Thursday, August 13, 2009

Teoh mungkin diheret, kata saksi

Setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock mungkin diheret kerana siasatan polis menunjukkan adanya kesan geseran di bahagian tepi kasut mendiang, kata saksi ke-13 inkues hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Pegawai Penyiasat Tempat Kejadian dari cawangan forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor, Cif Insp Mazli Jusoh dalam keterangannya dihadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Tambah Mazli, hasil pemeriksaannya turut mendapati ada kesan geseran yang ketara di tapak kasut kanan mangsa.

"Ada kesan geseran ketara...kesan kapur," kata Mazli.

Bagaimanapun beliau menjelaskan tidak membuat pemeriksaan bagi mengesan dari mana kesan kapur itu datang.

Sebelum itu, peguam pemerhati bagi kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar bertanya kepada Mazli sama ada beliau bersetuju bahawa kesan geseran yang terdapat pada kasut tersebut mempunyai implikasi yang penting.

Mazli bersetuju dengan pendapat tersebut.

Bagaimanapun pada mulanya Mazli menolak teori yang dikemukakan Malik bahawa si mati berkemungkinan diseret.

"Adakah kemungkinan si mati diseret," soal Malik.

Mazli menjawa: "Tidak...pada kebiasaannya kalau seseorang diseret ia tak kena pada tapak kasut, sebab kalau diseret dari belakang ia akan tahan dengan kaki dengan tumit."

Malik kemudiannya menyoal balas: "Tapi kalau diseret dari tepi, ada kemungkinan?"

Mazli kemudiannya menjawab: "Ada."

Dalam pada itu, saksi ke-14, DSP Shahrul Othman Mansor, seorang pegawai makmal forensik Bukit Aman berkata beliau turut menemui kesan seperti tapak kasut di bahagian bawah tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh dari tingkat 14 yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Di bahagian bawah (tingkap) kelihatan seperti kesan tapak kasut... tapi tak begitu jelas.

"Saya arahkan pegawai untuk ambil gambar... ukurannya lebih kurang sembilan inci (22 sentimeter)," kata Shahrul.

No comments:

Search This Blog