Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib mendakwa pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun tidak mengamalkan prinsip asas keislaman kerana banyak banyak mencabar ayat-ayat suci al-Quran dan Sunnah.
Beliau berkata, ini dapat dilihat pelbagai masalah yang dihadapi kerajaan sekarang seperti keselamatan, jenayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan dan sebagainya.
“Masalah ini terjadi kerana kepimpinan BN tidak menghayati kandungan Islam yang sebenar. Jika pemimpin UMNO masih mengaku mempertuhankan Allah dan menabikan Muhammad SAW, landasan sebenar perlu dituruti.
“Kenapa UMNO boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah negara? Adakah UMNO mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain?” katanya, semalam.
Sekiranya dibandingkan dengan kepimpinan Pas, beliau berkata, Pas memperjuangkan Islam agar menjadi akidah kepada negara dari segenap segi sama ada dari sudut pentadbiran, kehakiman atau sebagainya.
“Pendek kata, apa sahaja yang terkandung dalam dua kalimah syahadah iaitu ‘tiada tuhan disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’ akan diaplikasikan oleh Pas bukan sahaja dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara,” katanya.
Menurutnya, situasi sebeginilah yang membezakan antara UMNO dan Pas memandangkan dasar serta matlamat perjuangan yang dibawa jauh berbeza.
“Kita dapat lihat kepimpinan negara, terang-terangan menolak hukum Allah,” katanya.
Beliau berkata, UMNO membenarkan ‘Riddah’ atau murtad: berleluasa di samping mengamalkan budaya “Hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.
Harun berkata, sekiranya hanya menghebohkan soal pembinaan masjid, semua dunia membina rumah Allah itu, namun pentadbiran mereka sama juga tidak mengikuti ajaran Islam.
“Status kedudukan pemimpin di negara barat dan timur yang sekular, sama dengan kedudukan pemimpin UMNO di Malaysia ini,” katanya.
Menurutnya, sekiranya masih wujud benih keimanan dalam hati pemimpin UMNO, beliau merayu mereka kembali bertaubat ke jalan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment