Kesederhanaan yang memberikan keindahan
“Kamu
tahu tak, orang cina yang mati kalau nak kebumikan mayat diorang kena
sediakan lebih kurang RM20 ribu tau” seorang sahabat saya membuka
perbualan ketika kami sedang berjalan ke arah liang lahad untuk
mengebumikan seorang jenazah yang baru sahaja meninggal dunia di taman
perumahan kami.
“Oh
ye ke? Baru sekejap tadi saya berbual dengan seorang sahabat kita yang
baru memeluk Islam. Dulu dia Buddha. Katanya paling murah RM6 ribu
nak kena sediakan” kata saya.
“Tu yang murah punya rasanya. Yang tu diorang bakar je kot.” balas sahabat saya sambil kami berjalan seiringan.
Tidak cukup duit? Jawapannya bakar
“Alhamdulillah,
kos pengebumian kita tidaklah semahal itu. Setahu saya lebih kurang
RM850 sahaja. Itu dah masuk semua sekali, dengan van jenazah sekali.
Murah kan” saya menambah.
“Ya,
murah je. Dan alhamdulillah, taman perumahan kita ni semuanya
ditanggung oleh pihak surau tanpa keluarga waris perlu bayar apa-apa”
sahabat saya yang merupakan AJK surau memberikan penjelasan tentang
kaedah pengurusan jenazah di taman perumahan kami.
“Alhamdulillah.
Itulah antara yang cantiknya Islam ni. Cara pengebumian orang Islam
ni boleh jadi pintu hidayah kepada orang bukan Islam untuk masuk Islam.
Mudah dan tidak menyusahkan waris” saya membalas sambil menyegerakan
langkah kerana jenazah sudah mahu diangkat ke liang lahad. Tidak mahu
ketinggalan untuk turut sama mengangkat jenazah.
Sedang
talkin dibacakan oleh imam di perkuburan, saya merenung kembali
kata-kata saya kepada sahabat saya tadi. Sungguh, memang cara
pengebumian umat Islam boleh menjadi jalan hidayah kepada orang yang
bukan Islam untuk tertarik dengan Islam. Cara pengebumiannya ringkas
dan sederhana sifatnya. Dan kos pengurusannya tidak sehingga
membebankan pihak waris.
Perlukah ini semua selepas mati?
Saya
teringat akan dua kisah yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu
tentang bagaimana dua orang yang beragama Kristian yang masuk Islam
disebabkan oleh tertarik dengan cara pengebumian orang Islam yang cukup
sederhana dan ringkas sifatnya.
Kisah Pertama
Kisah
pertama berlaku kepada seorang paderi Kristian dari Itali. Beliau
telah menyatakan hasrat untuk memeluk Islam setelah menonton dengan
teliti cara pengebumian Raja Fahd bin Abdul Aziz,
iaitu Raja Arab Saudi ketika itu. Cara pengebumian yang sangat
sederhana itu telah ditayangkan ke seluruh dunia dan dapat disaksikan
oleh ramai orang.
Perkuburan Raja Fahd bin Abdul Aziz
Seingat
saya, faktor utama yang membuka pintu hidayah si paderi itu ialah
bagaimana Islam bertindak tidak membeza-bezakan antara jenazah si
pembesar dengan jenazah orang biasa. Telah ditayangkan bagaimana
jenazah Raja Fahd disolatkan bersama-sama dengan jenazah yang lain tanpa
upacara yang istimewa khas untuk jenazah Raja Fahd. Malah kain kapan
dan kotak keranda serta keseluruhan proses pengebumian sama sahaja tanpa
dibezakan darjat raja atau orang biasa. Walaupun sudah bertahun-tahun
beliau diajak masuk Islam dan tetap berdegil, namun dengan melihat cara
pengebumian yang cukup sederhana ini telah membuatkan beliau pasrah
dengan keindahan Islam, seterusnya masuk Islam.
Kisah Kedua
Kisah
kedua berlaku kepada seorang nenek di USA. Cucu beliau telah pun
memeluk Islam dan menjadi salah seorang yang giat berdakwah di tempat
mereka. Puas si cucu ini memujuk neneknya untuk masuk Islam, tetapi
tidak berjaya dipujuknya. Pada suatu hari telah berlaku kematian di
kalangan orang Islam di tempat mereka. Disebabkan orang Islam yang
meninggal dunia itu adalah terdiri barangkali keluarga terdekat atau
jiran mereka, maka si nenek pun hadir sama ke upacara pengebumian si
muslim yang meninggal dunia itu.
Selepas
upacara pengebumian tersebut, nenek itu telah berkata kepada cucunya
tadi, “Kalau aku mati nanti, aku mahu kamu kebumikan aku macam itu
juga”, beliau merujuk kepada cara pengebumian muslim tersebut. Dengan
hidayah dan taufiq dari Allah, maka nenek itu pun masuk Islam. Beliau
masuk Islam lantaran tertarik dengan cara pengebumian Islam yang
sederhana dan menginsafkan. Selang beberapa tahun kemudian, nenek itu
meninggal dunia. Dan beliau dikebumikan dengan cara yang beliau mahukan
iaitu meninggal dunia sebagai muslim dan dikebumikan dengan cara
pengebumian muslim. Kisah ini telah disampaikan oleh cucu beliau yang
merupakan seorang pendakwah Islam yang aktif berdakwah di USA.
Itulah dua kisah yang mungkin dapat kita pelajari dan ambil iktibar. Betapa kesederhanaan dan mudahnya Islam ini dapat menambat hati fitrah manusia.
Justeru, amalkanlah Islam mengikut
contoh yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam.
Jangan menyusah-nyusahkan dengan upacara tambahan dan rekaan. Sungguh,
pada kesederhanaanlah, Islam ini dilihat cantik.
1 comment:
merujuk kisah pertama... nasib baik dia tengok apa yang berlaku kat arab saudi, kalau dia tengok apa yang berlaku kat Malaysia... mungkin tak jadi apa_apa...
Post a Comment