Monday, August 30, 2010

Kenapa rakyat tak kibar bendera?

BARU-baru ini wartawan media arus perdana membuat tinjauan di ibu kota Kuala Lumpur, bersempena dengan kehadiran bulan Ogos yang juga dikenali sebagai bulan kemerdekaan.

Selama dua jam wartawan tersebut duduk di jalan utama di tengah-tengah kesesakan di pusat bandar, didapati tiada satu pun kenderaan awam yang memasang bendera Malaysia. Yang ada hanyalah teksi dan kenderaan perniagaan. Itu pun tidak banyak, jumlahnya boleh dikira dengan jari.
Daripada hasil tinjauan tersbut, boleh disimpulkan bahawa semangat kemerdekaan di kalangan rakyat kian luntur dan amat berkurangan.


Ia adalah manifestasi daripada kegagalan kerajaan Barisan Nasional, memupuk 'mood' rakyat untuk menyambut hari kemerdekaan negara kali yang ke-53.

Seolah-olahnya bulan merdeka tidak ada apa-apa makna bagi rakyat. Sunyi sepi seperti rakyat tidak berminat hendak menyambut hari merdeka.

Sudah tentu hasil tinjauan ini, merunsingkan penganjur utama majlis sambutan kemerdekaan iaitu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim.

Kegagalan Rais

Rais sebagai menteri yang menjaga media, gagal menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau gagal kerana sejak beberapa bulan ini, dan sepanjang bulan ogos, media arus perdana, kerja utama mereka menghentam Pakatan Rakyat tanpa henti, sehingga tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempromosi sambutan kemerdekaan.

Mana ada masa hendak promosi merdeka, jika sepanjang masa digunakan untuk memaki hamun, melaga-laga dan memfitnah pemimpin Pakatan Rakyat.

Secara reverse psikologinya, media 'tali barut' Umno-Barisan Nasional hanya mempromosi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Tan Sri Khalid Ibrahim, Karpal Singh dan ramai lagi.

Rakyat semakin kenal pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Keburukan yang dicanang setiap hari, hanyalah membuatkan rakyat semakin tidak percaya, menimbulkan rasa muak dan menyampah terhadap Umno-BN.

Oleh itu, hasil daripada kegagalan ini, amat menyukarkan Rais. Bagaimana nanti Rais hendak terangkan kepada Kabinet, khususnya Perdana Menteri.

Apakah kerana sekarang ini bulan puasa? Sehingga rakyat begitu sibuk beribadah sehingga tidak sempat untuk meluangkan masa memasang bendera negara?

Atau apakah kerana semangat patriotisme di kalangan rakyat semakin menurun? Mengapa fenomena ini berlaku, harus diperhalusi perspektifnya.

Gagal fahami erti patriotik sebenar

Dalam konteks kenegaraan, semangat patriotik sememangnya harus wujud, dalam jiwa dan minda rakyat, tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Semangat patriotik bukan sahaja harus ada pada kaum Melayu, malah kaum Cina, India dan sebagainya harus wujud. Kaum Cina dan India dalam negara kita adalah warganegara Malaysia, mereka bukan lagi seperti datuk nenek moyang yang datang dari negara China ataupun India.

Patriotisme adalah semangat yang penting tidak harus dikesampingkan.

Sehingga dalam Islam diperjelaskan bahawa 'mencintai negara adalah sebahagian daripada iman (kepercayaan).'

Memahami semangat partriotik dari sudut bahasa, patriot ialah orang yang mencintai dan mempertahankan negara.

Patriotik ialah bersifat patriot. Begitu secara mudahnya. Menyebut cinta, pasti semua orang tahu apa itu cinta. Cinta menuntut kepada pengorbanan.

Sehingga ada pepatah Melayu mengungkapkan gambaran bagi orang yang bercinta begitu hebat sehingga 'lautan api pun sanggup direnangi.'

Justeru dalam soal semangat patriotisme, bagaimana pula dengan semangat cintakan negara? Apakah cukup sekadar lafaz dan kata-kata ikrar yang dilaungkan dalam majlis sambutan hari merdeka? Apakah cukup dengan pemasangan bendera pada kenderaan atau pada dinding-dinding bangunan?

Apakah cukup dengan sambutan kemerdekaan saban tahun pada tanggal 31 Ogos? Cukupkah dengan letupan bunga api menjelang detik 12 malam dan esoknya, dengan segala macam perbarisan dan pertunjukan?

Maka adakah berduyun-duyun rakyat dikerah atau yang hadir menyaksikan perbarisan dan pertunjukan sempena hari kemerdekaan, benar-benar mempunyai semangat patriotisme? Atau mereka hadir kerana ianya suatu sambutan pesta sahaja?

Kata orang tua-tua kita, 'tak kenal maka tak cinta'. Kenalkah kita dengan negara kita yang tercinta ini? Atau sekadar kenal namanya Malaysia, yang dahulunya dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu?

Jika kita singkap kembali sejarah kemerdekaan. Seolah-olahnya Malaya atau Semenajung Tanah Melayu diberikan kemerdekaan secara mudah, iaitu melalui satu perjanjian.

Sedangkan di merata ceruk dunia lain, harga kemerdekaan terpaksa dibayar dengan begitu mahal sehingga menumpahkan darah para pejuang.

Apakah kita sudah merdeka?

Fenomena ini sebenarnya, mengajak kita merenung kembali, apakah negara kita benar-benar sudah merdeka, dalam erti kata merdeka yang sebenarnya?

Atau merdeka kita cuma pada nama, pada hal rakyat masih terus dijajah?

Maka, bersempena bulan kemerdekaan tahun ini, khususnya, anak-anak muda perlu disedarkan dengan hakikat kemerdekaan sebenar.

Persoalan ini amat sensitif. Tetapi mahu tidak mahu sejarah harus dikaji semula, didalami dan diperhalusi. Betapa kebenaran, yang sangat pahit itu harus dibongkarkan.

Pejuang-pejuang sebenar yang terdiri daripada ulama-ulama besar dan pejuang-pejuang Melayu tulen, yang dipenjara, dibunuh dan dibuang daerah harus ditonjolkan. Nama-nama mereka harus diabadikan sebagai pejuang kemerdekaan sebenar, dalam ertikata menentang penjajahan British.

Kita harus meletakkan nama pejuang sebenar di tempatnya, bukan nama-nama 'tali barut' British yang bertopengkan pejuang kemerdekaan.

Mungkinkah selama ini rakyat diperbodohkan dengan sejarah yang ditulis oleh pihak yang berkepentingan? Sudah tiba masanya kebenaran diungkapkan dan rakyat disedarkan.

BN bukan pejuang sebenar kemerdekaan

Hakikatnya, Umno, MCA dan MIC melalui Perikatan (ditukar jadi BN), mendapat kuasa secara mudah kerana mereka dipercayai penjajah British.

Mereka harus mengakui bukan mereka sebenarnya yang menjadi pejuang tulen kemerdekaan.

Tetapi isunya di sini, bukan soal pejuang kemerdekaan semata-mata. Saban tahun rakyat melihat, sambutan kemerdekaan digunakan oleh kerajaan untuk mempromosikan BN.

Sambutan kemerdekaan digunakan untuk mempupuk kesetiaan terhadap kerajaam Umno-BN, yang pada hakikatnya waktu ini tidak diterima sebilangan besar rakyat.

Oleh itu, kita tidak mahu sambutan kemerdekaan negara semakin hambar kerana rakyat semakin tidak menyenangi BN lagi.

Sehingga wujud anggapan bahawa mereka yang memasang bendera Malaysia hanyalah mereka yang menyokong BN sahaja. Malangnya buat Umno-BN, yang mendakwa mereka mempunyai berjuta-juta ahli, kenderaan milik pemimpin, ahli dan penyokong mereka sendiri pun tidak memasang bendera.

Entah mengapa berlaku sedemikian. Apakah mereka malu menaikkan bendera negara kerana takut dilabel Umno-BN sedangkan majoriti rakyat sudah pro Pakatan Rakyat?

Yang jelas, fenomena ini adalah hasil kegagalan Rais dan Umno, MCA, Gerakan serta komponen BN keseluruhannya.

Mereka bukan sahaja gagal memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat, malah di kalangan pemimpin dan penyokong BN juga mereka gagal.

Hampir semua parti utama komponen BN diasaskan di atas nasionalisme. Tetapi idealisme nasionalis yang menjadi asas parti mereka sekian lama, semakin gagal dan luntur.

Ideologi perjuangan BN gagal bukan kerana asas perjuangan mereka tidak baik, tetapi pemimpin mereka sudah jauh menyimpang akibat diselaputi dengan ketamakan dan terpalit dengan pelbagai skandal.

Oleh itu, pemimpin Umno-BN harus faham, bahawa, apabila rakyat enggan memasang bendera, bukan kerana rakyat tidak patriotik, tetapi mereka enggan dilihat bersekongkol dengan BN.

Jika keengganan rakyat memasang bendera Malaysia dilihat sebagai kegagalan Umno-BN memupuk semangat patriotisme, ianya adalah kerana,rakyat berasa suasana pemerintahan BN tidak lagi kondusif dari sudut agama, politik, ekonomi dan kemasyarakat.

Maka dengan itu, fenomena ini menuntut Pakatan Rakyat untuk bersedia menerajui dan memimpin rakyat mencintai negara Malaysia. Rakyat harus menunjukkan semangat cinta negara dengan menyelamatkan Malaysia dari cengkaman 'penjajahan' Umno-BN dengan mengundi Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Hanya dengan cara ini, hari sambutan kemerdekaan akan kembali meriah dengan semangat patriotisme yang tinggi di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, insya Allah.

2 comments:

Anonymous said...

Malas nak pasang Jalur Gemilang sebab UMNO/BN buat negara ni macam mak bapak dia yang punya. Jadi suruhlah mak bapak dia yang pasang.

Kalau bendera negeri aku boleh pasang, tak dak hal punya.

Patriotik, patriotik juga, tapi jangan sampai tak dak otak, pemerintah berlaku zalim, kita dok sokong membabi buta.

Jiran saya yang setiap tahun di bulan kemerdekaan dia pasang Jalur Gemilang bersama anak-anaknya yang masih sekolah rendah. Tahun lepas dia pasang tapi tahun ni aku lihat dia tak pasang pun. Ntah dia protes apa tak tau la.

Yang dapat RM500 tu, jangan lupa bayar saman, dan kepada yang tak kena saman jangan biar kenderaan anda kena saman. Lepas ni kerajaan mesti nak kutip balik duit raya yang diberi dengan buat saman jalan raya. So... jangan biarkan anda dan kenderaan anda disaman.

Banduan pun ada yang diampunkan pada 31 Ogos, apa salahnya kerajaan mengampunkan semua saman-saman yang ada sekarang bermula awal tahun 2010, kalau ada yang dah bayar - kerajaan bayar double kerana menyalahgunakan kuasa. Tapi tobat lahum aku tak caya depa boleh buat macam ni.

Anonymous said...

RAIS kata negara ni sudah banyak berjasa kepada kamu,ni yang tak dapat di terima otak lutut saya!!!!rayat yang mambina negara ni,peminpin mengguap habis dan menghambakan rayat,apa yang diapa luah itu kami nak ikut,itulah undang-undang.kemerdekaan jikalau rayat jelata dapat keyankan perut,selesa hidup dalam negara yang adil,kemeriahan, petriotik otometik bangkit dengan cepat....

Search This Blog