Friday, September 21, 2012

Gaji Minimum RM900, Janji Tidak Ditepati

Garis panduan yang dikeluarkan sekali lagi membuktikan bahawa Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan BN tidak mampu menepati janjinya dalam melaksanakan gaji minimum di Malaysia.

Penyelaras Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan Jerit, Sivaranjani Manickam menyatakan demikian sebagai respons kepada Majlis Perundingan Gaji Negara yang telah mengeluarkan Garis Panduan Mengenai Perlaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012, baru-baru ini.
Katanya, semasa perjumpaan Jerit dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada bulan Jun 2012 mengenai perlaksanaan Gaji Minimum, Jerit telah dimaklumkan oleh KSM bahawa semua pekerja layak mendapat gaji minima dan tiada pekerja yang dikecualikan melainkan pekerja domestik (domestic maids).
“Jerit dimaklumkan perkara ini apabila Jerit membangkitkan persoalan yang mengatakan bahawa Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sedang memberi tekanan untuk menyertakan sekali beberapa elaun yang diperolehi kini oleh pekerja dapat dalam pengiraan Gaji Minimum RM900,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Namun kini, katanya garis panduan yang dikeluarkan mendedahkan 3 sektor telah dimanipulasi pengiraan kadar gaji minimum.
 Menurutnya, bagi sektor perhotelan di mana kutipan caj perkhidmatan dilaksanakan, majikan boleh mengubah kesemua atau sebahagian kutipan caj perkhidmatan itu yang diagihkan kepada pekerja sebagai sebahagian daripada gaji minimum.
 Tambahnya, bagi sektor perladangan di mana Bayaran Saguhati Khas (Special Gratuitious Payment) sebanyak RM200 dilaksanakan, majikan boleh mengubah kesemua atau sebahagian daripada bayaran tersebut sebagai sebahagian daripada gaji minimum.
 ”Bagi sektor pengawal keselamatan di mana insentif keselamatan dibayar kepada pekerja juga dibenarkan distruktur sebagai gaji minimum,” ujarnya lagi.
 Beliau turut memberikan satu contoh perkiraan yang diberi dalam garis panduan itu
 Bagi pekerja di Semenanjung Malaysia yang bergaji pokok sebanyak RM625 dan dibayar elaun tunai sebanyak RM275, majikannya boleh mengubah bayaran elaun tunai itu untuk dijadikan sebahagian daripada gaji minimum.



Gaji Semasa

Gaji Selepas Perintah

 RM625 (gaji pokok) RM275 (elaun)

Jumlah=RM900
 RM625+(RM900-RM625) = RM900 (gaji minimum); RM275 – (RM900-RM625) = RM0 (elaun)

Jumlah=RM900
Sumber: Garis Panduan Majlis Perundingan Gaji Negara Mengenai Perlaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012

Beliau berkata, apabila melihat contoh di atas, maka dapat lihat jelas tiada impak dalam gaji seseorang pekerja setelah kerajaan melaksanakan gaji minimum.
 Katanya lagi, gaji minimum dilaksanakan untuk menjamin pekerja dibayar kadar gaji yang berpatutan, membawa pekerja keluar dari kancah kemiskinan dan memastikan Negara Malaysia dapat membentuk masyarakat berpendapatan tinggi.
 Jadi, kata beliau apa salahnya gaji asas RM900 diberikan tanpa menjejaskan elaun-elaun yang diberikan.
 Bagi pekerja perhotelan, katanya bayaran caj perkhidmatan adalah sesuatu yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan dibayar melalui cukai yang dikenakan terhadap pelanggan, ianya tidak dikeluarkan oleh majikan secara langsung.
 Tambahan pula, ujarnya tidak ada pihak yang boleh merampas mana-mana elaun atau insentif yang diberikan kepada pekerja (Seksyen 2 (Upah), Akta Kerja 1955).
 Selain itu, tambahnya kajian juga menunjukkan RM900 juga adalah satu kadar yang rendah berbanding kos hidup masa ini.
 ”Mengapa ada sesetengah pihak masih mahu menekan dan memeras warga pekerja?” tanya beliau.
 Justeru, ujarnya Jerit amat kecewa dan membantah keras tindakan Kementerian Sumber Manusia yang mengeluarkan garis panduan yang mendiskriminasi golongan pekerja dari sektor perhotelan dan perladangan dan ini melanggar prinsip asas hak asasi manusia.
 Maka, tegasnya Jerit menuntut pelaksanaan gaji minima adalah berdasarkan gaji pokok tanpa pemotongan sebarang elaun dari pendapatan pekerja

No comments:

Search This Blog