PEMIMPIN-pemimpin Barisan Nasional, khususnya dari Umno pada waktu ini sedang dibelengu keresahan, khususnya apabila menanti saat-saat getir bakal kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
Keresahan itu wujud apabila mereka mula melihat satu demi satu parti yang terlalu dominan dalam politik yang menerajui negara, tumbang dalam pilihan raya, ditewaskan pakatan pembangkang.
Terbaru di Jepun, nasib malang menimpa Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Perdana Menteri, Taro Aso yang berkuasa lebih 54 tahun, kalah kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ) yang dipimpin oleh Yukio Hatoyama.
Daripada 480 kerusi di Dewan Rendah Parlimen, rakyat Jepun yang terbelengu dengan kuasa LDP mengucapkan 'sayonara' kepada parti tersebut dengan memberikan kemenangan besar kepada DPJ dengan 308 kerusi dari 112 kerusi dalam pilihan raya sebelum ini.
Manakala LDP yang menguasai kerajaan dengan 300 kerusi sebelum ini, hanya memenangi 119 kerusi. Sementara parti New Komeito memperolehi 21 kerusi, Parti Komunis Jepun 9 kerusi, Parti Sosial Demokrat 7 kerusi dan lain-lain memenangi 16 kerusi.
Nasib LDP di Jepun sesuai untuk dijadikan perbandingan dengan BN, apabila kedua-dua parti ini mendominasi kuasa tunggal lebih 50 tahun dalam sebuah negara yang membangun.
Isu besar yang menumbangkan LDP ialah kegagalan kepimpinannya menguruskan ekonomi negara dengan betul, sehingga menyebabkan kadar inflasi dan pengangguran begitu teruk. Selain kedudukan matawang Yen yang semakin terjejas dan jumlah dagangan luar negara yang merosot.
Justeru apa kurangnya BN berbanding LDP? Mereka sama-sama diberi kepercayaan mendominasi pemerintahan negara, tetapi gagal menguruskan ekonomi negara dengan betul.
Jepun merupakan antara kiblat utama ekonomi Malaysia sejak zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad lagi. Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan, dasar 'Buy British Last' diuar-uarkan. Malahan kereta nasional pertama negara juga diadaptasi dan diambil teknologi daripada pengeluar Mitsubishi Jepun.
Barangkali dasar yang diperkenalkan tidak salah. Tetapi akibat erancangan tidak teliti dan perlaksanaan yang tidak dipantau sepenuhnya menyebabkan ia sering tersasar.
Persoalan yang dilontarkan rakyat sekarang ini ialah apakah salahlaku kerajaan Umno-BN dari sudut ekonomi yang memungkinkan mereka diturunkan daripada tampuk kuasa pada PRU ke 13 nanti?
Bijak sangatkah Umno-BN menguruskan ekonomi negeri dan negara? Jika kita melihat statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perangkaan Negara, kita akan dapati bahawa kebanyakan negeri yang diterajui Umno-BN mempunyai beban hutang yang besar dengan Kerajaan Pusat.
Setiap tahun negeri-negeri yang diterajui BN mengalami defisit yang besar. Pendapatan negeri terlalu kecil berbanding perbelanjaan yang semakin besar.
Walaupun kebanyakan pemimpin Umno-BN yang menerajui kerajaan negeri berkelulusan tinggi dari universiti dalam dan luar negara dengan pengajian ilmu yang moden, tetapi prestasi mereka jauh lebih buruk daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berkelulusan Universiti al-Azhar dalam bidang agama.
Kedah misalnya sebelum diterajui Pakatan Rakyat, mempunyai hutang RM 2 billion. Terengganu dan Sabah, dua buah negeri pengeluar minyak, berada ditahap yang paling corot dan antara negeri termiskin dalam negara.
Di peringkat Pusat pula kerajaan Umno-BN nampaknya terus gagal menseimbangkan ekonomi negara. Tatkala dunia dilanda krisis ekonomi dan kemelesetan yang teruk, pemimpin-pemimpin Umno-BN yang terpahat diminda mereka 'sindrom nafi' tetap mengatakan ekonomi negara masih kukuh.
"Kita mempunyai fundamental yang kukuh, trade surplus kita juga tinggi," kata mereka.
Justeru jika ekonomi negara kukuh, mengapa kerajaan naikkan harga minyak? Mengapa harga barangan keperluan harian semakin meningkat? Mengapa kos projek pembinaan berlipatkali ganda?
Kerajaan boleh mengisytiharkan peruntukan projek mega seperti ECER, NCER, pembangunan Wilayah Iskandar dan sebagainya. Tetapi kesemua projek-projek ini berjalan dengan amat perlahan. Mengapa perlahan? Jawapan mudahnya, kerajaan tiada wang untuk membiayai projek.
Maka rakyat pula melontarkan persoalan, apakah projek-projek ini benar-benar diwujudkan untuk membangunkan negara atau untuk menampung dana politik kaum kerabat dan kroni pemimpin Umno-BN?
Rakyat amat bijak menilai. Sedang rakyat dijarah kesusahan dan kemiskinan, mereka melihat pemimpin-pemimpin Umno, muda-muda lagi sudah kaya raya. Hanya dengan jawatan Ketua Pemuda Bahagian, budak-budak Umno ini sudah mampu menggunakan kenderaan mewah seperti Mercedes Benz 'Mata Kacang' (dulu Mercedes Mata Belalang), BMW, Alphard dan sebagainya.
Malah budak-budak yang duduk dalam Umno ini hidup dalam serba kemewahan dan sering melancong ke luar negara. Trend yang sama melanda Pemuda dan Puteri Umno.
Kebanyakan mereka menyertai Umno, bukan seperti zaman Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Ghafar Baba dahulu, yang benar-benar mengabdikan diri untuk memperjuangkan bangsa Melayu.
Generasi baru yang menyertai Umno melihat 'lombong emas' yang ada di depan mata. Jawatan dalam Umno menjanjikan kemewahan sama ada dalam bentuk rasuah politik wang ataupun projek-projek kerajaan.
Penyakit tamak kuasa dan harta ini juga yang melanda MCA, MIC Gerakan serta menular di Sabah dan Sarawak. Sama seperti 'sedekah' RM10 juta wang PKFZ kepada Ong Tee Keat, ianya adalah wang rakyat!
Mereka inilah sebenarnya perompak di siang hari, yang merompak harta kekayaan negara milik rakyat atas nama perjuangan nasionalisme Melayu, Cina ataupun India.
Bagaimana kerajaan hendak mempunyai dana atau kewangan yang mencukupi, bagaimana hendak ada ketelusan dalam pengurusan ekonomi negara, jika negara diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang begitu tamak haloba?
Maka sudah sampai masanya rakyat menjatuhkan hukuman terhadap BN yang terus mengkhianati amanah rakyat, dulu, kini dan selamanya.
Pada PRU ke 13 nanti mahkamah rakyat akan menghukum BN dan BN bakal menjejaki nasib yang sama seperti LDP di Jepun. Sayonara!_
No comments:
Post a Comment