Thursday, April 5, 2012

Walaupun RM1, menteri tidak boleh belanja lebih


"Menteri Kewangan tidak boleh berbelanja lebih sekalipun RM1 daripada jumlah diperuntukkan apatah lagi peruntukan itu diluluskan dalam parlimen," tegas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad  Beliau berkata demikian merujuk kepada anggaran perbelanjaan tambahan  kedua 2011 (2012) yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, dilihat melebihi daripada jumlah yang diperuntukkan.

Tegasnya, Menteri Kewangan hanya boleh mebelanjakan jumlah yang diperuntukkan dalam parlimen, dan jika mahu berbelanja lebih boleh menggunakan dua tabung iaitu tabung kumpulan wang luar jangka dan simpanan luar jangka.
Jumlah peruntukan kumpulan luar jangka sebanyak RM1.5 billion manakala simpanan luar jangka pada tahun 2011 adalah RM2 billion. Kumpulan luar jangka diperuntukan hanya untuk pengurusan, simpanan luar jangka hanya untuk pembangunan (P.70).
"Apa yang kami dapati dalam perbelanjaan tambahan ini, apabila kami menjumlahkan seluruhnya bekalan-bekalan bersabit dengan pengurusan iaitu membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbendaharaan, dan banyak lagi di mana jumlahnya adalah RM3.1 billion iaitu lebih daripada diperuntukan iaitu RM1.5 billion dalam bajet," tegasnya.
Ekoran itu, Dzulkefly mempertikaikan dari mana baki lebih kurang RM1.8 billion datang sedangkan sejumlah wang dari kumpulan wang luar jangka sudah digunakan kesemuanya.
"Kami mempertikaikan dari mana datangnya jumlah ini dan menteri tidak boleh jawab, bahkan beliau pula mengatakan kami yang tidak faham dan tidak betul, yang mengecewakan lagi timbalan Speaker pula bersetuju dengan timbalan menteri," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Katanya, itulah masalah utama yang berlaku dalam aliran kewangan negara apabila perbelanjaan berlebihan daripada jumlah yang diperuntukan, di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kalau kita tidak bangkitkan perkara ini, siapa yang akan buat. Nak harapkan barisan ahli parlimen BN sudah tentu mereka memilih untuk diam. Sedar-sedar bila Speaker minta setuju atau tidak, mereka hanya laungkan setuju," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, mencadangkan satu Suruhanjaya Diraja diwujudkan bagi menjalankan penyiasatan terperinci kaedah pengurusan belanjawan negara selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu dalam sesi penggulungan, Azan Ismail berkali-kali meminta Timbalan Menteri Kewangan menyatakan dengan jelas anggaran perbelanjaan tambahan itu sehinggakan ditegur Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Kewangan enggan menjawabnya.

No comments:

Search This Blog