PADAN muka Barisan Nasional (BN)! Parti bongkak itu memang pun patut kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu, Ahad (16 Mei) lalu setelah ia terlalu dungu untuk mengambil pengajaran daripada kesilapan-kesilapan sebelumnya, khususnya isyarat penting pengundi di Hulu Selangor kira-kira tiga minggu sebelum itu.
Umum mengakui kehadiran BN di Sibu dibauri kemenangannya yang tidak menceriakan pada PRK Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu.
Kejayaannya merampas kerusi dimiliki Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) itu dilihat tidak sepadan dengan pemusatan seluruh jentera BN serata negara. Ia juga tidak berbaloi berbanding segala peruntukan Kerajaan Pusat dicurahkannya sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Di sebalik segala kerja keras dan belanja besar itu, BN hanya mampu mengenepikan cabaran pembangkang dengan kelebihan undi sangat kecil. Calonnya dari MIC, P. Kamalanathan mengatasi calon KeADILan, Dato’ Zaid Ibrahim, dengan majoriti hanya 1,725 undi. Seperti biasa BN akan mendakwa setiap kejayaannya adalah bukti penerimaan rakyat terhadapnya. Ia dikatakan tanda rakyat mengakui keikhlasan BN membantu mereka.
Segala kebaikan dan keprihatinan dicurahkannya atau bantuan segera yang tak semena-mena dihulurkannya ke kawasan itu didakwa faktor memaut rakyat kembali memilih BN. Kemenangan itu juga kononnya tanda rakyat menerima konsep 1Malaysia, sekali gus mengiktiraf kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak dan segala agenda pemerintahannya.
Lebih dahsyat lagi, BN memanipulasi kemenangan itu untuk mendakwa kononnya ia petanda rakyat sudah serik dan menyesal menyokong PR-KeADILan lalu kembali mahukan BN. Kononnya rakyat Selangor semakin susah dan melarat di bawah pemerintahan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR). Meski pun BN mampu mendakwa apa juga dikehendakinya atas kemenangan di Hulu Selangor, fakta-fakta tersirat mengiringi kejayaan tipis itu mengisyaratkan banyak perkara tidak menyenangkan buat BN sendiri.
Antaranya, kemenangan BN tidak dibantu kemerosotan undi parti lawan. Sementara undi BN berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) menokok 2,018 undi, undi KeADILan juga bertambah. Biar pun hanya 95 undi, apa yang penting ia tidak merosot. Ertinya segala kempen dan strategi tidak bermaruah BN gagal menghasut pengundi lari dari PR.
Kedua, kejayaan BN merampas kerusi Parlimen itu turut melibatkan “trade-in” kerusi dengan PR di salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) di bawahnya. Fakta perolehan undi mengikut Dun menunjukkan undi PR mengatasi BN di Dun Kuala Kubu Baharu. Parlimen Hulu Selangor mengandungi tiga Dun, iaitu Kuala Kubu Baharu, Batang Kali dan Hulu Bernam. Pada PRU lalu kesemua kerusi itu dikuasai BN. Keputusan PRK bulan lalu bagaimana pun menunjukkan BN gagal mempertahankan Kuala Kubu Baharu.
Isyarat paling penting dari keputusan itu ialah hakikat bahawa pengundi Cina semakin memihak PR. Fakta menunjukkan sokongan mereka kepada BN menjunam daripada 37 peratus pada PRU 2008 kepada hanya 28 peratus. Hakikat itulah yang secara tersirat menyebabkan BN tidak begitu ceria menyambut kemenangannya. Bahkan pemimpin tertingginya mengarahkan siasatan segera mengenalpasti mengapa kepercayaan kaum tersebut kepada BN masih belum dapat dipulihkan.
Beberapa penganalisis politik menyimpulkan bahawa penolakan itu antara lain disebabkan kegagalan BN memperbaiki imej buruknya yang menjadi punca ia ditolak dalam PRU lalu. Memburukkan keadaan ialah apabila kaum Cina dikatakan terguris dengan strategi kempen BN yang tiba-tiba menunjukkan keprihatinan luar biasa di saat kempen. Sikap pura-pura yang terlampau itu dikatakan menyebabkan kaum Cina merasa mereka diperbodohkan.
Tidak seperti pengundi Melayu yang dikatakan mudah berpaling pendirian politik dengan kunjungan dan sentuhan peribadi pemimpin BN, kaum Cina dilihat lebih teguh sikap dan pegangan mereka. Sebab itu mereka tidak mudah melupakan pahit-getir hidup akibat kegagalan BN menyelesaikan masalah mereka puluhan tahun walau pun parti itu mendatangkan penyelesaian segera.
Pemberian bantuan atau pelaksanaan projek ketika kempen sebaliknya dianggap kaum Cina seolah-olah menjatuhkan taraf mereka seumpama peminta sedekah. Malangnya, isyarat dan amaran keras kaum Cina di Hulu Selangor itu seolah-olah tidak diendahkan BN. Parti nazak itu bagaikan terlalu dungu untuk mengambil pengajaran dari psikologi politik kaum itu yang menolak mentah-mentah budi saat akhir yang dibuat-buat BN.
Tanpa menghiraukan kutukan pembangkang dan teguran para pemikir dari kalangan pendokongnya sendiri, BN mengulangi kesilapan sama di Sibu. Parti itu selesa dengan tabiat lama turun mencurahkan segala macam gula-gula pilihan raya, sekaligus memperbodohkan minda pengundi. Kedunguan itu memakan diri BN.
Jika di Hulu Selangor faktor 26.3 peratus undi Cina sekadar menafikan kemenangan lebih besar buat BN, jumlah 36,389 pengundi Cina yang membentuk 66.7 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar di Sibu akhirnya menyebabkan BN tersembam. Pada PRK Ahad lalu, calon DAP, Wong Ho Leng menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi. Wong memperolehi 18,845 undi berbanding Lau yang mengutip 18,447 undi. Calon Bebas, Narawi Harun memungut hanya 232 undi dan hilang wang pertaruhan.
No comments:
Post a Comment