Ahli perniagaan Deepak Jaikishan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak memainkan peranan utama dalam tindakan penyiasat
persendirian P Balasubramaniam yang menarik balik pengakuan berkanun
(SD) pertamanya pada tahun 2008.
Dalam satu wawancara dengan Harakah,
seperti dimuatkan di Youtube, Deepak mendakwa Najib berbuat demikian
demi mengelakkan tindakan yang mungkin diambil seteru dalam Umno bagi
menghalang cita-cita Najib menjadi perdana menteri.
“Tetapi satu faction lagi dalam Umno yang tidak mahu Datuk Najib menjadi
perdana menteri, mereka ada kepentingan mereka, mereka dudah bersedia.
“Salah seorang ahli kumpulan ini akan keluar dan berikan SD dan
menceritakan siapa yang arahkan dia melakukan perbuatan kejam ini dan
siapa yang mengarah orang itu, ini sangat high level,” kata Deepak.
Pada masa itu, Najib merupakan timbalan perdana menteri. Beliau
kemudiannya dilantik menjadi perdana menteri pada 2009 selepas Tun
Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berundur ekoran pencapaian buruk dalam
pilihan raya umum 2008.
Mengikut Malaysia Kini,
SD pertama Balasubramaniam, didedahkan pada 3 Julai 2008, mengandungi
kenyataan bersumpahnya bahawa Najib mempunyai kaitan dengan wanita
Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh.
Pada hari berikutnnya, Balasubramaniam membuat satu lagi SD dan mendakwa bahawa dakwaan dalam SD pertama adalah palsu.
“Jadi objektif untuk tukar SD bukan kerana takut sangat dengan SD si
Bala ini. Objektif utama besar dari itu, mereka kena hentikan langkah
seterusnya.
“(Pada) malam itu juga kena siap, kena U-turn (tukar pengakuan Bala), kena tutup (perkara itu), itulah yang masalah utamanya.
Deepak mendakwa beliau menerima satu panggilan telefon daripada isteri
perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada senja 3 Julai 2008.
Deepak mendakwa Rosmah meminta bantuannya memandangkan beliau mengenali
Balasubramaniam, yang mendedahkan SD pertama pada pagi hari tersebut.
Susulan itu, Deepak mendakwa beliau mengunjungi kediaman rasmi Najib di
Putrajaya dan memberitahu Najib bahawa Balasubramaniam enggan
bekerjasama.
“Pertama (Najib)
telefon satu lawyer, lepas itu dia telefon adik dia, lawyer juga. Lepas
bincang, dia minta saya agar mencari jalan untuk jumpa dia dan cari
jalan supaya (Balasubramaniam) setuju, untuk batalkan SD dia.
“Saya telefon Bala… Dia kata dia nak jumpa Datuk Seri atau Datin Seri kalau nak dia menarik balik dia punya SD,” dakwa Deepak.
Deepak mendakwa Najib kemudiannya mencadangkan supaya adiknya Nazim yang seorang arkitek dan usahawan, untuk mewakilinya.
Dakwanya, pertemuan itu seterusnya berlangsung sekitar tengah malam di sebuah pusat membeli-belah di Damansara.
Dakwanya lagi, rundingan melibatkan sejumlah wang yang tidak didedahkan
itu kemudiannya berlangsung dan Nazim seterusnya menghubungi Najib untuk
mengatur seorang peguam untuk menderaf SD kedua di sebuah hotel mewah
di Kuala Lumpur.
Dalam video berkenaan, Harakah memadamkan nama seorang peguam yang disebut Deepak.
Susulan itu, satu sidang media diadakan secara tergesa-gesa pada keesokan harinya.
Deepak mendakwa peguam berkenaan tidak mahu hadir, yang memaksanya
memanggil seorang peguam lain untuk menemani Balasubramaniam bagi
bertemu media.
Deepak mendakwa, beliau mendedahkan maklumat ini untuk menggesa
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mengambil tindakan dan
melindungi integriti insitusi tersebut.
“Saya yakin dalam SPRM mesti ada orang yang baik. Tidak mungkin semua
orang hendak dengar cakap sepasang suami isteri. Kita ada 28 juta
manusia di Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment