Pakar Forensik Thailand, Dr Pornthip Rojasunan tegas mempertahankan pendapatnya bahawa kematian pembantu politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock adalah akibat oleh kejadian bunuh dan bukannya disebabkan oleh bunuh diri.
Pornthip yang memberi keterangannya di Mahkamah Koroner di sini Rabu, selaku saksi inkues ke-30, membuat kesimpulan itu berdasarkan penglibatannya dalam bedah siasat kali kedua yang dilakukan terhadap Teoh.“Saya juga masih mengekalkan pendapat saya bahawa terdapat kesan kecederaan sebelum jatuh pada Teoh. Saya juga tidak dapat mengesahkan sama ada Teoh sedar ataupun tidak semasa jatuh,” tambah beliau.
Bagaimanapun, pakar yang terkenal dengan fesyen rambut yang berwarna-warni itu tidak dapat memberikan peratusan kemungkinan Teoh dibunuh, seperti yang dilakukan semasa memberi keterangan pada kali pertama Oktober lalu.
Semasa itu, Pornthip mendedahkan bahawa 80 peratus kematian adalah disebabkan bunuh dan hanya 20 peratus diakibatkan bunuh diri.
“Saya bagaimanapun yakin ia bukan bunuh diri,” katanya lagi yang mengakui peratusan yang diberikan pada kali pertama adalah bertujuan untuk menyakinkan Koroner Azmil Muntapha Abas supaya membenarkan mayat Teoh yang ditanam digali semula untuk tujuan bedah siasat.
Dalam keterangan lain, Pornthip juga menolak dakwaan bahawa Teoh yang merupakan pembantu politik Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dicekik kerana berpendapat kesan calar pada leher mendiang disebabkan oleh daya dan tekanan yang lebih kuat.
“Kemungkinan ia (kesan calar) disebabkan oleh benda tumpul seperti keadaan di mana seseorang meletakkan sesuatu di leher ataupun kepala Teoh ditekan pada sesuatu objek,” tambahnya yang mendapat jolokan ‘Dr Kematian’.
Tidak datang dengan tangan kosong, Pornthip membuat persediaan dengan membawa beberapa gambar kes-kes seumpamanya yang pernah dikendalikannya untuk menjadi rujukan mahkamah.
Pornthip disoal oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor dalam prosiding inkues yang telah bermula sejak 29 Julai 2009.
Beliau yang hadir dengan diiringi dua pengawal peribadi juga menolak keterangan yang diberikan oleh Pakar Forensik dari Britain, Dr Peter Venezis yang dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa kesan calar disebaban kulit di bahagian leher diangkat bagi tujuan pemeriksaan dalam proses bedah siasat.
“Tidak bersetuju sama sekali kerana pendarahan tidak berlaku selepas mati. Ia perkara saintifik,” kata Pornthip yang turut terkenal dengan aksesori pilihannya seperti gelang tangan, cincin dan rantai.
Beliau yang merupakan Pengarah Institut Sains Forensik, Jabatan Kehakiman Thailand juga menolak dakwaan bahawa kecederaan di leher boleh berlaku kerana kesan jatuh. Menurutnya, bahagian leher adalah bahagian yang tersembunyi.
Pornthip memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Teoh, 30, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, di sini. Kematiannya menimbulkan persoalan memandangnya beberapa jam sebelum itu dia disoal siasat di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Beliau tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi dan mengangkat sumpah dalam bahasa Inggeris 30 minit kemudian. Orang awam yang memenuhi galeri awam mahkamah juga bertepuk tangan bagi menyambut ketibaannya.
Turut berada di mahkamah ialah ADUN Pandamaran, Ronnie Liu, Ng Suee Lim (Sekinchan), Dr Dzulkili Ahmad (Kuala Selangor) dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang yang hadir bersama peguam Karpal Singh.
Sementara itu, Pornthip yang diserbu oleh media selepas prosiding tamat, hanya melemparkan senyuman sebelum berlalu pergi mengikut laluan yang dikhaskan untuk saksi.
No comments:
Post a Comment