Friday, January 7, 2011

Ada pihak sabotaj MB

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa ada individu tertentu mendahului Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghantar surat kepada Sultan Selangor dengan meletakkan nama Khusrin sebagai calon yang pertama.

Khalid mendakwa, pada 3 Disember lalu, satu surat telah dihantar kepada Sultan Selangor dengan mengisi nama Khusrin sedangkan pada awalnya nama Khusrin tidak tersenarai dalam pemilihan yang dilakukan oleh Menteri Besar dan jawatankuasanya.

Menurutnya, pada 10 Disember pula, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani telah memberikan jawapan kepada Mantan SUK, Datuk Ramli Mahmud menerusi satu surat bahawa Sultan perkenan Khusrin dilantik menjadi SUK Selangor yang baru.

“Kerja-kerja tersebut dilakukan tanpa pengetahuan dan tidak melalui Abdul Khalid kerana surat yang dibuat terus diberikan kepada Munir.

“Pada 16 Disember pula, Mesyuarat Exco telah diadakan dan Abdul Khalid memaklumkan surat calon SUK akan diserahkan 17 Disember namun tanpa pengetahuannya Khusrin telah dilantik melalui surat yang dihantar Munir pada 10 Disember lalu,” katanya.

Khalid berkata, pada 17 Disember, Abdul Khalid telah menghantar surat tersebut sedangkan tanpa pengetahuannya Sultan telah membuat keputusan.

“Bagaimana perkara ini boleh berlaku, Ramli telah mendapat surat jawapan pada 10 Disember, tetapi tidak memaklumkannya kepada Abdul Khalid dan bersama-sama bermesyuarat pada 16 Disember.

“Abdul Khalid memaklumkan kepada Exco supaya tidak melakukan pengumuman mengenai pelantikan SUK sehingga beliau balik bercuti tetapi semasa sedang bercuti, pengumuman pelantikan Khusrin sebagai SUK telah dilakukan,” katanya.

Khalid berpandangan Kerajaan Negeri membantah pelantikan kerana dua dasar iaitu yang pertama ialah Khusrin merupakan calon yang berada di kedudukan yang bawah sekali sewaktu temu duga diadakan dan beliau tidak mampu memainkan peranannya sekiranya memegang jawatan SUK.

“Khusrin dilihat tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris sedangkan banyak urusan kerajaan negeri menggunakan bahasa Inggeris terutamanya ketika berkomunikasi dengan pelabur luar,” katanya.

No comments:

Search This Blog