Dengan rasa rendah diri, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Merdeka 2010 kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Saya ingin tegaskan bahawa DAP dengan penuh iltizam telah berjuang ke arah mewujudkan masyarakat pelbagai kaum dengan menawarkan peluang saksama dan keadilan untuk semua. DAP tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin hak-hak setiap rakyat di negara ini.
Malangnya, iltizam dan semangat DAP ini cuba dipatahkan oleh segelintir manusia yang tidak mahu melihat masyarakat Malaysia hidup dalam suasana harmoni dan kasih sayang.
Pada kala DAP rapat dengan orang Melayu, golongan rasis telah memutarbelitkan niat murni kami untuk memupuk persaudaraan dengan orang Melayu. Di kala DAP menghulurkan salam silaturrahim kepada umat Islam di Malaysia, kumpulan rasis yang sama itu memutarbelitkan hasrat suci kami untuk bersahabat dan mengikat tali persaudaraan dengan umat Islam.
Pada kala DAP mengajak semua kaum di negara ini, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban dan sebagainya untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, kumpulan-kumpulan rasis yang telah kehabisan modal terus membohongi rakyat untuk memastikan usaha perpaduan tulen ini gagal.

Erti Merdeka amat penting kepada kita semua kerana ia mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran, khususnya dalam usaha kita untuk memupuk perpaduan kaum.
Merdeka bererti kita bebas daripada penindasan dan pengekangan hak. Merdeka bererti Malaysia bebas daripada undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi undang-undang yang bersifat anti-rakyat dan anti-kebebasan.
Malah, Merdeka juga sepatutnya bererti Malaysia bebas daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, diskriminasi dan perkauman. Merdeka bermaksud rakyat hidup aman damai tanpa rasa takut.
Bagi pihak DAP dan Pakatan Rakyat, sempena Hari Merdeka yang mulia ini, kami yakin rakyat akan membuat pilihan yang bijak dalam pilihan raya umum akan datang. Kami berjanji akan melaksanakan erti Merdeka yang sebenar untuk membebaskan rakyat daripada belenggu tekanan dan ketakutan.
Malah, apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat, kami menawarkan RM1,000 kepada setiap warga emas, member perhidmatan wi-fi percuma untuk semua dan menghapuskan saman ekor. Ini hanya sekadar beberapa usaha kami untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
*Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-53 oleh Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng.
No comments:
Post a Comment