Wednesday, October 3, 2012

PM berbibir merah yang memalukan negara





Sekarang sibuk tentang debat Anwar dan Najib berhubung dengan pembentangan belanjawan 2013 di Parlimen baru-baru ini. Isu debat ini timbul kembali bila Anwar membidas Najib kerana sindiran Najib yang mengatakan bajet bayangan PR tidak realistik dan tidak mempunyai nilai langsung.



Najib menambah lagi serangan terhadap buku jingga semasa majlis anjuran parti Gerakan dan sambil berkata buku jingga itu tidak bernilai dan tidak sepadan untuk dicetak di atas kertas pun.
Sebagai seorang Perdana Menteri kata-kata Najib itu diambil serius dan dinilai oleh semua pihak. Kata-kata seorang Perdana Menteri itu melambangkan banyak perkara tentang seorang Perdana Menteri itu. Apa yang diluahkan dari mulut itu melambangkan apa yang ada di dalam jiwa atau karektor seseorang itu. Najib sedang cuba untuk menjual ‘minyak’nya dengan memuji bajet yang dibentangnya dan memperlekehkan bajet bayangan PR yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang itu dua hari sebelum Najib membentangkan belanjawan BN untuk tahun hadapan.
Semasa Ketua Pembangkang mendebatkan belanjawan Najib itu Najib sebagai Menteri Kewangan tidak berani hadir untuk mendengar apa-apa kritikan yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang. Tetapi semasa membentangkan belanjawan itu Najib telah menyindir yang Pakatan Rakyat telah membentangkan bajet yang tidak bernilai dan tidak realistik sambil mengejek-ejek Anwar yang sama-sama berada di dalam dewan semasa itu.
Kata-kata nista Najib terhadap PR itu tidak mempunyai moral kerana beliau tidak menyedari yang ejekan beliau itu akan mendapat reaksi dari pihak pembangkang. Najib tidak berani untuk berhadapan dengan reaksi dari Anwar dan beliau menghilang diri dan tidak hadir di Parlimen semasa Anwar membahaskan bajet pilihanraya beliau itu.
Najib seperti burung yang terbang tinggi yang hinggap di dahan hanya untuk meninggalkan tahinya sahaja. Najib tidak mempunyai sifat ‘gentleman’ dan Anwar membalas dengan meminta Najib berbahas dengan beliau (Anwar) tentang bajet BN dan bajet bayangan PR. Najib hanya membisu kerana seperti biasa beliau selalu mengelak daripada berdepan dengan Ketua Pembangkang secara terus.
Anwar pernah beberapa kali meminta diadakan debat di antara beliau dengan Perdana Menteri dalam beberapa isu sebelum ini tetapi Najib enggan berbuat demikian dengan alasan debat itu bukan budaya kita. Rupa-rupanya berdebat secara terbuka itu bukan budaya kita tetapi bercakap di belakang itu adalah budaya Najib. Beliau hanya berani dalam situasi beliau bercakap seorang diri seperti membentangkan bajet tersebut. Rupanya budaya Najib ialah bercakap dan membebel di tempat lain seperti semasa persidangan parti Gerakan dan majlis-majlis yang lain.
Jika Najib benar-benar yakin yang bajet beliau bentang itu merupakan bajet yang terbaik tidak ada sebab kenapa beliau tidak berani berdebat dengan Anwar sedangkan beliau beranggapan yang bajet bayangan PR itu tidak realistik. Jika benar bajet PR itu tidak realistik Najib sepatutnya dengan senang hati akan menerima cabaran Anwar itu tanpa was-was untuk membezakan bajet yang beliau bentang dengan bajet bayangan yang dibentang oleh Anwar bagi pihak Pakatan Rakyat.  
Berdebat bukannya perkara ganjil di dalam sebuah negara demokrasi dalam mengolah satu-satu isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat dan negara. Rakyat juga mahu menyambut cabaran Najib supaya menilai beliau dari rekod beliau. Sekarang Najib telah menunjukkan rekod yang beliaulah PM yang paling pengecut untuk berhadapan dengan pembangkang secara terbuka di hadapan rakyat.
Najib sepatutnya keluar ke hadapan dan berikan alasan kenapa buku jingga dan bajet bayangan PR itu tidak realistik supaya rakyat dapat menilai kedua-dua pemimpin itu. Sesungguhnya sememangnya Najib adalah seorang yang terkenal dengan sikap pengecutnya. Beliau hanya bercakap besar dalam situasi pihak lain belum boleh menjawabnya. Najib hanya boleh membaca khutbah dalam mana makmun yang ramai itu ditegah untuk bercakap walaupun bercakap untuk meminta makmum yang lain untuk berdiam diri. Najib hanya suka berkata-kata yang tidak disahut.
Rakyat mahu tahu apakah benar yang Najib ini mempunyai pemikiran sendiri tentang belanjawan negara yang beliau bentangkan sendiri itu. Jika benar Najib mempunyai ‘clarity’ dalam pemikiran yang beliau persembahkan kepada rakyat itu, Najib sepatutnya akan ke hadapan dengan sukaria untuk mempertahankan pelan dan pemikiran beliau.
Keengganan Najib untuk berdebat itu sudah membuatkan orang ramai ‘conclusive’ tentang pandangan mereka bahawa Najib hanyalah seorang pemimpin yang pandai bercakap dan tidak memahami sepenuhnya apa yang beliau cakapkan dalam pembentangan bajet itu.
Dalam isu ini sahaja sudah cukup untuk orang ramai memberikan penilaian terhadap Najib dan jika rakyat memilih untuk tidak memilih BN lagi, itu adalah tindakan yang tidak boleh dipersalahkan oleh sesiapa.
Kita mesti ingat seseorang pemimpin itu harus berani menerima cabaran seperti cabaran yang dilontarkan oleh Anwar itu. Jika tidak berani ia hanya memberikan gambaran yang Najib tidak berani mempertahankan bajet yang beliau bentangkan sendiri. Jika begitu jangan pula menyalahkan rakyat memilih pihak alternatif di dalam pilihanraya nanti.
Rakyat tidak akan memberikan pimpinan kepada seseorang yang tidak mempunyai keyakinan diri. Maka memberikan sokongan terhadap Najib itu adalah ‘self insulting’.

No comments:

Search This Blog