Monday, August 16, 2010

Anwar gesa Najib guna subsidi Empangan Bakun untuk rakyat

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memandang serius laporan-laporan mutakhir menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun yang turut menelan begitu banyak wang rakyat selain menyebabkan kos dijangka meningkat.

“Beliau (perdana menteri) seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek ini.
“Tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata beliau, kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 bilion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 bilion, diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).
Kedua-dua pinjaman ini juga dijamin kerajaan persekutuan.
Kata Anwar, sikap tidak peduli Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membiarkan wang rakyat terus digunakan dalam projek Empangan Bakun adalah sangat bertentangan dengan pendapat beliau mengenai subsidi minyak dan gula.
Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10 peratus dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun.
Projek itu telah menyebabkan anggaran kerugian RM450 juta dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.
Katanya, jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.
“Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan).
“Laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri.
“Perbezaan ini memungkinkan kerajaan persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion apabila projek diserahkan kelak,” katanya.
Oleh itu soal beliau, siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion ini.
“Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 bilion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?” katanya.
Selain itu tegas beliau, Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi.
“Di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbilion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.
“Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat.
“Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat,” katanya.
Ketua Pembangkang di Parlimen itu menambah rakyat berhak mengetahui terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.

No comments:

Search This Blog