Wednesday, February 3, 2010

Kaji kedudukan dalam persekutuan – Ku Li

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mencadang dikaji semula kedudukan negeri dalam persekutuan memandangkan berlaku ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan sekarang.Beliau berkata, banyak cukai yang dikutip dari setiap negeri, namun pengagihan balik kepada negeri tidak berlaku secara adil.

“Kalau negeri-negeri tidak membayar cukai kepada kerajaan persekutuan apa yang kerajaan ada sekarang. Tentunya akan mendatangkan masalah besar.



“Oleh itu ada baiknya setiap negeri mengkaji balik perjanjian yang dipersetujui suatu ketika dahulu untuk membolehkan suatu keadilan berlaku,” katanya pada majlis solat hajat dan ceramah royalti di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam Jumaat lalu.

Ruang stadium penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Program bermula solat Maghrib. Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat hajat.

Program tersebut dianjurkan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob, Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail, wakil-wakil rakyat dan veteran Umno, Tamrin Ghaffar.

Tengku Razaleigh mencetus perkara itu kerana kecewa keengganan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Dato’ Seri Najib Razak membenarkan Petronas membayar royalti minyak kepada Kelantan.

Berdasarkan kepada carigali minyak di perairan Kelantan sejak 2004, royalti sebanyak RM2 bilion sepatutnya dibayar mengikut apa yang dipersetujui dalam perjanjian dengan Petronas pada 1975.

Oleh itu beliau berkata, dengan ada jawatankuasa Kaukus parlimen berkaitan isu royalti Kelantan pelbagai perkara boleh difikirkan bagi faedah rakyat.

“Kaukus parlimen juga boleh membincangkan kedudukan negeri dalam persekutuan memandangkan wujud ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan bagi membangunkan negeri.

“Setiap negeri perlu dimaju bagi menjadikan negara membangun secara lebih menyeluruh. Jika kemajuan tidak seimbang ia akan menjejaskan negara juga,” ujarnya.

Beliau juga melahirkan rasa hairan Sabah ketika di bawah kerajaan pembangkang Parti Bersatu Sabah yang diketuai Pairin Kitingan, namun Petronas tetap membayar royalti 5 peratus setahun kepada negeri tersebut.

Namun dalam konteks Kelantan sekarang tiba-tiba pula royalti menjadi ihsan.

Bagaimananapun Tengku Razaleigh yang juga pengasas Petronas melahirkan rasa kagum di atas pendirian tegas bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub yang enggan menandatangani perjanjian dengan Petronas sekiranya tiada jaminan terhadap royalti minyak.

“Saya ketika itu telah dipertanggungjawab oleh Tun Razak berunding dengan Abdul Rahman. Ketua Menteri Sarawak itu juga mahu saya dilantik sebagai pengerusi Petronas sebelum persetujuan dicapai.

“Saya balik memberitahu kepada Tun Razak dan akhirnya beliau setuju dengan syarat dikenakan Abdul Rahman. Ini secara jelas menggambarkan pemimpin terbabit bimbang kerajaan pusat mungkir janji seperti dilakukan terhadap Kelantan sekarang,” katanya.

Beliau juga menceritakan bukan mudah proses untuk menubuh syarikat Petroleum Negara (Petronas) pada 1974 memandangkan ketika itu syarikat asing menguasai industri minyak di negara ini.

Tengku Razaleigh juga mendedahkan ada orang tidak berkenan beliau datang mendedahkan perkara sebenar pada ceramah tersebut.

“Ada orang tidak suka saya datang, namun saya menjawab pedulikan mereka,” katanya mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusoff berkata, selepas ini pihaknya akan mengadakan program serupa di Kuala Terengganu pada Febuari depan.

Selain itu debat royalti minyak antara pihak pro dan antiroyalti akan diadakan di Balai Islam, Lundang. Manakala konvensyen royalti petroleum di Kuala Lumpur Mac depan.

“Usaha-usaha untuk menarik NGO-NGO dari Sabah dan Sarawak telah giat diadakan, InsyaAllah kami akan himpunkan rakyat Malaysia di Putrajaya dalam masa terdekat sekiranya pusat masih berkeras menafikan hak kerajaan negeri,” katanya.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media UM, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbulah bertindak sebagai moderator program terbabit.

4 comments:

watasikadi said...

tuan boleh tak plagiat posting tuan untuk dipostkan dalam blog saya..

serupasekala said...

ITU LAH PANDANGAN YANG TERBAIK YANG SAYA RASA.

HASIL CUKAI NEGERI KERAJAAN PERSEKUTUAN KUTIP
ITU HAK KERAJAAN PERSEKUTUAN.

MENUNTUT PENGAGIHAN BALIK KEPADA NEGERI ITU HAK KERAJAAN NEGERI.

APA AKAN JADI JIKA SEKIRANYA KERAJAAN NEGERI TAK BAYAR CUKAI DAN KERAJAAN PERSEKUTUAN TAK PAYAH MEMBUAT PENGIHAN BALIK HASIL CUKAI KEPADA NEGERI.

JIKA PERKARA INI BERLAKU MAHKAMAH MANA YANG AKAN MENGADILINYA.

Tengku said...

Amboi KuLi... tak dapat bertanding.. lagu tu jadinya...

sydeen said...

tahniah kuLi........... anda pemimpin berjiwa rakyat yg sebenar

Search This Blog