Antara janji yang dibuat dalam kempen mereka termasuk Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Petronas menjelaskan kepada rakyat Kelantan khususnya pengundi Manek Urai kenapa negeri yang ditadbir oleh PAS sejak 19 tahun lalu tidak layak untuk menerima royalti Petroleum seperti yang didedahkan oleh pemimpin-pemimpin PAS.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob menegaskan, sehingga hari mengundi (14 Julai) tidak ada mana-mana pegawai atau wakil Petronas yang datang ke Manek Urai untuk menjelaskan tentang isu royalti Petroleum kepada Kelantan.
Tegas beliau, pengundi-pengundi di Manek Urai dan rakyat Kelantan menunggu kehadiran wakil atau pegawai Petronas seperti dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menjelaskan tentang isu royalti Petroleum yang dituntut oleh pentadbiran Kelantan.
"Hingga hari mengundi tidak ada mana-mana pegawai atau wakil Petronas yang datang menjelaskan kepada pengundi di Manek Urai kenapa Kelantan tidak layak untuk memperolehi royalti petroleum.
"Sebelum ini, Muhyiddin berjanji akan memastikan wakil atau pegawai Petronas akan datang menjelaskan dengan terperinci apa sebab Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum.
"Tapi bila tidak datang ia menunjukkan sikap pemimpin-pemimpin tertinggi Umno yang telah menipu rakyat Kelantan," tegas Salahuddin.
Tegas beliau lagi, kegagalan untuk menjelaskan kenapa Kelantan tidak layak untuk menerima royalti Petroleum membuktikan kerajaan sebenarnya menafikan hak rakyat Kelantan untuk menikmati royalti seperti mana rakyat negeri lain.
Menafikan hak Kelantan itu, tegas Salahuddin bermakna kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno menganaktirikan rakyat Kelantan tidak seperti mana yang mereka janjikan.
Isu royalti petroleum hangat ketika kempen pilihanraya kecil Dun Manek Urai bila Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam Musa mendedahkan kegagalan kerajaan BN menyerahkan royalti petroleum berjumlah RM1 bilon kepada Kelantan sejak tahun 2004.
Bagi mengelakkan dari membayar royalti tersebut, kerajaan BN berusaha menafikan hak rakyat Kelantan dengan berjanji akan mengarahkan Petronas untuk menjelaskan kenapa Kelantan tidak layak untuk menerima royalti yang dituntut oleh pentadbiran PAS.
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri minggu lepas berjanji akan mengarahkan Petronas memberikan penjelaskan kepada rakyat Kelantan sebelum hari pengundian di Manek Urai.
Kegagalan membawa mana-mana wakil atau pegawai Petronas menjelaskan mengenai isu royalti Petroleum itu membuktikan pemimpin-pemimpin Umno termasuk Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustafa Mohamad telah menipu rakyat Kelantan.
No comments:
Post a Comment