SEKALI
pandang laporan audit 2011 oleh Ketua Audit Negara ini nampak adil dan
menyebelahi semua pihak. Begitu juga bila dilihat dari kelemahan
pengurusan kewangan beberapa kementerian (terutama Kementerian
Pertahanan) seperti dipetik Malaysiakini terutamanya semalam, semuanya
menampakkan seolah-olah laporan ini adil dan tidak berat sebelah.
Tapi bila perhatian yang lebih teliti
dibuat, terutama dalam laporan audit di negeri-negeri yang diperintah
Pakatan Rakyat, penulis melihat seolah ada yang tidak kena dengan cara
audit tersebut dibuat dan dibentangkan.
Seperti yang dijangka, Selangor
mengambil tempat sebagai negeri yang paling banyak menerima komen yang
tidak begitu baik daripada Audit berhubung beberapa dakwaan kerugian dan
kemerosotan hasil agensi dibawah kendaliannya, antaranya Universiti
Selangor (UNISEL).
UNISEL dalam laporan audit yang
dibentangkan semalam dilaporkan mencatat kerugian sebanyak RM 37.68
juta, meningkat dari tahun sebelumnya sebanyak RM 12.62 juta!!! Ini
nampak tidak masuk akal.
Rugi itu satu hal, meningkat pula kerugiannya itu, satu hal yang lain.
Penulis tidak rasa ada mana-mana
universiti swasta dalam negara ini malah dunia sekalipun yang
masih mampu beroperasi dengan kerugian sebegitu. Dan hakikat UNISEL
masih beroperasi sehingga sekarang disebalik dakwaan rugi oleh
laporan Ketua Audit itu, agak mengelirukan rakyat.
Tapi kalau nak dihujahkan juga, biasalah
untuk mana-mana perniagaan mengalami situasi untung dan rugi. Tidak
ada satu perniagaan pun yang untung sampai kiamat. Ini tidak sepatutnya
menjadi isu, cuma jumlah kerugian yang dicatatkan itu pada pemerhatian
penulis agak sedikit tidak boleh diterima.
Begitu juga dengan laporan mengenai
beberapa anak syarikat kerajaan DAP Pulau Pinang yang membayar bonus
kepada kakitangannya walaupun mengalami kerugian, antaranya PDC Nusabina
Sdn Bhd, PDC Homes Sdn Bhd.
Perkara ini pun mustahil boleh berlaku
kerana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah seorang akauntan
bertauliah dalam masa yang sama. Tidak ramai pemimpin kerajaan yang
mempunyai kelayakan profesional dalam masa yang sama seperti beliau dan
agak tidak masuk akal perkara seumpama ini boleh berlaku.
Mungkin sewaktu audit dijalankan, ada beberapa perkara yang terlepas pandang oleh pengaudit.
Atau paling tidak, jawapan telah
diberikan tetapi tidak dimasukkan dalam laporan audit penuh seperti yang
didedahkan oleh Ketua Pengarah Audit Negara semalam.
Penulis rasa hal yang sama juga berlaku
di Kedah bila dilaporkan dalam laporan audit semalam, wujud aktiviti
penanaman kayu bakau yang menelan kos sebanyak RM 1.5 juta tapi hanya menghasilkan pendapatan sebanyak RM 3,407 sahaja!!
Agak menyakitkan hati melihat cara
laporan ini ditulis. Adakah pegawai yang diaudit memberikan maklumat
yang salah kepada pengaudit ataupun ada cubaan pihak tertentu untuk
mensabotaj kerajaan negeri.
Isu ini boleh menjadi besar kalau tidak
ditangani dengan betul. Bagaimana wang sebanyak itu dikeluarkan tapi
hanya mengeluarkan hasil yang boleh diibaratkan sebesar kuman?
Penulis belum habis membaca keseluruhan
laporan, oleh itu akan berkongsi maklumat dengan pembaca dari masa ke
semasa. Tapi dalam masa yang sama penulis menggesa kerajaan negeri
terbabit mengambil tindakan segera bagi memastikan isu ini tidak
berlarutan, seterus menjejaskan imej kerajaan negeri terbabit di mata
rakyat.
No comments:
Post a Comment