Wednesday, May 4, 2011

Rakyat Sengsara kerana Hutang

Oleh: ruhan

"Umno/BN perlu berasa malu kerana membebankan rakyat sedemikian rupa selama ini. Beban yang dimaksudkan ialah hutang. Antara yang utama ialah hutang isi rumah, iaitu pinjaman perumahan dan pinjaman kereta.  Kedua-duanya sangat mahal.
 
Keadaan ini amat merunsingkan kerana punca keberhutangan rakyat ialah pinjaman perumahan dan kenderaan yang menjadi sebahagian besar dari bayaran pinjaman setiap bulan oleh setiap keluarga di Malaysia.

Hal ini mengurangkan pendapatan boleh belanja rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menaikkan taraf hidup keluarga.
 
Menurut Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan statistik bulan Bank Negara Malaysia, pada akhir November 2010 hutang isi rumah telah mencecah RM577 bilion iaitu bersamaan dengan 74% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
 
Daripada jumlah itu, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion adalah pinjaman peribadi dan RM225 bilion adalah pinjaman perumahan. Ini menimbulkan dua persoalan besar:
 
Pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan yang menjadi sebahagian besar hutang rakyat ialah hutang yang tidak dapat dielakkan. Ketua keluarga sekurang-kurangnya memerlukan sebuah rumah dan sebuah kenderaan.
 
Jumlah hutang kredit kad yang ditanggung rakyat adalah terlalu tinggi, dianggarkan berjumlah RM200 bilion yang mungkin menunjukkan rakyat menggunakan kredit kad untuk menanggung perbelanjaan harian.
 
Angka-angka ini menunjukkan prospek yang malap bagi ekonomi negara dan keupayaan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik, terutamanya apabila kadar gaji tidak meningkat sekian lama.
 
Nisbah 74% “hutang isi rumah kepada KDNK” adalah merunsingkan apabila kerajaan juga terus mengumpulkan hutang negara yang telah melebihi kadar 50% kepada KDNK buat pertama kali dalam sejarah. Kadar keberhutangan sebegini bermakna pendapatan boleh belanja rakyat adalah semakin rendah setiap tahun.
 
Sikap Umno/BN dalam menangani masalah harga kereta dan perumahan yang mahal yang dihadapi rakyat menjadi bukti ketidakpedulian mereka terhadap kesengsaraan rakyat. Rintihan rakyat selama ini tidak langsung diendahkan. Malah harga kereta yang mahal adalah disebabkan dasar Umno/BN yang melindungi kepentingan kroni dengan menindas rakyat.
 
Walaupun secara rasmi hanya 2 juta rakyat Malaysia yang berpendapatan melebihi kadar minimum untuk dicukai, sebenarnya setiap keluarga di Malaysia dikenakan cukai yang lebih tinggi melalui pelbagai cukai yang dikenakan terhadap pembelian kereta. Di samping itu, harga kereta di Malaysia menjadi mahal berlipat kali ganda disebabkan oleh 3 jenis cukai yang dikenakan iaitu cukai import, cukai eksais dan cukai jualan.
 
Hal itu menyebabkan rakyat yang terpaksa mengambil pinjaman untuk membayar cukai, sedangkan kerajaan mengecualikan kenderaan perdagangan dari cukai eksais, Inilah bukti yang menunjukkan bahawa Umno/BN selama-lamanya meletakkan kepentingan perniagaan sebagai asas dasarnya.
 
Harga rumah yang semakin meningkat juga menjadi bebanan kewangan yang tinggi kepada rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan keluarga muda. Untuk memiliki rumah mereka terpaksa memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman dan menanggung bayaran bulan yang terlalu tinggi berbanding gaji yang diperolehi.
 
Bagi setiap keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan, dianggarkan dua pertiga dari gaji mereka digunakan untuk membayar pinjaman rumah dan kereta. Situasi ini menyebabkan baki untuk perbelanjaan makanan, pakaian dan pendidikan menjadi terlalu kecil.

Reaksi Umno/BN terhadap isu ini sungguh mengecewakan. Mereka lari dari berbicara soal sebenar, iaitu kenapa rakyat berhutang sebegitu tinggi? Sebaliknya Umno/BN menggalakkan rakyat memanjang tempoh hutang dan menambah hutang.
 
Walaupun memudahkan rakyat berhutang, tetapi akibat jangka panjang adalah rakyat yang bergelumang dengan bebanan hutang sepanjang masa. Oleh itu, masanya telah tiba untuk rakyat menilai dasar-dasar baru yang radikal untuk mengurangkan harga kereta dan rumah.  Kita mengalu-alukan usaha Pakatan Rakyat untuk menghasilkan dasar ekonomi yang lebih menjurus kepada kesejahteraan rakyat melalui Konvensyen Ekonomi Pakatan Rakyat pada bulan Mac yang lalu.

No comments:

Search This Blog