Al-Masjid al-Aqsa
adalah merupakan masjid ketiga tersuci di dalam agama Islam. Ianya juga
merupakan tempat di mana Allah memperjalankan nabi Muhammad SAW pada
waktu malam semasa peristiwa Isra’ dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke
al-Masjid al-Aqsa di al-Quds. Lokasinya terletak di kawasan yang
diberkati dan suci. Keberkatan kawasan tersebut bukan sahaja dapat
dinikmati daripada aspek keagamaan sahaja, tetapi daripada aspek fizikal
pun dapat dirasai, seperti kesuburan tanah yang menghasilkan produk
perladangan terbaik, cuaca yang nyaman dan seumpamanya. Ramai nabi
menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal di dalam misi dakwah mereka.
Masjid ini juga pernah menjadi kiblat pertama bagi umat Islam.
Suatu
masa dahulu, umat Islam bebas untuk keluar masuk di dalam al-Aqsa.
Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid ini. Apatah
lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad untuk
menziarahinya. Sabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith:
وعن
أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لا تشد
الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، والمسجد الأقصى، ومسجدي متفق
عليه، واللفظ للبخاري
Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata:
Janganlah
bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke tiga
masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan
Masjidku (Masjid Nabi di Madinah)
Sehinggalah
penjajahan Zionis ke atas Palestin, al-Masjid al-Aqsa kini sunyi
daripada pengunjung Muslim bukan Arab. Sekatan serta fatwa pengharaman
menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai ulamak
kerana perlu membayar wang yang banyak kepada penjajah Zionis,
menyebabkan hanya sedikit daripada kita yang mengenali bangunan al-Aqsa
yang sebenarnya.
Di dalam bersemangat mempertahankan al-Aqsa, ada antara umat Islam yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa.
Antara maklumat yang kerap disebarkan melalui rantaian email dan laman web seperti ini, ialah menyatakan yang Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock)
adalah bukan al-Aqsa. Mereka mendakwa yang ianya adalah propaganda
Zionist untuk mengalihkan fokus umat Islam daripada mempertahankan
al-Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Ramai daripada kita yang percaya
dengan maklumat ini.
Gambar yang kerap disebarkan untuk menunjukkan al-Aqsa yang sebenar
Dalam
artikel ini, saya akan cuba berkongsi maklumat yang sebenar mengenai
bangunan al-Masjid al-Aqsa seperti yang dikenali penduduk Palestin. Saya
perlu memberikan kredit kepada pensyarah Universiti al-Najah, Dr Haithem F. al-Ratrout yang telah melakukan kajian perkembangan senibina al-Aqsa di dalam kajian PhD semasa menuntut di Al-Maktoum Institute.
Dr Haithem F. al-Ratrout
Saya
telah mendapat keizinan beliau untuk menyebarkan maklumat kajiannya,
kerana menurut beliau ini merupakan tanggungjawab Muslim bagi
memperkenalkan bangunan al-Aqsa yang sebenarnya.
Pembina Al Aqsa Yang Sebenarnya
Untuk
mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui siapakah
pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih
menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong
hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang
diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
حديث
سليمان بن مهران الأعمش، عن إبراهيم بن يزيد التيمي، عن أبيه، عن أبي ذر
قال: قلت: يا رسول الله أي مسجد وضع أول؟ قال: المسجد الحرام. قلت: ثم أي؟
قال: المسجد الأقصى. قلت: كم بينهما؟ قال: أربعون سنة
Hadith
Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi,
daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada
Rasulullah
“Wahai
Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih dahulu (dalam
sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi,
“Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi,
“Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”….
Berdasarkan
hadith di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram
dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan
umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan
pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama. Justeru, dalam
usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari
siapakah pembina al-Masjid al-Haram di Makkah.
Sebahagian kita berpandangan yang pembina al-Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِيمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَٰعِيلُ
Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).
Jumhur
ulamak, walau bagaimanapun menyatakan yang ayat di atas hanyalah
menunjukkan yang nabi Ibrahim membina kembali tapak al-Masjid al-Haram
yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain, nabi
Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya nabi
Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga bukanlah
orang pertama membina al-Aqsa.
Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari
telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid al-Haram
yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin
Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah
yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam.
Apabila
nabi Adam diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah
pertama di muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling
Ka’bah tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah
itulah merupakan asal bagi al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan
hadith Abu Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya.
Adapun nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan
tersebut yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang
lain.
Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.
Konsep Binaan Masjid Di Dalam Islam
Untuk
mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui konsep
binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang dinamakan
masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:
- Lokasi.
- Sempadan.
- Qiblah.
- Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.
Gabungan
lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud yang masjid
itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad
pun tidak mempunyai bangunan. Yang paling penting ialah, pembina masjid
tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu
kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam
bangunan.
Lokasi Al-Aqsa
Dalam
peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang dikenali
sebagai Pekan Lama atau Old City of Jerusalem, Tebing Barat (West Bank).
Semasa zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kawasan
ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard al-Mubarakah
dan al-Quds. Old City of Jerusalem dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya
terletak kawasan penempatan lama. Ianya agak padat. Dahulu Muslim Arab
merupakan majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang Yahudi semakin
ramai menguasai kawasan penempatan di dalam Old City of Jerusalem.
Turut berada di dalam pagar Old City berkenaan, ialah Holy of Sepulchre,
gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara
pagar Old City.
Pandangan udara Old City of Jerusalem dan al-Aqsa
Plan Kaabah Di Al-Masjid Al-Haram
Selain itu, kita juga perlu
mengetahui bagaimanakah plan asal Ka’bah yang telah dibina oleh nabi
Adam. Ini adalah kerana kita telah faham bahawa pembina kedua-dua
bangunan ini berkemungkinan besar adalah orang yang sama berdasarkan
hadith Abu Dzar tadi. Ramai yang memahami Ka’bah sebagai bangunan
berbentuk kiub yang dilitupi oleh kain kiswah hitam. Fakta ini kurang
tepat, kerana sebenarnya kawasan Hijir Ismail adalah juga sebahagian
Ka’bah berdasar pandangan ramai ulamak. Jika diteliti laporan daripada
al-Azraqi (meninggal 222 H), beliau telah melakarkan plan Ka’bah seperti
yang telah direnovasi oleh nabi Ibrahim seperti imej berikut:
Antara gambar terbaik untuk melihat pandangan udara al-Aqsa ialah seperti berikut.
Secara
ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua monumen
bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas. Hujjahnya
ialah seperti berikut:
1. Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa.
Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang nabi
dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome of the Rock sekarang yang
letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah
tepat sekiranya Dome of the Rock dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.
2. Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan.
Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau
gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan
sempadannya.
3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah.
Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika
dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan
pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap
hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh diperolehi
daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD beliau.
Memang
benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan cadangan
Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan masjid
di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock
sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling
suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan
Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan
qiblat/Ka’bah.
Maka dibinalah bangunan masjid
kecil di selatan sempadan pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh
nabi Adam menghadap ke arah Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan saidina
Umar itu dikenali penduduk tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’
al-Aqsa. Adapun sekiranya menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk
kepada semua yang berada di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi,
termasuklah Jami’ Qibli, Masjid Buraq, pelbagai masjid kecil di
dalamnya, beberapa bilik perpustakaan, pejabat dan kelas pengajian, Dome
of the Rock, Dome of Ascension, Dome of Chain, tanah lapang, dan
lain-lain.
Semua yang berada di dalam garisan kuning di atas adalah al-Masjid al-Aqsa
Kesimpulan
1. Al-Aqsa ialah kawasan yang
meliputi semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa
seperti gambar di atas. Ini termasuklah Dome of the Rock, yang
merupakan sebahagian daripada al-Masjid al-Aqsa.
2. Umat Islam perlu menghentikan
penyebaran maklumat salah yang kononnya Dome of the Rock bukan
sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran Zionis sekarang ialah membina
Haikal Sulaiman di atas tapak Dome of the Rock, yang dianggap sebagai
The Holiest of Holy oleh orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus
kita daripada mempertahankan Dome of the Rock, maka mudahlah orang
Yahudi merampas al-Aqsa.
3. Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr Haithem,
serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah, pembinaan Jami’
Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah pemerintah yang
menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment