Akhirnya, seperti yang diduga Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Malah, ia adalah sesuatu yang logikal.
Sebelum ini, saya pernah menyebutkan bahawa sekiranya PKR ingin menampilkannya sebagai parti alternatif dalam PRU13, ia harus meletakkan seseorang yang ada pengalaman dalam kerajaan di jawatan nombor dua itu.
Dalam PKR, jawatan Presiden hanyalah bersifat “ceremonial” saja sedangkan kuasa sebenar di tangan Ketua Umum. Sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka Timbalan Presiden akan menjadi orang yang paling berkuasa dalam parti itu.
Azmin Ali dilihat sebagai seorang Setiausaha Anwar; dulu, kini dan selamanya. Walaupun Azmin adalah seorang yang vokal, namun dia belum cukup menyerlah untuk menduduki kerusi nombor dua.
Walaupun ada pengalaman dalam kerajaan, namun Dato’ Zaid Ibrahim pula dilihat sebagai orang baru yang belum mendapat kepercayaan sepenuhnya dalam parti. Terlalu ramai yang mencurigainya. Malah, Timbalan Presiden PKR Senator Syed Husin Ali beberapa kali membidas Zaid dalam Twitternya.
Mustafa Kamil Ayub mempunyai pengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan; dan itu tidak cukup untuk melayakkannya sebagai Timbalan Presiden.
Manakala, Nurul Azzah Anwar tidak mempunyai sebagai aura atau kehebatan, melainkan dia anak Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah.
Kemasukan Khalid Ibrahim akan menyebabkan perubahan imbangan dalam persaingan untuk jawatan nombor dua itu. Bekas tokoh korporat, berpengalaman sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Besar, Khalid dilihat sebagai “penyelesaian” kepada perebutan jawatan dalam parti itu yang semakin sengit.
Apa yang menarik untuk kita perhatikan ialah siapakah yang akan menjadi orang pertama “endorse” nama Khalid Ibrahim sebagai Timbalan Presiden PKR?
Adakah Azmin Ali?
Atau, adakah Zaid Ibrahim?
No comments:
Post a Comment