Friday, July 24, 2009

Karib Adakan 'Road Show' Promosikan Hari Pekerja 2009

Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (Karib) sedang giat mengadakan 'road show' mempromosikan 'Himpunan Pekerja 2009 dan Wacana Kebangsaan Kali ke-4' yang bakal diadakan di Komplek Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kepala Batas pada 26 Julai mulai 8.00 pagi sehingga 12.00 malam.

Pengerusi Karib, Bukhori Ghazali semasa pertemuan dengannya di Komplek Dato' Kailan, Kepala Batas pagi semalam menegaskan, memandangkan program berkenaan merupakan program besar, Karib membuat keputusan untuk membantu secara menyeluruh agar program yang diatur mencapai sasaran.

Lagipun, Karib terlibat secara langsung sebagai pengajur bersama di samping Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kepala Batas yang akan bertindak sebagai agen sebaran serta kakitangan untuk memastikan ianya berjalan lancar.

Slogan 'Selamatkan Pekerja di Era Kemelesetan Ekonomi' diguna pakai sebagai batu loncatan untuk bersama-sama berfikir bagaimana masalah ekonomi yang meruntun kehidupan rakyat kini dapat diatasi.

Penganjur sebenar katanya, ialah Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat yang diterajui oleh Haji Mohd Anuar Tahir di mana majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mansor Othman.

Sesi sembang pekerja dengan tajuk Selamatkan Pekerja di Era Kemelesetan Ekonomi itu dipengerusikan oleh Wan Kharizal Wan Kazim manakala ahli panelnya ialah Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, Mantan Pengerusi Lajnah Pekerja, Haji Mohamad Sabu dan Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat, Haji Anuar Tahir.

Pada sebelah malamnya pula satu siri ceramah diadakan di Stadium Mini MPSP, dan di antara pemidato yang dijemput khas untuk mengupas isu terkini negara ialah Presiden PAS, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Profesor P. Ramasamy, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf dan Ketua Umum Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Bukhori lagi, selain mereka yang datang melihat wacana pengunjung boleh juga singgah ke program Sukaneka Pasti kawasan Kepala Batas yang diadakan bersebelahan bangunan MPSP.

'Road show' semalam singgah di beberapa lokasi seperti Pekan Lama Kepala Batas, Komplek Dato' Kailan, Sunway Carnival Seberang Jaya, Mega Mall Jalan Baru, Summit Bukit Mertajam, Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) dan Hospital Besar Pulau Pinang.

No comments:

Search This Blog