PENULIS mendapat maklumat bahawa
dalam pilihanraya umum yang akan datang Setiausaha Politik Perdana
Menteri, Datuk Sahlan Ismail akan dicalonkan di parlimen Kulim-Bandar
Baharu menentang adiknya sendiri, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifudin
Nasution.
Saifudin yang juga ahli parlimen Machang telah diputuskan akan bertanding di negeri asalnya, Kedah.
Pada yang tidak tahu, Saifudin pernah
menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas di Kedah pada tahun
2000 setelah menang pilihanraya kecil tahun tersebut mengalahkan calon
MIC. Saifudin bagaimanapun gagal mengekalkan kerusi tersebut dalam
pilihanraya umum 2004, termasuk tewas di parlimen Padang Serai.
Dalam sejarah pilihanraya negara kita,
adik beradik bertanding dalam pilihanraya bukanlah perkara baru. Datuk
Shahril Samad (BN-Johor Bharu) dan YB Khalid Samad (PAS-Shah Alam) telah
membuktikannya dalam pilihanraya umum yang lepas.
Tapi adik beradik bertanding sesama
sendiri di kerusi Parlimen yang sama, itu adalah jarang-jarang berlaku.
Mungkin dulu-dulu pernah terjadi tapi setakat dalam pengetahuan
penulis, ini adalah kes yang pertama.
Motif sebenar di sebalik tindakan UMNO
mencalonkan Sahlan menentang adiknya sendiri di Kulim-Bandar Baharu ini
agak memeningkan kepala penulis. Dari sumber yang menyakinkan sebelum
ini, Sahlan dikatakan akan bertanding tapi bukan di Kulim-Bandar
Baharu sebaliknya di tempat lain, masih di Kedah juga.
Adakah UMNO cuba memecah belahkan
hubungan adik beradik yang selama ini kekal baik walaupun berbeza
fahaman politik? Saifudin dan Sahlan adalah tenaga penggerak kepada
Persatuan Keluarga Ismail Harun Nasution yang berfungsi memastikan
keturunan bapa mereka kekal utuh walau apa pun terjadi.
Selain itu, penulis melihat peluang
Saifudin untuk menang agak tipis dengan Sahlan sebagai lawannya.
Kulim-Bandar Bharu memang diketahui kubu kuat UMNO sejak sekian lama.
Tan Sri Kadir Sheikh Fadhir saja telah menjadi ahli Parlimen kawasan
tersebut selama 5 penggal sebelum berundur untuk memberi peluang kepada
adiknya, Datuk Aziz Sheikh Fadhir pada 2008, tetapi tewas.
Kekalahan Aziz dikaitkan dengan rasa
tidak puas hati rakyat Kulim-Bandar Bharu terhadap pentadbiran Perdana
Menteri pada waktu itu, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi yang juga
merupakan satu fenomena nasional sehingga menyebabkan BN kehilangan
majoriti 2/3, kali kedua selepas 1969.
Justeru,
untuk memastikan kemenangan Saifudin, penulis suka mencadangkan agar
beliau dipindahkan dari bertanding kawasan yang sama dengan Sahlan di
parlimen Kulim-Bandar Baharu.
Saifudin mungkin boleh dipertimbangkan
untuk kerusi parlimen Merbuk yang akan dikosongkan oleh penyandangnya
sekarang, Datuk Rashid Din.
Lagipun, calon yang diletak dalam senarai pertimbangan di kawasan tersebut sekarang oleh PKR, Zamri Yusof, tidak sehebat mana dari segi populariti dan karisma yang diperlukan untuk menang, berbanding dengan Saifudin.
Atau mungkin PKR boleh membuat pertukaran kawasan dengan Naib Presidennya, N Surendran yang dicalonkan di kerusi Parlimen Padang Serai yang pernah ditandingi Saifudin pada 2004.
1 comment:
Pernah berlaku dalam pilihan raya lepas di Parlimen Keningau,Sabah. Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bertembung dengan Dr.Jefry Kitingan. Tan Sri Joseph menang
Post a Comment