Wednesday, October 13, 2010

Air naik di Kedah, BN pula terpaksa bela diri

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Agak menarik dalam isu kenaikan tari air di Kedah ialah sepatutnya Kerajaan Negeri yang teruk dihentam kerana menaikkan harga air. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, di mana pihak pembangkang (BN) pula yang terpaksa berhempas pulas mencari dalih dan helah untuk melepaskan diri dari dipersalahkan.
Setiausaha Umno Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad menganggap Menteri Besar Dato’ Seri Azizan Razak macam ‘gangster’ kerana asyik mengugut untuk mendedahkan kepincangan mereka sewaktu jadi kerajaan dulu.

Nawawi agak tertekan kerana dia adalah Exco yang bertanggungjawab terhadap air di masa BN. Menteri Besar mendedahkan pembinaan logi pembersihan air Lubuk Buntar yang berkapasiti 25 juta liter sepatutnya bernilai RM25 juta. Tetapi pembinaan di tangan BN menjadikan harganya RM65 juta.
Logi pembersihan air Padang Sanai yang sepatutnya bernilai RM50 juta untuk kapasiti 50 juta liter air tetapi dengan sentuhan tangan BN, harganya melonjak menjadi RM155 juta. Ia mungkin menjawab persoalan mengapa kerajaan lalu beriya-iya menolak geran peruntukan Pusat untuk perkhidmatan air. Sebaliknya mereka menerima pinjaman yang memberi peluang menentukan siapa kontraktornya serta tidak terikat dengan harga berasaskan spesifikasi dari Kementerian Kerajaan Pusat.
BN dipersalahkan juga berhubung perjanjian-perjanjian yang merugikan rakyat dalam pengurusan air yang dimeterai oleh kerajaan lalu. Antaranya ialah dengan syarikat Taliworks di Langkawi. Taliworks dikatakan syarikat kroni pemimpin BN dan maklumat dalaman syarikat itu mendedahkan bahawa mereka pernah menyumbang RM90 ribu untuk satu jamuan raya anjuran Ir. Nawawi. Mujur beliau belum lagi menjadi ADUN dan Exco sewaktu mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah bersetuju menyambung kontrak Taliworks sehingga tahun 2020.
Dalam perkembangan terbaru, Menteri Besar menyerahkan kepada SPRM sama ada mahu menyiasat atau tidak pemimpn-pemimpin kerajaan lalu. Sebenarnya SPRM berbeza dengan polis yang membuat siasatan selepas laporan dibuat. SPRM mempunyai detektif dan boleh menyiasat tanpa laporan pun. Dan memang dalam banyak kes yang melibatkan individu dalam Pakatan Rakyat mereka menyiasat tanpa laporan dibuat oleh mana-mana pihak. Cuma persoalannya, antara mahu atau tidak.
Kenaikan harga air sehingga 27 peratus adalah angka besar dan menakutkan. Tapi hakikatnya ia tidak sebesar mana kerana harga asal air di Kedah cukup murah pun. Syarikat Air Darul Aman (SADA) mudah saja bermain perang saraf. Mereka membandingkan harga sebelum kenaikan iaitu 8 sen bagi satu tong dram (200 liter) menjadi 10 sen bagi satu tong dram selepas kenaikan. Kenaikan untuk satu tong dram Cuma 2 sen. Poster dan risalah mengenainya diedarkan ke seluruh negeri. Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa harga air di Kedah serendah itu lalu mengiyakan kenaikan tarif air.
Ada juga yang bertanya mengapa kerajaan negeri tidak beri subsidi air? Ketua Pegawai Eksekutif SADA Dato’ Adzmi Din menjelaskan bahawa kenaikan yang sepatutnya ialah RM0.96 semeter padu, barulah kerajaan dapat menampung semua kos pengurusan air.
Dengan tarif yang baru diumumkan ini (RM0.50 semeter padu), SADA dijangka masih mengalami kerugian sebanyak RM24 juta setahun. “Maknanya kerajaan dah bagi ‘subsidi’ RM0.46,” katanya. Kenaikan tarif air di Kedah, ternyata dapat diatasi dengan mudah oleh kerajaan negeri. Maka kenaikan bukan lagi isu besar. Isu besar di sebalik kenaikan tariff air ialah penjajahan Pusat terhadap hak air negeri.
Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada bulan Januari 2005 di mana perkhidmatan bekalan air berkaitan dengan rawatan air dan pengagihan dipindahkan dari Senarai Negeri ke Senarai Bersama (Negeri dan Pusat).
Penstrukturan semula industri bekalan air oleh Kerajaan Persekutuan berlaku pada tahun 2003 iaitu melibatkan penstrukturan semula indsutri Bekalan Air Negara oleh Kerajaan Persekutuan, Pindaan Perlembagaan Persekutuan (2005), Kelulusan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 665) pada tahun 2006, Kelulusan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air (Akta 654) pada tahun 2006 dan Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tahun 2007. Semua itu menjadi langkah-langkah penaklukan Pusat terhadak hak air negeri.
Dengan adanya kedua-dua akta tersebut (Akta 655 dan Akta 654) yang telah diluluskan pada tahun 2006 dan telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2008, maka Enakmen Bekalan Air yang diguna pakai oleh negeri-negeri tidak lagi terpakai dan semua Jabatan Bekalan Air dan Lembaga Air Negeri diletakkan di bawah kawalan SPAN.
Seksyen 3 Akta 655 telah memperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan sistem bekalan air dan perkhidmatan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.
Enakmen Bekalan Air (Syarikat Pengganti) 2008 telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kedah pada 18 November 2007 dan diwartakan pada 27 Mac 2008 di mana Enakmen ini membolehkan Kerajaan Negeri berkenaan dengan perkhidmatan bekalan air kepada satu syarikat penganti yang akan berfungsi sebagai operator bekalan air bagi menggantikan Jabatan Bekalan Air Kedah (JBAK). Pengkorporatan JBAK ke SADA adalah untuk memenuhi Akta Persekutuan ini. Semua ini angkara kerajaan BN yang separuh abad berkuasa di Pusat. Dan episod-episod kehilangan hak negeri terhadap air selepas ini akan berlarutan.
Hak negeri terhadap api (elektrik) tiada lagi. Hak terhadap tanah juga banyak yang telah dicerobohi Akta. Dari ‘tanah, air, api, angin’ maka yang tinggal untuk anak negeri selepas ini cuma angin.

1 comment:

Anonymous said...

Kuasa Dewan yang cukup majority boleh meminda Enakment tersebut walau pun telah di luluskan sebelum ini oleh kerajaan BN sekiranya PAS benar ingin menjaga kepentingan rakyat.Tetapi tidak di lakukan malah telah mendatangani Perjanjian tersebut.Ini menandakan PAS bersetuju dengan tindakan perswataan air yang akhirnya memerankap rakyat dengankos yang tinggi.Cerdik tak boleh ditumpang ,bodoh tak boleh di ajar.Itu lah Azizan

Search This Blog

Loading...