Thursday, November 10, 2011

K'jaan Selangor Akan Beri Bayaran Kepada Mereka Yang Lapor Rasuah


Orang ramai yang melaporkan rasuah bakal menerima hadiah di bawah satu geran RM15 juta yang akan dilaksanakan di bawah bajet Kerajaan Selangor 2012.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, geran itu merupakan duit yang dahulunya hilang akibat rasuah dan ianya kini digunakan bagi melaksanakan program pembasmian rasuah yang lebih berkesan dan sistematik.

Abdul Khalid berkata pelapor kes rasuah dan penyelewengan di dalam agensi Kerajaan Negeri Selangor yang berjaya dibuktikan akan diberikan hadiah oleh Kerajaan Selangor.

"Kerajaan negeri menyediakan peruntukkan untuk masyarakat memerangi rasuah, dan ianya bukan sekadar cakap-cakap sahaja, tetapi dibuktikan dengan tindakan melalui peruntukan yang disalurkan.

"Kita mempunyai ketelusan dan kebertanggungjawaban, dan kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk memastikan kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus," kata Abdul Khalid semasa sidang media selepas pembentangan bajet.

Dana tersebut juga boleh diguna untuk mengaudit pihak yang menyalahgunakan peruntukan kerajaan, Abdul Khalid berkata.

"Dan jika ada pihak yang mempunyai maklumat berkenaan rasuah, dan memerlukan peguam untuk mendapatkan perlindungan, kita akan menilai perkara tersebut terlebih dahulu, dan jika dia benar-benar memerlukan, barulah kerajaan akan meluluskannya," katanya.

No comments:

Search This Blog