Friday, May 6, 2011

Kaitan Angka 11, Tarikh Pilihan Raya Umum Dengan Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ramai pihak meramalkan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada tarikh atau bulan yang memiliki angka 11 semata-mata kerana nombor berkenaan adalah kesukaannya.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan bahawa pilihan raya akan diadakan pada tarikh atau bulan yang mempunyai angka kegemarannya itu.
Sehubungan itu, beliau mahu teka-teki bilakah tarikh PRU itu terus menjadi bualan sehingga tarikh sebenar diumumkan kelak.
"Tarikh itu ada kaitan dengan hidup saya, tapi sama ada pilihan raya itu... wallahua'lam.
"Ramai pihak meramalkan bahawa pilihan raya umum kali ini akan diadakan pada 11 November tahun ini (11.11.11).
"Tarikh itu ditimbulkan oleh pihak yang suka membuat teka-teki tarikh pilihan raya "untuk mengisi masa terluang" dan saya rasa elok diteruskan teka teki ini," katanya.
Beliau berkata demikian di stesen radio Hot m selepas menjadi tetamu selama sejam di Sri Pentas di sini, Jumaat.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.
"Tak semestinya pada bulan 11 ataupun 11 haribulan. Ini merupakan satu proses, selagi semboyan belum dibunyikan, kita masih buat kerja," kata beliau.
Terdahulu semasa ditemu bual oleh tiga deejay radio Hot FM iaitu Fara Fauzana, Faizal Ismail dan Kieran dalam slot AM Krew selama sejam, beliau turut menjelaskan buat pertama kalinya kaitan nombor 11 pada dirinya.
Kata Najib, angka itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.
Antaranya ialah Allahyarham bapanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922; ibunya, Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, tarikh lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.
Selain itu, Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11.
Nombor plat kenderaan rasmi beliau juga 11.

No comments:

Search This Blog