DALAM tempohari 60 hari selepas satu-satu kawasan itu diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN atau Speaker Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengadakan mesyuarat untuk mencari satu tarikh bagi diadakan pilihan raya semula, dengan tujuan mencari pengganti wakil rakyat.
Kali ini, berlaku lagi satu kekosongan akibat kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Allahyarham Azman Mohamad Noor 4 September 2009 lalu yang menyebabkan satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan dalam masa terdekat. Bagi Barisan Nasional (BN), tentunya dalam keghairahan mereka ingin mempertahankan kerusi ini kerana ia dimenangi Allahyarham Azman yang mewakili BN dalam PRU 12, Mac 2008 yang lalu, kerisauan tetap ada. Apa tidaknya, kewibawaan Pengarah Pilihanraya BN yang secara tradisinya disandang Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden Umno belum sekali pun terbukti. Sejak menang kerusi Timbalan Presiden Umno dan secara otomatik dilantik menjadi Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hanya membawa �pulang� keputusan kalah untuk dipersembahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Bermula di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Muhyiddin yang ketika itu masih belum dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, dilihat tidak bermaya menerima kekalahan kedua-dua kawasan itu walaupun, dalam masa yang sama, BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Batang Ai di Sarawak. Kemudiannya, apabila berlaku pilihan raya kecil di DUN Manek Urai, Muhyiddin yang tidak menyangka BN boleh kalah tipis membawa janji manis kepada penyokong Umno bahawa 'rakyat' sudah kembali menyokong BN dalam pilihan raya kecil seperti mana yang ditunjukkan di DUN Manek Urai. Malangnya, tidak lama Muhyiddin dan beberapa rakan-rakannya termasuk Datuk Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan dan Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno 'meraikan' kekalahan tipis itu apabila keputusan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir memberi pukulan maut kepada BN apabila calonnya bukan sahaja kalah, malahan gagal mendapat undi seperti yang pernah calon BN terdahulu mendapatnya. Bersediakah Muhyiddin menawarkan untuk menarik diri dari menjadi pengarah pilihan raya BN kali ini? Ini kerana kehadiran Muhyiddin jelas tidak memberi apa-apa kelebihan kepada BN di setiap pilihan raya kecil. Khabarnya tingkah laku pegawai-pegawai Muhyiddin termasuk Setiausaha Politiknya juga dikatakan 'lebih sudu dari kuah' . Kali ini, di Bagan Pinang, khabarnya ada usaha beberapa pihak merayu jasa baik Najib supaya memberikan peluang kepada Muhyiddin supaya 'menjauhkan diri' dari Bagan Pinang bagi mengelakkan BN sekali lagi kecundang seperti apa yang sudah berlaku di tujuh kawasan lain sebelum ini. Barangkali, Muhyiddin juga sudah dibisikkan perkara ini, supaya tidak keterlaluan berada di kawasan itu kerana selama ini, beliau sendiri tidak gemar berada di bawah untuk berhubung dengan 'grassroot' tetapi apabila ada pilihan raya, beliau dilihat seperti seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil. Contoh terbaru di DUN Permatang Pasir, jelas pengundi tidak dapat menerima Muhyiddin yang memulakan dakwaan mengatakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu. JAGA PEJABAT Ramai yang mengharapkan Muhyiddin supaya lebih kerap berada di pejabatnya kerana sudah kedengaran keluh kesah penyokong-penyokong yang memenangkannya ketika bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno dahulu, yang tidak dapat bertemu dengannya. Muhyiddin didakwa terlalu kerap berada di luar pejabat dan lebih mudah untuk bertemu Perdana Menteri dari mencari peluang bertemu timbalan, kata seorang penyokongnya yang kecewa setelah lebih empat bulan cuba membuat temujanji tetapi gagal bertemu dengannya. Sehubungan dengan itu, banyak pihak menjangkakan jika penglibatan Muhyiddin dan Setiausaha Politiknya terlalu ketara di Bagan Pinang, BN bakal menghadapi masalah besar untuk menarik pengundi untuk terus memberi sokongan kepada calon BN. Selain faktor Muhyiddin, beberapa pihak juga cuba menutup cerita 'ketengangan' yang berlaku antara bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan. Walaupun 'ketengangan' itu tidak begitu ketara, tetapi ketika Mohd Isa dikenakan tindakan penggantungan dahulu, tiada langsung usaha dari Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan untuk membelanya. Malahan, mereka dikatakan berusaha untuk 'menenggelamkan' Mohd Isa dari arena politik Negeri Sembilan walaupun akhirnya Mohd Isa kembali mengetuai Umno Bahagian Teluk Kemang selepas hampir empat tahun berada 'di luar padang'. Mohd Isa yang pernah mewakili DUN Linggi selama enam penggal dan sepenggal menjadi Ahli Parlimen Jempol dikatakan bakal membuat 'come back' jika terpilih bertanding di DUN Bagan Pinang dan memenanginya. Namun untuk menang, banyak perkara yang mahu 'jentera parti' ketepikan. Antaranya, tidak mahu campurtangan terlalu banyak dari pihak Kuala Lumpur dan kedua, jangan ada mereka yang bertindak 'lebih sudu dari kuah'. Seorang Setiausaha Politik Muhyiddin yang juga merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dikatakan tidak pernah mahu bersama Pergerakan Pemuda dalam menyusun strategi berkempen ketika pilihan raya kecil. Lagaknya seperti seorang menteri menyebabkan banyak pihak mula berasa mual dengan caranya tetapi tiada siapa berani menyampaikan teguran kepada Muhyiddin yang dikatakan jenis pemimpin yang terlalu sukar menerima teguran. Ketika BN mengharapkan Bagan Pinang akan menjadi titik mula 'kehidupan semula' semangat BN untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tetapi banyak pihak merasakan di Bagan Pinanglah akan menyaksikan BN menerima 'paku terakhir di keranda' kerana rakyat sudah semakin muak. Kempen pembangunan dan janji menjadikan satu-satu kawasan itu sebagai 'anak angkat, anak emas dan anak suasa' sudah tidak mampu untuk menarik minat pengundi mengundi BN. Tidak hairanlah Muhyiddin pernah meluahkan perasaan marahnya kepada pengundi di Permatang Pasir sebagai 'mereka tidak mahu menerima pembangunan yang BN tawarkan'. Hakikatnya, rakyat sudah muak dan rakyat memang mahu menolak BN. Mungkin ketika pemimpin-pemimpin BN yakin rakyat akan terpengaruh dengan ucapan berdegar-degar pemimpin dengan publisiti yang diterima melalui tv dan media cetak, kisah sebenarnya pengundi itu sendiri tidak lagi membaca media massa yang pro kerajaan dan menonton tv. Jika mereka membaca sekali pun, mereka tidak lagi mahu mempercayainya. Jika mereka menonton tv sekali pun, mereka tidak mahu mendengar ucapan pemimpin kerajaan dan jika mereka mendengar, mereka tidak mahu mempercayainya. Rakyat nampak, dalam BN ada cerita pemimpin menerima wang RM10 juta, dalam BN rakyat tahu ada cerita komisen membeli kapal selam. Dalam BN rakyat nampak, ada cerita 'aduhai-aduhai' yang rakaman videonya tersebar meluas. Dalam BN, mereka dengar ada pemimpin yang berbalah hingga ada dua Presiden dalam satu parti kecil. Itu belum lagi cerita samseng menguasai polis, belum lagi cerita ada skandal PPRT, ada kurma yang tidak diserahkan kepada rakyat, ada murid yang tidak dilayan ketika memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan ada kementerian membeli 'skru driver' dengan harga yang terlalu mahal. Bagan Pinang akan mendedahkan lebih banyak lagi penyelewengan. Bagan Pinang akan membuka lebih banyak cerita penyelewengan dan skandal. Bagan Pinang akan menjadikan lena pemimpin BN tidak akan aman kerana ada 'bayang-bayang' mengejar mereka |
Thursday, September 10, 2009
Bagan Pinang: Pakuan akhir keranda atau titik hidup semula BN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment