Terdapat
beberapa analisa yang menjangkakan parti pembangkang dapat menambah
bilangan kerusi Parlimen di negeri Sarawak dalam Pilihan Raya Umum ke 13
(PRU13) akan datang berdasarkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) dan perjumlahan pengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datuk Haji
Fadilah Yusof mengakui pembangkang mungkin dapat menawan beberapa
kerusi Parlimen di Sarawak tetapi tidak menolak kemampuan Barisan
Nasional (BN) Sarawak untuk mengurangkan jumlah kerusi Parlimen
pembangkang.
“Mereka (pembangkang) boleh war-warkan apa yang mereka hajat dan
sasarkan tetapi kita juga mempunyai strategi, mereka kata akan dapat
satu pertiga kerusi DUN dalam PRN lalu malah akan dapat perintah Sarawak
tapi ianya terbukti tidak berlaku,” tambahnya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
menaruh harapan sekurang-kurangnya lima muka baru dari kalangan pemuda
akan ditonjolkan sebagai calon Parlimen pada PRU akan datang.
Dalam temubual eksklusif bersama LUKMAN ABDULLAH di bangunan Parlimen
baru-baru ini, Fadilah mengulas beberapa perkara berhubung pembangunan
negeri Sarawak yang direncanakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib
Mahmud terutama dalam 'Sarawak Corridor of Renewable Energy' (SCORE) yang akan melibatkan penempatan semula masyarakat luar bandar.
Beliau juga menerangkan cabaran perlaksanaan program 'Rural Growth Centre'
di mana usaha memindahkan kelompok kecil orang dari satu kawasan yang
jauh ke kawasan pengumpulan baru bagi mewujudkan perseimbangan kemajuan
bandar dan luar bandar terutama dari segi penyediaan infrastruktur dan
kemudahan asas lain.
Dalam perkembangan politik Sarawak, Fadilah juga memberi pandangan
terhadap sikap pengundi kaum Cina yang boleh buat perubahan di samping
kesan pengundi muda yang berada di dalam dan luar negeri itu.
Soalnya apakah Sarawak yang dianggap sebagai salah satu negeri
'deposit tetap' BN dilihat 'tergugat' sekiranya keputusan PRN 2011
diambilkira. Sedikit analisa berdasarkan beberapa kawasan parlimen di
Sarawak.
Kini di Parlimen, BN Sarawak memiliki 29 kerusi manakala 2 kerusi
milik DAP. Keputusan di kesemua 71 kerusi DUN Sarawak memberikan
gambaran undi-undi yang dijumlahkan akan memberi kesan negatif terhadap
beberapa kawasan Parlimen BN di negeri itu.
Jumlah kemenangan 13 kerusi DAP dalam PRN Sarawak baru ini,
menggambarkan kerusi Parlimen Bandar Kuching akan terus kekal di tangan
DAP dalam PRU13 nanti kerana kerusi-kerusi DUN di kawasan parlimen itu
seperti Pending dan Padungan dimenangi oleh DAP.
Parlimen Sibu juga dijangka berpotensi kekal pada pembangkang,
mempunyai 3 kerusi DUN, DAP menang besar di DUN Pelawan di mana
pengundinya ramai walaupun Bawang Assan dan Nangka dimenangi
masing-masing oleh SUPP dan BN. Namun DAP kalah tipis di Bawang Assan.
Ketua Menteri, Tan Sri Pehin Taib Mahmud dikatakan akan membuat
percaturan tertentu terutama dari segi pemilihan calon bagi
mengembalikan Parlimen Sibu ke tangan BN.
Berdasarkan keputusan PRN itu juga, kalau dikira-kira jumlah undi DAP
mampu untuk 'merampas' sehingga 5 kerusi Parlimen Sarawak di dalam PRU
nanti.
Antara yang dilihat berpotensi adalah kerusi Parlimen Stampin, Sarikei dan Miri serta Parlimen Bintulu.
Kawasan Parlimen Stampin, dua DUN dimenangi dengan besar oleh DAP
iaitu DUN Batu Kawah dan Kota Sentosa manakala PKR menang di DUN Batu
Lintang.
Di Parlimen Sarikei, kedua-dua kerusi DUNnya iaitu Repok dan Maradong
dimiliki melalui DAP manakala di Parlimen Lanang, DAP menguasai
kedua-dua DUN Bukit Assek dan menang tipis di DUN Dudong.
Di Parlimen Miri pula, DUN Piasau menyaksikan kekalahan Presiden
SUPP/BN, Tan Sri George Chan kepada calon DAP, Ling Sie Kiong. Dua DUN
lagi, Pujut juga dimenangi DAP, hanya DUN Senadin dimenangi BN dengan
majoriti tipis 58 undi.
No comments:
Post a Comment