Tuesday, May 25, 2010

Zaid Serah Petisyen Batalkan Keputusan PRK Hulu Selangor

Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas calon KEADILAN bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor hari ini memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengisytiharkan keputusan pilihan raya tersebut sebagai tidak sah.

Beliau yang tewas kepada calon Barisan Nasional, P Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi menyifatkan keputusan tersebut tidak sah selain mendakwa berlakunya amalan rasuah oleh BN bagi memastikan sokongan diberikan kepada mereka.

"Petisyen pilihan raya ini difailkan mengenai PRK Hulu Selangor, kita dapati wujud gegala rasuah digunakan pada PRK tersebut. Petisyen ini tertumpu kepada Kamalanathan yang telah secara langsung atau tidak langsung, secara sendiri atau melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa kempennya telah melakukan rasuah.

"Perbuatan menyogok dengan menjanjikan kepada pengundi berdaftar di Hulu Selangor terutamanya penduduk di kawasan Rasa, bahawa RM3 juta akan diberikan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Rasa jika calon BN menang pada pilihan raya tersebut.

"Selain itu juga kita menumpukan tawaran sebanyak RM160,000 yang dilakukan di Felda Sungai Buaya oleh BN dan juga RM50,000 jika dapat memastikan kemenangan BN," jelas Zaid pada media di kediamannya petang tadi.

Peguam yang mewakili Zaid, Malik Imtiaz Sarwar yang turut sama pada sidang media tersebut menjelaskan pihaknya lebih menumpukan kepada apa yang telah Najib dan Kamalanathan lakukan.

"Kita menumpukan kepada semua kempen yang bersifat rasuah dalam memastikan mereka memenangi PRK tersebut, seperti janji RM3juta kepada SRJK (C) Rasa dan juga tawar menawar yang dilakukan kepada peneroka Felda.

"Dalam petisyen tersebut kita juga turut menamakan Pegawai Pengurus PRK Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia yang dilihat bertanggungjawab bagi memastikan pilihan raya tersebut berjalan dengan lebih telus dan adil.

"Menurut Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, keputusan pilihan raya boleh dicabar melalui petisyen pilihan raya dan ia perlu difailkan dalam jangka masa 21 hari dari hari keputusan diwartakan.

"Selain itu juga peruntukkan di bawah Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan bahawa perbicaraan harus diselesaikan dalam masa enam bulan dari tarikh pemfailan petisyen pilihan raya," katanya lagi.

Sekiranya mahkamah mencapai keputusan bagi pihak yang memohon mahkamah boleh mengeluarkan perintah bahawa keputusan PRK Hulu Selangor yang lepas sebagai tidak sah, keputusan ini dibuat mengikut arahan di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

No comments:

Search This Blog