Timbalan Presiden PKR itu berkata, memang diakui pada jangka pendek ada sedikit kesan buruk dari peristiwa “lompat katak” yang telah menyebabkan ia kehilangan 10 wakil rakyat setakat ini.
“Namun saya percaya dalam jangka panjang ia adalah baik bagi parti dan perjuangan suci kita,” kata pemimpin politik veteran ini.
Memulakan ucapannya dengan menyentuh isu melompat dan keluar parti, Syed Husin menambah, terdapat perbezaan besar antara “lompatan keluar parti dari PAS dan DAP dengan lompatan dari Umno.”
PAS, DAP dan PKR merupakan komponen Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-12.
Menurut Syed Husin, peristiwa melompat dari Umno tidak menjadikannya lebih kuat akan tetapi lebih lemah.
“Bahkan akibatnya Umno baru menjadi buruk. Umno yang satu masa dulu hebat dan gah, sekarang ini menjadi tambah lesu dan semakin tidak relevan,” kata beliau berucap merasmikan serentak Kongres Nasional Keenam Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR malam ini.
Ini kali pertama majlis perasmian diadakan pada waktu malam, dan julung kali di Kelantan.
“Sebagai mana yang disebut oleh teman pemimpin dari sebuah parti kawan, apabila sampah-sarap sudah berlalu, sungai akan lebih bersih.
Saya sendiri memandangnya begini: Umpamakanlah Parti ini sebagai mempunyai tompok-tompok kekotoran. Bukankah apabila kotoran dari tubuh dapat dibersihkan, kulit menjadi cerah dan badan menjadi sihat?” katanya.
Syed Husin menjelaskan, beliau selalu mengatakan “lompat parti” ini satu proses yang positif iaitu sebagai proses penucian walaupun bukan akibat dari tindakan parti sendiri pada permulaannya.
“Mulai sekarang kita harus tegas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas anasir-anasir yang merosakkan parti,” kata beliau.
“Akhir-akhir ini kita melihat beberapa berita media yang membesarkan laporan tentang beberapa kerat anggota Parlimen dan juga apa yang didakwa sebagai “pemimpin parti” melakukan “lompat katak” dengan tiada prinsip sama sekali.
“Kita ketahui ramai dari mereka bukanlah seperti yang didakwakan. Selain itu bilangan yang keluar itu tidaklah seramai yang dibesar-besarkan,” katanya lagi.
Syed Husin mengakui di antara mereka yang keluar itu memang ada sebilangan kecil yang merasa kecewa dengan parti.
“Tidak dinafikan juga bahawa sedikit sebanyak berita-berita besar dalam media mempunyai kesan negatif juga,” katanya.
Oleh itu, kata orang nombor dua PKR itu memberitahu, parti perlu mengkaji punca-punca kekecewaan tersebut dan berusaha mengatasinya.
“Jika didapati benar dan berasas, kita harus berusaha untuk mengatasinya. Kita tidak harus takut bermuhasabah diri dan kita mesti berani membuat pembetulan,” katanya.
Akan tetapi, tegas beliau, perlu ditegaskan kebanyakan mereka yang melompat mempunyai masalah pribadi.
“Ada yang terbelenggu oleh masalah kewangan, ada yang marah kerana tidak mendapat apa yang mereka mahu dari parti ataupun kerajaan yang dipimpin parti.
“Ada pula yang tidak dapat bekerjasama dengan anggota dan pimpinan parti di peringkat ranting dan cabang. Selain itu ada pula yang gagal menjalankan tugas sebagai “wakil rakyat” dan sebagainya. Mereka mudah dibeli,” katanya lagi.
Syed Husin tidak menafikan ada pihak yang merasa bimbang dengan peristiwa “lompat katak” yang melanda PKR.
Daripada 10 wakil rakyat yang telah meninggalkan PKR, lima melibatkan Ahli Parlimen.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Perak keluar parti awal tahun lalu, sekali gus membuka laluan kepada tumbangnya kerajaan negeri itu.
Malah, PKR juga berhadapan dengan tindakan keluar parti pemimpin peringkat negeri dan cabang, yang disaksikan ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.
“Kita tidak perlu bimbang sangat dan harus menghadapinya dengan sikap positif. Tiap-tiap bulan parti menerima sekitar lima ribu permohonan anggota baru.
“Beberapa bulan lalu, dalam tempoh tiga bulan sebanyak kira-kira 50,000 permohonan.
“Selain itu, kita harus menimba ilham dari sejarah, kita harus dimotivasikan oleh keadaan sekarang dan kemungkinan masa hadapan yang mencabar tetapi cerah,” katanya lagi.
Syed Husin menambah, cerita “lompat katak” bukan berlaku di PKR sahaja.
“Dari segi sejarah, kita lihat pada peringkat-peringkat tertentu, terutama permulaannya, PAS mengalami ramai juga pemimpin yang keluar parti.
“Antara lain, Yang Dipertuanya (Asri Muda), Setiausaha Agungnya (Othman Abdullah) dan kemudian Naib Yang Dipertua (Nakhaie Ahmad) meningalkan PAS.
“Umno dengan gembira mengisytiharkan PAS akan gulung tikar. Apa yang berlaku? PAS menjadi bertambah kuat,” katanya.
Begitu juga dengan DAP, kata beliau dengan merujuk kepada Goh Hock Guan, yang merupakan Setiausaha Agung ketika itu.
“Beliau kemudian dituruti pula oleh Ricard Ho (Timbalan Pengerusi) dan agak lama selepas itu oleh Lee Lam Thye, seorang pemimpin yang popular. MCA segera mengumumkan DAP akan berkubur.
“Seperti kita lihat DAP menjadi bertambah kuat. Yang berpecah-belah dan hendak berkubur sekarang ialah MCA,” katanya lagi.
Katanya, jangan pula sangka tidak ada apa-apa yang pernah berlaku dalam Umno.
“Sebenarnya apa yang mereka alami lebih teruk lagi. Selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim disingkir dan diaibkan, berpuluh-puluh ribu ahli meninggalkan Umno untuk memasuki PAS dan PKR.
“Sehingga sekarang sebahagian besar masih setia kepada kedua-dua parti,” katanya sambil menambah, sebelum itu akibat beberapa tindakan Dr. Mahathir yang memecah-belah Umno dan memimpin secara kuku besi.
“Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn (dua orang bekas Presiden Umno dan mantan Perdana Menteri) telah keluar dari Umno.
“Mereka tidak menjilat air ludah, bahkan mati di luar parti bobrok tersebut. Ini berbeza dengan tindakan Dr Mahathir yang telah menjadi “katak lompat” sekejap saja,” jelas Syed Husin.
Syed Husin juga berkata, PKR akan menjadi benar-benar kuat dan mantap hanya sekiranya mempunyai ramai pemimpin dan anggota yang berpegang teguh kepada “ideologi” atau dasar perjuangan parti.
“Kita perlu bergerak cergas dalam parti dan di kalangan massa rakyat; jikalau tidak boleh setiap minit, setiap jam dan setiap hari, sekurang-kurangnya setiap minggu dan setiap bulan berterusan,” katanya.
No comments:
Post a Comment