamadun dan tidak menghormati demokrasi meragut setiap hak dan keadilan demi kepentingan politik rakus mereka.

Dahulu mereka meragut kerajaan daripada rakyat cara menculik dan merasuah, kemudian mereka meragut jawatan menteri besar melalui cara tidak berperlembagaan. Hari ini mereka melakukan lagi apabila jawatan Speaker Dun Perak diragut dengan cara yang lebih hina daripada binatang. Mereka tidak mengiktiraf Sidang Dun Perak di bawah pokok atas bermacam-macam alasan walaupun ia berlaku mengikut lunas undang-undang. Tetapi mereka bertindak persis binatang buas di dalam dewan yang mulia itu apabila bersidang sendiri dengan membelakangkan Speaker Dun yang berada di kerusinya.

Walau apapun yang dilaporkan oleh media arus perdana, rakyat mengetahui keadaan yang sebenar. Dahulu mereka menipu rakyat kononnya Nizar telah menderhaka, tetapi rakyat memberikan mesej sebaliknya di pilihan raya Kuala Terangganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Saya percaya rakyat menyedari keadaan sebenar yang berlaku walaupun media memberikan gambaran sebaliknya. Sebagai Ahli Parlimen, saya memahami peraturan yang menghendaki setiap ahli YB menghormati speaker yang mengendalikan persidangan. Saya bersetuju dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang berkata apa gunanya ada Speaker jika keputusannya tidak dihormati.

Sebagai Ketua Dun, Speaker berkuasa penuh di atas semua urusan di dewan itu. Beliau yang menentukan kedudukan Adun, usul-usul dan semua urusan perjalanan dewan tersebut. Bahkan, tidak ada Adun yang boleh bercakap tanpa kebenaran Speaker. Jika semua orang ingin bertindak sesuka hati, bercakap, membuat usul dan mengusung keluar Speaker... maka jadilah sidang itu seumpama satu sidang di Zoo Negara!

Sebenarnya isu ini cukup mudah diselesaikan. Semua pihak perlu memberi laluan kepada Speaker untuk mengendalikan mesyuarat mengikut peraturan mesyuarat. Tetapi malangnya, Zambry Kadir dan sembilan yang lain begitu degil dan keras kepala. Mereka bukan sahaja tidak mengikut arahan, bahkan cuba menjalankan sidang Dun secara haram.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana majlis perundangan di dunia, usul dikemukakan sebelum sidang bermula. Speaker telah memberitahu berkali-kali bahawa beliau tidak akan memulakan sidang selagi arahannya untuk 10 orang itu keluar dewan dipatuhi. Ini bermakna, ketika Zambry Kadir membuat usul, sidang belum bermula lagi. Yang paling saya kesalkan ialah Setiausaha DUN yang telah dipecat itu. Dia begitu biadap dan langsung tidak menghormati Speaker semata-mata kerana �ke-Umno-annya�.

Pada saya mudah sahaja, bahawa seluruh sidang itu adalah tidak sah kerana sidang belum bermula ketika prosiding dijalankan. Saya sangat percaya kekecohan ini tidak akan berlaku jika semua pihak menghormati peraturan. Mengapa Zambry Kadir begitu biadap dengan membawa satu usul tanpa mendapat kebenaran Speaker. Lebih-lebih lagi, Zambry Kadir sebagai seorang Adun yang digantung oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun tidak berhak menghadiri sidang, apatah lagi membuat usul.

R Ganesan, 'Speaker haram' pula telah menceroboh Dun Perak secara sewenang-wenangnya tanpa menghiraukan S Sivakumar yang berada di kerusi Speaker. Kemudian beratus-ratus polis yang sepatutnya menjadi keselamatan mangsa ragut, ditugaskan untuk �meragut� kerusi Speaker daripada Sivakumar.

Apa yang boleh kita rumuskan ialah sebuah kerajaan yang haram akan melakukan apa sahaja tanpa mengikut lunas undang-undang untuk mempertahankan kegiatan haram mereka. SPR, SPRM, mahkamah, polis, SUK, Setiausaha Dun, bahkan istana telah diperalatkan oleh mereka secara sempit sehingga kemuliaan Dun Perak tercemar.

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah dimalukan di hadapan khalayak dengan perbuatan yang biadab dan tidak bertamadun itu. Untuk menutup kekotoran itu, Zambry Kadir memberitahu bahawa Adun Pakatan Rakyat menyerang mereka dan bertindak menggunakan undang-undang rimba.

Saya tahu bahawa rakyat telah sedar siapakah Tarzan dalam krisis ini. Najib Razak dan Zambry Kadir patut berasa malu di atas perbuatan yang tidak demokratik ini, kerana Tun Mahathir sendiripun tidak dapat menerima apa yang berlaku di Perak

Penyelesaian Kemelut Perak : Jangan Sekadar Hulur Ranting Zaitun!



Oleh Anwar Ibrahim

Bahang kemelut di Perak semakin membara hangatnya sehingga membuatkan Perdana Menteri bersedia bekerjasama dengan Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan krisis perlembagaan tersebut.

Manakala sebagaimana yang sering saya ulangi, ranting zaitun yang dihulurkan demi kesejahteraan rakyat jelata pasti disambut dengan hati terbuka oleh Pakatan Rakyat.



Namun, janganlah pula kesediaan ini dikhianati, di saat ranting zaitun dihulurkan, pisau belati tajam sudah siap menikam! Jikalau begitu sandiwara yang direncana, layak sahaja buah durian dibaling ke muka mereka yang menghulurkannya.

Krisis yang berlaku ini sememangnya menjadi pengajaran kepada mereka yang membelakangkan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang demi kepentingan politik. Sudah pasti saya bersetuju dengan anjuran agar kita kembali merujuk undang-undang dan keluhuran Semangat Keperlembagaan bagi menyelesaikan kemelut di Perak.

Perlu diberi perhatian bila sahaja saranan kembali kepada Kedaulatan Undang-Undang dikemukakan, sudah tentu rakyat mahu diyakinkan bahawa sistem kehakiman bebas dari sebarang kongkongan politik penguasa, undang-undang kuku besi dimansuhkan dan tiada lagi sebarang gangguan terhadap mereka yang berbeda pendapat. Jika ini tidak dipenuhi kerjasama yang ditawarkan umpama mencurah air di daun keladi.

ANWAR IBRAHIM

Krisis politik Perak: Pakatan juga sedia bincang tapi...

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat bersedia untuk berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung krisis politik di Perak, namun beberapa insiden ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lalu menuntut penjelasan terlebih dahulu.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau gembira dengan maklum balas yang diberikan Najib pada hari ini untuk sedia bekerjasama namun pihaknya inginkan penjelasan itu terlebih dahulu sebelum sebarang perbincangan berlangsung.

"Pertama, kita mahukan jawapan kepada tindakan mengheret Speaker DUN (V Sivakumar) yang dilakukan pihak polis.

"Hal seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah politik moden dan mana-mana negara Komanwel.

"Selain itu, kerajaan juga harus menghentikan amalan menangkap orang awam dan wakil-wakil rakyat seperti yang dilakukan pada hari persidangan DUN Perak yang lalu kerana ia langsung tidak memberi imej yang baik kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib hari ini bahawa Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia tidak bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Najib berkata demikian sebagai maklum balas kepada cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam yang sedia mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, sebagai Perdana Menteri, Najib mempunyai kuasa untuk memperbetulkan kecelaruan yang berlaku di negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengamalkan prinsip terbuka bagi hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat dan undang-undang serta keluhuran perlembagaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya begitu serius dalam usaha menyelesaikan krisis politik di Perak yang semakin meruncing sejak Februari lalu.

"Kalau kita sudah sampai ke tahap itu (mengadakan perbincangan), ini menunjukkan kita serius dalam perkara ini.

"Kalau BN tolak, memang menunjukkan mereka berniat jahat dan memang ada konspirasi untuk merampas kuasa," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat Perak pada masa ini memerlukan kepada kerajaan yang dapat menjalankan tugas dengan baik dan ia tidak akan tercapai selagi situasi politik di Perak tidak menemui jalan penyelesaian.

"Selain itu, tindakan mereka yang menghalau Speaker semasa sidang DUN tempoh hari begitu tidak berdemokrasi.

"Kalau mereka tak mahu selesaikan, rakyat tentunya akan menghukum mereka pada pilihan raya umum akan datang," katanya

Krisis politik Perak: Campur tangan Sultan penentu penyelesaian?


PDF Print

Di sebalik krisis politik Perak yang telah masuk bulan ketiga sekarang, penganalisis-penganalisis berpendapat parti-parti politik perlu berkompromi manakala Sultan perlu campur tangan walaupun raja "berada di atas politik".

Penganalisis politik Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kekecohan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Khamis lalu tidak sepatutnya berlaku dalam konteks demokrasi diamalkan di negara ini.

“Kita tak seharusnya sampai ke tahap mentaliti politik yang negatif seperti yang berlaku dalam Parlimen di Taiwan,” katanya.

Jelasnya, imej negara tercalar atas kekecohan yang berlaku dan kemelut politik yang melanda Perak tidak akan selesai sehingga pilihan raya umum yang ke-13 jika tiada langkah segera diambil.

“Sudah tiba masanya baginda (Sultan Perak) campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya melihat Sultan wajar mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan pendirian baginda berhubung keputusan yang telah dibuat (melantik Menteri Besar BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir).

“Walaupun Sultan berada di atas kuasa politik tapi dalam situasi seperti ini, saya melihat campur tangan itu perlu untuk meredakan kemelut politik di Perak,” kata beliau kepada mStar Online.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Sivamurugan yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia berkata, baginda boleh mengisytiharkan darurat di Perak dan menyerahkan urus tadbir negeri itu kepada kerajaan Persekutuan untuk sementara waktu. “Langkah ini boleh diambil kerana pentadbiran di Perak telah menjadi kucar-kacir dan rakyat yang mangsa. Pemimpin politik ini perlu berhenti bertelagah,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan pembangkang tempoh hari lebih bersifat populis untuk meraih sokongan rakyat untuk menunjukkan seolah-olah mereka menjadi mangsa diskriminasi dan percaturan politik BN.

“Mereka (Pakatan Rakyat) sengaja berbuat demikian kerana ia akan memberi kesan kepada pola pengundian pada pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat Perak dijangka menterjemahkan melalui pilihan raya, mereka akan undi pembangkang sebagai undi protes kepada BN yang dilihat merampas Perak daripada Pakatan Rakyat,” katanya.

Tambahnya, bagi menyelesaikan konflik politik itu salah satu pihak perlu mengalah, tetapi sama ada BN mahupun Pakatan kelihatan tidak akan mengalah dengan mudah.

“Jalan penyelesaian terbaik adalah kita harus serahkan kepada mahkamah. Sememangnya akan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah Isnin ini.

“Amalan berpolitik keterlaluan yang berterusan hanya merugikan negara dan rakyat akan terus mangsa,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin pula menyifatkan insiden tersebut sebagai satu lagi rampasan kuasa selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Februari lalu.

“Apa yang berlaku semalam tidak betul dan salah dari sudut perlembagaan. Mereka (kerajaan Barisan Nasional) tidak boleh memecat Speaker dan pelantikan penggantinya yang baru (dari BN) juga tidak sah," katanya.

Jelasnya, kekecohan itu juga memberi tanggapan negatif masyarakat luar negara terhadap negara ini.

“Bukan sahaja ekonomi Perak akan terjejas, malah ada kemungkinan pelabur-pelabur asing akan was-was mengenai kestabilan politik di negeri itu.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada industri pelancongan ekoran urus tadbir yang tidak sempurna,” katanya.

Pakatan, BN sedia bincang krisis Perak

BUTTERWORTH: Pakatan pembangkang tidak pernah menolak ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, tidak ada alasan untuk pakatan pembangkang menolak niat baik mana-mana pihak yang mahu mengadakan perbincangan demi kepentingan rakyat.

"Tidak ada alasan untuk kita menolak sikap baik sesiapa juga termasuk Umno dan BN sekiranya ini (perbincangan) disusuli dengan tindakan beradap dan mengikut undangundang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Permatang Pauh di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bahawa kerajaan BN sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Najib mengulas kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang semalam yang telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.

Di PEKAN, Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Perdana Menteri berkata, kerjasama keduadua pihak mestilah menjurus kepada saling hormat menghormati antara satu sama lain dan mematuhi undang-undang negara.

"Kerjasama tidak semestinya bererti kita buat kerajaan campuran, tidak semestinya bentuk itu, ia boleh dalam pelbagai bentuk, yang penting sekali saling hormat menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat kelompok cawangan Umno bahagian Pekan semalam.

Najib menegaskan kemelut politik di Perak boleh dielakkan sekiranya semua pihak mematuhi undangundang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Maknanya kerjasama dalam konteks urusan pentadbiran negara, kalau kita menghormati undang-undang, semua pihak juga perlu mematuhi undang-undang, sebenarnya kalau kita semua ikut peraturan, tak ada kemelut, kalau menghormati peraturan dan undang-undang negara, tak akan jadi kemelut, bila masingmasing menegakkan benang basah, jadilah masalah," katanya.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa bersikap terbuka dan mahu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Kita tidak mahu keadaaan ini (di Perak) berterusan, kita hendak berkhidmat kepada rakyat, untuk semua kaum di Perak dan seluruh negara," kata Najib

MB Perak sah dijangka diketahui petang ini

PETALING JAYA: Persoalan tentang siapa Menteri Besar Perak yang sah - sama ada Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan terjawab hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan mengumumkan keputusannya kira-kira 2.30 petang.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

UMNO Gali Kubur Sendiri di DUN Perak



Oleh darmasatria

"Seluruh rakyat Malaysia telah melihat semua yang terjadi dalam DUN Perak pada 7 Mei 2009. Sesiapa juga yang menyaksikannya tidak akan mengatakan ADUN Pakatan yang mula buat kacau. Kekacauan berlaku sebaik sahaja Zambry dan semua EXCOnya serta tiga ADUN Bebas tidak mengikut perintah Speaker DUN.

Keengganan itu disebabkan oleh keputusan yang dibuat oleh mahkamah bahawa Speaker tidak berhak menggantung Zambry dan barisan EXCOnya. Hal ini memang diakui oleh Sivakumar. Walau bagaimanapun, yang menggantung Zambry dan barisan EXCOnya bukan Sivakumar, tetapi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang dipengerusikannya. Mahkamah tidak pernah membuat keputusan tentang ketidaksahihan hukuman yang dijatuhkan oleh jawatankuasa termaklum. Pada masa yang sama, kes tiga ADUN Bebas masih belum diputuskan oleh mahkamah. Atas dasar itulah Speaker mengarahkan kesemua mereka meninggalkan DUN.

Pada saat itu baharulah Zambry dan gangnya sedar dari lamunan. Dah terantuk baru tengadah. Kesilapan yang dilakukan semasa membuat tuntutan di mahkamah tidak mungkin lagi dibetulkan. Benarlah kegopohan mengundang bencana.

Oleh sebab tiada jalan lain lagi untuk menyelamatkan diri, mereka pun berbuatlah segala yang disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan dunia itu.

Sememangnya tiada jalan lain untuk menyelesaikan hal ini, kecuali DUN dibubarkan dan diadakan PRU Negeri. Sekiranya mahkamah mengisytiharkan Zambry sebagai MB yang sah pun, krisis ini tidak akan selesai.

Search This Blog