Wednesday, September 26, 2012

Tangguh laporan Ketua Audit Negara: BN takut apa?


 DAP hari ini mempersoalkan keengganan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membentangkan laporan Ketua Audit Negara 2011 terlebih dahulu sebelum membentang belanjawan dan menyifatkannya sebagai tindakan yang mempersenda konsep serta prinsip kebebasan autonomi parlimen.


Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya semalam, sama ada laporan tersebut mengandungi ‘bom jangka tersembunyi’ yang akan menjejaskan dan memalukan pentadbiran Najib, semuanya adalah faktor yang tidak berkaitan dan bukan sebab mewajarkan laporan tahunan Ketua Audit Negara kepada Parlimen ditangguhkan.

“Adakah Najib dan Nazri bimbang Laporan Ketua Audit Negara 2011 terhadap Akaun Persekutuan mengandungi pendedahan yang menggemparkan seperti skandal “lembu dan kondominuim” ?” soal beliau.

Tambah Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa pembentangan Laporan Ketua Audit Negara tersebut perlu ditangguhkan seminggu-dua supaya ia tidak “mencuri tumpuan (perdebatan) belanjawan” merupakan salah guna kuasa eksekutif terang-terangan.

Tambah beliau, “Adakah Najib memberikan Nazri ‘lampu hijau’ atau arahan untuk menangguhkan dahulu laporan Ketua Audit Negara 2011 seminggu dua minggu selepas pembentangan belanjawan pada Jumaat nanti?”

“Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sepatutnya menolak campur tangan ini dan mengarahkan agar laporan Ketua Audit Negara tersebut dibentangkan segera tanpa bertangguh-tangguh,” tegasnya.

No comments:

Search This Blog