Tuesday, November 15, 2011

Raja-Raja Melayu harus mencontohi Sultan Kelantan

Dirgahayu Tuanku

SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, Tuanku Faris Petra disambut Menteri Besar, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hadir pada Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Padang Merdeka dekat Kota Bharu sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-42, 11 November lepas.

Ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan pada kali ini disambut dalam keadaan yang agak berbeza. Tiada pintu gerbang berwarna warni di setiap daerah. Tiada program kebudayaan yang diatur.

Baginda Sultan sudah menunjukkan hemahnya yang tinggi. Selain daripada majlis-majlis rasmi, baginda menganjurkan program berbentuk islamik dan ibadah, mendekati rakyat, memberi kebajikan dan bersedekah sebagai salah satu upacara wajib bagi meraikan keputeraannya.

Baginda menukar laungan 'Daulat Tuanku' yang sering diucapkan pada setiap majlis yang melibatkan Raja dengan Allahu Akhbar. Titah baginda, laungan ditukar kepada Allahu Akbar, supaya pengucapnya mendapat pahala yang daripada Allah SWT.

Malah baginda turut merubah pendekatan pemerintahannya. Selaku Ketua Agama Islam Negeri, baginda bukan sahaja menyertai majlis keagamaan, malah menjadi imam serta mengetuai majlis-majlis agama yang dianjurkan.

Baginda menitahkan agar banner-banner yang digantung di seluruh Kelantan untuk upacara keputeraannya diubah kepada slogan yang baru. "Islam dijunjung, Raja disanjung, Rakyat dipayung." Itulah slogan yang baginda kehendaki.

Dengan mengubah slogan daulat kepada Allahu Akbar, menukar slogan keputeraan dengan meletakkan Islam sebagai keutamaan, ternyata daulat baginda tidak tercemar sama sekali.

Hal ini membuatkan baginda lebih disayangi dan disanjung rakyat.

Baru-baru ini selepas merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri, baginda merentasi karpet merah untuk menuju ke kenderaan rasmi. Tidak semena-mena baginda berhenti. Semua orang terkejut. Baginda berhenti dan lantas berundur ke belakang, mendapatkan mamanda Menteri Besar yang tertinggal kerana baginda yang muda berjalan dengan agak laju.

Sambil tersenyum, baginda kelihatan berseloroh dengan Tuan Guru Nik Aziz. Kedua-dua mereka menguntum senyuman. Kembali berjalan beriringan, MB menuntun Sultan ke kenderaan rasmi baginda.

Dalam banyak majlis yang melibatkan Sultan, baginda kelihatan santai dan begitu menyantuni rakyat, walaupun protokol kebanyakan Raja-Raja Melayu tidak begitu. Pendekatan sebeginilah yang membuatkan rasa kasih sayang rakyat begitu menebal kepada baginda.

Baginda menunjukkan sifatnya yang cenderung kepada agama dengan kekerapan menyantuni alim ulama di Kelantan.

Bukan apa, sekurang-kurangnya Sultan Muhammad Ke-V sudah menunjukkan suatu contoh yang baik buat Raja-Raja Melayu. Iaitu, baginda berusaha mempraktikkan title Ketua Agama Islam Negeri dengan kepribadian dan pergaulan yang islamik.

Tidak salah, malah baik untuk Raja-Raja Melayu mencontohi sifat Sultan Kelantan. Sekali gus Raja-Raja Melayu menjauhkan diri mereka daripada elemen-elemen yang boleh mencemar sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Justeru, Raja-Raja Melayu harus mencontohi Sultan Kelantan yang mempraktikkan slogan "Islam dijunjung, Raja disanjung, rakyat dipayung". Allahu Akhbar, Daulat Tuanku!

3 comments:

Anonymous said...

Allah hu Akbar Subha Nallahu Robbul'alamin dengan berkat kepimpinan yang tuanku tauladankan ambo pecaya tuanku-tuanku yang lain juga jangan asyik dok nak bina istana sahaja raayak bekerja senrengah nak mati untuk nak hidup mai tang raja-raja arah saja apa yang hendak semua dapat contohi lah cara pemerentah para sahabat kalau tak mampu nak ikut cara rasullullah Allah huakbar

Anonymous said...

ALLAHHUAKHBAR !ALLAHHUAKHBAR ! ALLAHHUAKHBAR !

KAMI SEMUA BANGGA DGN TUANKU !

Mohd Ramli Omar said...

Semuga zaman pemerintahan Tuanku Muhammad V diberkati Allah dan menempa zaman kegemilangan Negeri Kelantan Darun-Naim. Didoakan agar Tuanku selamat di dunia dan akhirat.

Search This Blog