Tuesday, July 6, 2010

Negara Islam: Anwar perlu nyatakan pendirian


'Negara Islam' kembali lagi menjadi tajuk klasik yang sering merangsang pergeseran dan tidak pernah mendapat kesepakatan politik antara pemimpin tertinggi DAP dan Pas, meskipun kedua-dua kepemimpinan parti tersebut sudah bergabung di bawah barisan Pakatan Rakyat.

Sejak Allahyarham Fadhil Noor menyandang kerusi Presiden Pas lagi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah berganjak memperjuang dan mempertahankan penubuhan sistem pemerintahan Negara Islam, meskipun sering mendapat tentangan daripada parti pembangkang DAP, terutama bekas Setiausaha Agungnya Lim Kit Siang dan Pengerusinya Karpal Singh.

Kemuncak siri pertelagahan politik antara kedua-dua parti pembangkang itu, pemimpin tertinggi DAP membuat kesimpulan bahawa sampai bila pun DAP tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Pas tidak berganjak mahu memperjuangkan kewujudan sistem pemerintahan Negara Islam.

Justeru barisan pemimpin UMNO, termasuk mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering secara stereotaip menyifatkan kedua-dua pemimpin tertinggi parti pembangkang itu tidak dapat bergabung atau bekerjasama kerana kedua-duanya tidur sebantal, tapi mempunyai mimpi politik yang berbeza.

Kini sekali lagi daripada pemimpin lantang DAP yang sama, Karpal Singh dalam satu temu bual bersama sebuah portal berita dengan segar, mengulangi pendiriannya menolak keras berkompromi dengan konsep Negara Islam yang diperjuangkan Pas jika barisan pembangkang itu mengambil alih teraju kepemimpinan nasional.

Mengulas perkara itu sepertimana dilaporkan Sinar Harian 1 Julai, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik mencabar Karpal supaya membuktikan konsep Negara Islam yang didukung Pas dan dilaksanakan di Kelantan sejak 20 tahun lalu adalah salah.

Mursyidul Am Pas itu menegaskan, pihaknya tetap akan meneruskan usaha memperjuangkan pembentukan Negara Islam.

Sejak era kepemimpinan DAP diterajui Chan Man Hin lagi, parti pembangkang ini agak konsisten menerusi suara lantang dan terbuka Karpal menentang keras penubuhan Negara Islam. Pimpinan tertinggi Pas pula konsisten memperjuang dan mempertahankan doktrin penubuhan Negara Islam.

Karpal agak sinonim dengan kelantangannya, namun pemimpin tertinggi DAP termasuk kawan baik saya Allahyarham Ahmad Nor, bekas Ahli Parlimen DAP Bayan Baru, Zulkifle Md Nor dan pemimpin DAP Melayu lainnya tidak pernah menyentuh topik berkenaan, termasuk juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam era kepemimpinan Chan Man Hin adalah antara pemimpin DAP yang tercorot, hanya lebih dikenali sebagai pemimpin lantang menentang penguatkuasaan Akta ISA sahaja.

Apakah mungkin Lim Guan Eng yang cenderung mahu mencontohi sistem pemerintahan Khalifah Saidina Omar dan sering bercakap soal nahi mungkar sejak menerajui kerajaan Pulau Pinang, sudah memahami teori falsafah Negara Islam, sekali gus dapat menerima doktrin pembentukan Negara Islam?

Apakah barangkali Karpal adalah antara seorang saja pemimpin veteran DAP berbanding Lim kit Siang dan pemimpin lain yang tidak memahami dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai doktrin Negara Islam yang diperjuangkan Pas, menyebabkan beliau sering lantang menyuarakan bantahan keras terhadap perkara tersebut?

Sungguhpun tajuk doktrin pembentukan Negara Islam Pas ini tidak mungkin menemui satu resolusi politik yang muktamad antara DAP dan Pas, tapi Penasihat Parti Keadilan Rakyat berjaya kesudahannya memborong semua barisan parti pembangkang, termasuk Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali duduk di bawah satu bumbung dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Tetapi Anwar yang disifatkan layak menjawat kerusi Mursyidul Pakatan Rakyat oleh Nik Abdul Aziz mahupun Dr Syed Husin, turut berdiam diri tidak terbabit dalam perbalahan doktrin pembentukan Negara Islam oleh Pas itu.

Adakah mungkin 'masyarakat madani' istilah yang dipopularkan Anwar ketika dalam UMNO dulu boleh diwujudkan di bawah sistem pemerintahan Negara Islam yang diperjuangkan Pas atau ideologi Malaysia Malaysian DAP atau ideologi sosialis Parti Rakyat Malaysia?

Kepemimpinan DAP menyifatkan Malaysia bukan sebuah Negara Islam berasaskan perlembagaan negara, sementara Pas menyifatkan perlembagaan nasional adalah ciptaan kolonialis. Di sinilah titik-tolak Karpal dalam menyanggah doktrin pembentukan Negara Islam.

Walau bagaimanapun kita melihat idealisme politik Pas adalah jelas dan konsisten termasuk DAP. Tapi yang tidak jelas atau kemungkinan besar tidak mempunyai draf piagam doktrin sistem pemerintahan yang jelas dan konkrit langsung ialah PKR.

Jika demikian konflik politik barisan pakatan pembangkang, DAP tidak memahami teori doktrin pembentukan negara Islam Pas atau Pas tidak memahami idealisme perjuangan DAP, atau barangkali kedua-dua parti pembangkang itu tidak cukup mengenali dan memahami idealisme perjuangan Anwar dan PKR?

No comments:

Search This Blog