Thursday, July 21, 2011

Baharudin Ahmad-Wira Yang Tak Terbela

.
"
Di sesetengah negara, kematian seorang pejuang akan dibela habis-habisan dan menjadi simbol jihad kepada perjuangan suci. Di Mesir umpamanya, kematian seorang pemuda penjual sayur boleh menjadi faktor kebangkitan rakyat sehingga tumbangnya regim Mubarak.

Tetapi tidak begitu di Malaysia. Kematian Baharudin Ahmad bukan sahaja gagal membangkitkan semangat juang malah untuk menuntut keadilan bagi pihak beliau dan keluarga beliau pun umat Islam tidak mampu.

Kita cuma mendengar suara simpati dan rungutan. Kita hanya mendengar permintaan ( bukan desakan) daripada PAS dan BERSIH agar satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kematian beliau. Sehingga kini kita tidak tahu laporan bedah siasat kematian Allahyarham sama ada telah dikeluarkan atau belum oleh pihak hospital.

Siapakah yang sepatutnya memperjuangkan keadilan bagi pihak Allahyarham? Keluarganya secara bersendirian tentulah tidak mampu dan tidak kuat. Orang ramai secara individu samalah seperti anjing menyalak bukit apabila berhadapan dengan kerajaan yang angkuh. Maka yang sewajar mengambil peranan ini ialah satu organisasi massa yang kredibel sama ada BERSIH, PAS atau NGO yang lain.

Apakah rakyat hanya akan jadi pemerhati dan penerima apa sahaja reaksi dan penjelasan pihak berwajib? Andai mereka mendiamkan isu kematian Baharudin Ahmad, adakah rakyat sama-sama turut terdiam. Kalau begini sikap rakyat, percayalah kematian Baharudin Ahmad akan hanya menjadi satu kematian biasa yang tak terbela. Juga sebagai satu kematian yang tidak dimanfaatkan untuk terus melonjakkan momentum kesedaran rakyat.

Yang tinggal untuk Allahyarham Baharudin Ahmad ialah doa yang berpanjangan agar beliau ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang-orang soleh. Yang tinggal hanyalah nama yang harum dalam lipatan sejarah perjuangan keadilan demokrasi di Malaysia. Manakala yang tinggal bagi kita ialah air-air liur yang terludah di pinggiran jalan.

No comments:

Search This Blog