Dikerahkan tenaga dan idea untuk majikannya. Diletakkan kesetiaan dan 1001 sifat positif kepada majikannya. Semua arahan dipatuhi dan semua larangan dihindari. Dia tidak berani untuk melawan majikannya kerana dikhuatiri skim pencen yang bakal dinikmati pada usia pencennya nanti terjejas dan berkurangan dari yang sepatutnya.
Dia barangkali lupa bahawa skim pencen yang diharap-harapkan itu belum tentu dapat dinikmatinya. Dia mungkin menemui ajal sebelum sempat menikmati skim pencen itu. Jika umur panjang pun, apalah sangat yang boleh di’enjoy’ tatkala umur sudah melebihi 55 tahun. Badan sudah tidak segar, penyakit sudah datang menyerang, lidah sudah rasa tawar dan mata mulai kelabu.
Walaupun ia skim yang baik dan wajar kita berusaha ke arahnya, namun tidak banyak sangat harapan boleh diletakkan kepada skim pencen ini!
Cuba lihat skim pencen ini pula…
Skim Pencen AkhiratApa kata kita menumpukan dan meletakkan harapan yang tinggi kepada skim pencen ini, iaitu Skim Pencen Akhirat.
Dengan meletakkan majikan kita ialah ALLAH `Azza wa Jalla, kita bekerja keras siang dan malam tanpa lupa matlamatnya ialah untuk mendapatkan keredhaan-NYA. Bukan umur 55 tahun sasaran untuk dinikmati skim pencen ini. Tetapi sasarannya diletakkan pada hari berlakunya Hari Akhirat nanti iaitu hari yang kekal abadi.
Dikerahkan tenaga dan idea untuk Majikan Segala Majikan, iaitu ALLAH. Diletakkan kesetiaan total dan 1001 sifat mahmudah (positif) kepadaNYA. Semua arahan dipatuhi dan semua larangan dihindari hingga terbekal pada diri akan Taqwa. Sifat الخوف (al-khauf = takut) dan الرجاء (ar-roja’ = harap) pula sentiasa mengiringi diri, berada di antara kedua-duanya. Takutkan murkaNYA dan harapkan keredhaanNYA. Takutkan NerakaNYA dan harapkan SyurgaNYA. Dijaga sungguh-sungguh dalam keberhati-hatian agar kehidupan akhiratnya tidak terjejas.
Disebabkan sasarannya ialah Hari Akhirat dan bukan umur 55 tahun, maka jika mati hari ini pun, insyaALLAH dengan rahmatNYA maka manfaat ‘Skim Pencen Akhirat’ ini akan dinikmati. Dan semua harapannya pasti dipenuhi oleh Yang Maha Kaya. Malah ganjarannya sangat lumayan, tidak dapat difikir oleh fikiran dan tidak dapat dibayang oleh mata betapa tingginya ganjaran tersebut.
Malah, jika matinya pada umur yang lewat, Skim Pencen Akhirat ini akan mengembalikan si penerima ganjaran kepada usia belia untuk menikmati semua kenikmatan yang bakal tersedia. Malah sifat gagah dan perkasa berlipat kali ganda dikurniakan kepadanya, melebihi keperkasaannya semasa di dunia. Semua kenikmatan yang tersedia di‘enjoy’ dengan penuh nikmat.
SubhanALLAH, Maha Suci ALLAH!
Skim ini adalah skim yang pasti, pasti untuk mereka yang mahukannya.
Adakah anda dan saya mahukannya?
Berusahalah! Jadikanlah Hari Akhirat sebagai matlamat kita! Alihkan tumpuan kita kepada negeri yang kekal abadi, bukan kepada negeri yang hanya sementara ini. Kerahkan semua tenaga dan fikiran kita kepada Hari Akhirat yang pasti tiba! Belanjakanlah harta untuk memiliki saham di sana. Perbuatkanlah semua usaha untuk mendapatkan redha dan cintaNYA.
Semoga kita semua berolehnya, amin…
3 comments:
ALHAMDULILLAH ALAM YANG KEKAL ITULAH PENCEN SEBENAR !
Salam perjuangan Tuan...Alhamdulillah& InsyaAllah smg kita menuju kearah kebaikan&kerahmatan diakhirat nanti...mohon copy Tuan untuk rakan2 yang lain. Jazakallah!
Salah satu 'Skim Pencen Akhirat'
ada ditawarkan kat sini..
http://abuqital1.wordpress.com/
Salam..
Post a Comment