Thursday, June 24, 2010

JI : Mainan Kotor UMNO Untuk Alih Isu - Asri

Dua pemimpin agama termasuk bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa pendedahan wujudnya peranan Jemaah Islamiah (JI) sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata dua pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selain Asri, seorang lagi pemimpin agama yang mengeluarkan pendirian itu ialah Dr Juanda Jaya iaitu Mufti Perlis yang juga anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

Kedua-dua mereka menambah, apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas JI yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

Malah mereka mendakwa kerajaan pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu.

“Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab.

“Pemerintahan yang mengguna pakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni,” kata kenyataan Asri dan Juanda.

Mereka juga setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran.

“Dan, juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit,” katanya lagi.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Presidan PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Shahidan Kassim serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Ceramah pada majlis taklimat itu diberikan oleh Penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin.

“Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan.

“Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan,” kata kedua-dua mereka dalam kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin agama ini mengeluarkan kenyataan ini sehari selepas ahli-ahli Parlimen PAS mencabar kerajaan mendedahkan bukti di Parlimen sebelum akhir sesi Dewan Rakyat semasa.

Asri dan Juanda juga berkata, isu-isu yang dibawa oleh kedua-dua mereka selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang bertolak ansur dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam.

“Justeru, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini,” kata mereka lagi.

Malah kata Asri dan Juanda, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan.

“Beliau ialah bekas menteri besar Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanah air sejak sekian lama.

“Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat.

“Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini.

“Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini,” kata mereka lagi.

“Demikian Shahidan, bekas menteri besar Perlis dan kini ahli Majlis Tertinggi Umno, naib presiden Perkim, dan akvitis berbagai kebajikan rakyat.

“Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas?” kata beliau.

Oleh itu kedua-dua mereka mendakwa nampaknya Umno dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu.

“Adapun JIM kami tidak mempunyai yang banyak maklumat mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu.

“Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai,” kata kenyataan mereka lagi.

Malah kedua-dua mereka juga menuntut agar kerajaan dan polis memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini.

“Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini?”

Kenyataan mereka juga menambah, jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan bererti mereka “yang dikuasai oleh Menteri Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas.

No comments:

Search This Blog