Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang diheret dalam isu salah guna dana projek ternakan lembu, Pusat Fidlot Nasional (PFN), yang dikendalikan suami dan anaknya, akan tetap bersama perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno.
Sambil menganggap isu berkenaan yang tercetus susulan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai asam garam dalam kehidupan ahli politik, Ketua Wanita Umno itu, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata ia tidak mengganggu kepemimpinannya dalam pergerakan itu.
Datuk Seri Shahrizat berkata, kurangnya penampilannya di majlis atau media adalah kerana bercuti dan kebetulan cuti tahunannya diluluskan awal dan ketika isu PFN timbul.
'Program Wanita Umno tidak tergugat, semua berjalan lancar mengikut perancangan. Seminggu lalu saya menunaikan umrah.
'Pagi tadi (kelmarin) saya bersama ribuan ahli dan pemimpin Wanita Umno di Pahang dalam program dihadiri Sultan Ahmad Shah.
'Saya akan bersama perwakilan minggu depan dan kita akan bersidang sepanjang tempoh itu,' katanya ketika dihubungi Berita Minggu Malaysia (BMM) kelmarin.
Mengenai kemungkinan pembangkang menggunakan isu PFN untuk memecahbelahkan Wanita Umno, beliau berkata, sudah tentu pembangkang akan melakukan pelbagai taktik dan cubaan untuk melemah serta memusnahkan pergerakan itu.
Namun, Wanita Umno akan terus memberi perhatian sepenuhnya kepada tugas diamanahkan, kata-nya.
Mengenai tambahan kerusi kepada Wanita Umno pada pilihan raya umum nanti, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi bagi menentukannya kerana percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, peka dan prihatin dengan sumbangan sayap itu kepada parti dan negara.
Perhimpunan Agung Umno 2011 selama lima hari itu dilihat banyak pihak sebagai yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sementara itu, menjelang perhimpunan itu, Datuk Seri Najib, dalam wawancara khas dengan agensi berita Bernama di sini, kelmarin, menggesa ahli Umno mengutamakan parti melebihi kepentingan diri.
Datuk Seri Najib juga menafikan dakwaan bahawa Umno tidak lagi memperjuangkan kepentingan Melayu sehingga menyebabkan kaum itu berasa terpinggir kerana sejak dulu hingga kini agenda berkenaan terus diperjuangkan parti itu.
'Itu tidak benar. Walaupun kita dengan slogan 1Malaysia tetapi kita tidak pernah kata agenda Bumiputera itu kita sudah tiadakan. Malah ia masih lagi menjadi agenda utama (Umno) dan sebahagian agenda nasional kita.
'Apa yang kita lakukan terhadap kaum lain ialah untuk melakukan apa yang perlu bagi menunjukkan kerajaan kita adil dan berdiri atas tunggak keadilan sosial,' katanya.
No comments:
Post a Comment