Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Soalan
ini mungkin mengejutkan. Sebab, secara umumnya ramai muslim menganggap
setiap yang bukan muslim pasti akan diazab dalam neraka. Tanpa mengambil
kira keadaan mereka.
Apabila saya merenung sikap baik ramai individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz.
Semasa saya masih Mufti Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya
secara bersendirian. Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup.
Ada beberapa soalan yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba sederhana untuk beliau ketika itu.
Prof DiRaja Engku Aziz
Berbudi Baik
Soalan
itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai orang bukan
muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam hubungan mereka
sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim sendiri. Ya, bukan
semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga penuh dengan tompokan
hitam dengan pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi. Hari ini pun,
banyak negara yang mereka ganggu.
Itu
cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan semestinya
sama cerita orang politik dengan cerita orang awam. Hakikatnya, dalam
kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur dalam pekerjaan,
ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan dan alam. Banyak
usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan malapetaka. Ada pula
yang enggan memakan daging kerana simpati kepada binatang. Pelbagai lagi
asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup mereka. Di samping tidak
dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara negatif lain.
Di barat, sarkas juga diboikot kerana menganiayai haiwan
Saya
ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia
juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya,
“Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya, “Tidak,
hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat
itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka
selagi saya hidup”. Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun sukar
hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit
mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak
tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.
Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.
Halangan Hidayah
Bukan
sedikit dari golongan bukan Islam yang seperti Stefanie. Jiwa mereka
baik, perasaan mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar
tidak sampai kepada mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak
hadangan yang mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai.
Kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut,
merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang
mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik
kepada masyarakat dunia. Ditambah media massa Barat yang memberikan
wajah buruk tentang Islam. Disokong pula oleh tindakan umat Islam
sendiri.
Kes yang memburukkan Islam di pandangan orang bukan Islam
Lihat
Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas
wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara
satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di
sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana ‘Islam’, jenama
‘Islam’, lambang ‘Islam’ sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram
dan kabur. Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya
keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari
ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat
dalam keadaan demikian. Allah berfirman:
“Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya”
(Fussilat: 46)
Namun
tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui
jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita
kata mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya,
maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang
palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran
dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam
pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.
Kemudian,
bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula semua
mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak
berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi
mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan
derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya?
Tiada. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan
sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan
semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak
tertanggung oleh manusia.
Bolehkah Selamat?
Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford
seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki
berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar
tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu
yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini ‘Can Non-Muslims be Saved?’.
Pembentangnya adalah Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.
Jon Hover
Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya, beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H) tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa karyanya khususnya Hadi al-Arwah,
Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa alasan yang menarik bahawa
nereka itu akhirnya akan tamat. Tiada sebarang hikmat Allah menghukum
manusia kuffar dalam neraka selamanya. Idea yang kontraversial itu
dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan beberapa hujah menggunakan riwayat
salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat Allah yang sentiasa
mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal membentang secara
rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat al-Quran Surah Hud ayat
106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan pemikiran Ibn Qayyim itu di
sini.
Saya
rasa persoalan ‘can non-muslims be saved?’ bukanlah itu jawapannya yang
memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah hanyalah
tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun, yang ke
neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik oleh Ibn
al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat, lebih jelas
dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan Islam.
Selamat Dari Azab
Para
sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran bahawa
Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan
rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari
seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan
untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini
seperti yang Allah tegaskan: (maksudnya)
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul”
(Surah al-Israk: 15)
Inilah
yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah hidayah kepada
mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang jahil yang
tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan tentang Islam
mengenai sesuatu perkara. Al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut:
“Allah
itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan
hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang
tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab”.
Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)
“Rasul-rasul
pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah
(alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah
mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana”
(al-Nisa: 165)
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:
“Sesungguhnya
azab itu layak diterima kerana dua sebab. Pertama, tidak mahu mendengar
hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua,
berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab
berkaitan. Maka jenis yang pertama ialah kufur berpaling (enggan
mendengar) dan yang kedua ialah kufur keras kepala. Adapun kufur kerana
jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah,
jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah
rasul”.
Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:
“Sesungguhnya
penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan
individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir
pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak
pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain.
Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain”
(m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)
Ya,
maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam itu
sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman, tempat
dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya berbeza
dengan zaman dahulu. Zaman kekeliruan tidak sama zaman kejelasan.
Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di negara
muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan seterusnya.
Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka, apabila hujah
tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan mengazab mereka.
Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?
2 comments:
Adakah iman Prof DiRaja masih belum kukuh? Bukan di dalam al-Quran ada perkataan kekal kamu selama-lamanya. Takkan belajar matematik tak pernah dengar perkataan 'infiniti', kalau di dalam matematik berlaku infiniti takkan ciptaan Allah tidak boleh berlaku pada konsep infiniti.
[71]
Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?" Mereka menjawab: "Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir.
[72]
(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: "Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.
[73]
Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:" Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya" (mereka pun masuk) - Az-Zumar 71-73.
apekah nasib org yg tidak pernah tahu tentang islam? org yg hidup zaman batu? nenek moyang kita yg hidup sblm kedatangan islam?
Post a Comment