Tuesday, April 12, 2011

16 April: Tsunami ke-2 Politik Malaysia


"Gempa bumi dan Puting beliung dikatakan terus melanda Sarawak yang menyaksikan program-program ceramah anjuran Pakatan Rakyat terus mendapat sambutan hebat dan luar biasa.

Malah, jumlah yang hadir dikatakan melebihi daripada jangkaan pemimpin pembangkang sendiri, sehingga penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini menyifatkan puting beliung sedang melanda negeri itu.



Pengarah Strategi KEADILAN pula menyifatkan ia  sebagai gempa bumi- sebelum meletus gelombang ombak besar ‘tsunami’ 16 April ini iaitu hari penentuan rakyat Sarawak memilih kerajaan baru.“Sambutan yang kita terima sangat baik dalam tempoh bermula kempen sehingga hari ini. Kalau di kawasan bandar, jumlah kehadiran ceramah-ceramah Pakatan Rakyat mencecah 10 ribu hingga 11 ribu orang. Di kawasan bandar gelombang itu sangat jelas malah kutipan untuk pakatan sahaja mencecah berpuluh ribu ringgit,” katanya.

Secara berseloroh, Rafizi berkata, BN tidak boleh memberikan alasan bahawa jumlah itu disebabkan kehadiran ramai pegawai polis dari cawangan khas, kerana mereka yang hadir turut menderma kepada Pakatan.
Malah katanya, kempen Pakatan di kawasan pedalaman turut mendapat sambutan  luar biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Sarawak kali ini.
Ia ternyata berbeza pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006 dan sebelumnya- apabila pembangkang dikatakan langsung tidak mempunyai tempat untuk berkempen di kawasan pendalaman.
‘Kini apabila pemimpin-pemimpin utama KEADILAN seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Saifuddin Nasution datang ke rumah panjang, tuai rumah atau pemimpin utama rumah panjang membuat upacara istimewa menyambut kehadiran mereka,” ujarnya.
Kata Rafizi, keadaan itu kini benar-benar menggusarkan Najib sehingga terpaksa berkampung dan membawa satu ‘batalion kabinet’ ke negeri itu bagi mempertahankan Sarawak dari jatuh ke Pakatan Rakyat.
Najib kini dikatakan membatalkan semua programnya di semenanjung untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya negeri itu, yang juga dilihat tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini.
“Apabila Najib turun berkampung membawa 1 barisan menteri kabinet di sini, ia membawa petanda baik kepada Pakatan,” tambah beliau.
Katanya lagi, keadaan BN Sarawak yang kini sudah berpecah belah dan bertelingkah sesama sendiri, memberi satu kelebihan kepada Pakatan Rakyat.
Malah Taib Mahmud juga dikatakan sudah lagi tidak sebulu dengan tindak tanduk Najib, apabila bertindak memboikot beberapa program yang dihadiri Presiden Umno itu.
Ia berikutan desakan Najib supaya Taib berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak, selepas pilihan raya tersebut, dan campurtangan Najib yang berlebihan dalam pilihan raya itu.
Namun, Rafizi mengingatkan jentera Pakatan supaya bersiap sedia menghadapi sebarang strategi dan taktik Umno khususnya menjelang saat-saat terakhir pengundian.
“Dua hingga tiga hari sebelum hari mengundi mereka akan tabur duit, mereka akan sabotaj untuk mendapat undi. Ini kerana mood rakyat sedang bersama kita. Kita bimbang BN akan menggunakan sepenuhnya 3M- jentera kerajaan, wang ringgit dan media untuk sabotaj Pakatan Rakyat.
“Mereka akan gunakan fitnah dan sebab itu jentera kita perlu disusun sebaik mungkin” ujar beliau.
Sambutan luar biasa terhadap program Pakatan berlaku di Kuching semalam di mana jumlah hadirin dijangka melebihi 10,000 orang. Jumlah terbesar adalah di Batu Kawah yang dianggarkan tidak kurang daripada 12,000 orang.
Tiga pemimpin utama Pakatan rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penasihat Dap, Lim Kit Siang, menyemarak sambutan rakyat Sarawak, sehingga jalan menuju ke tempat ceramah sesak teruk sejauh 6 kilometer.
Isu video seks palsu langsung tidak memberi kesan kepada pengundi, malah ketika Anwar menyebut mengenainya, kebanyakan yang hadir tertawa  menunjukkan mereka tidak mempercayai tuduhan jahat berkenaan.
Dalam beberapa ceramah sebelum ini seperti di Miri, Senadin dan Bintulu, jumlah kehadiran dijangka melebihi ribuan orang, satu angka yang cukup luar biasa bagi situasi rakyat di Sarawak yang selama ini dianggap konservatif  BN.
Meskipun sesetengah pihak mendakwa , jumlah kehadiran yang begitu ramai belum tentu menjamin kemenangan, namun ia ternyata membangkitkan gelombang dan sentimen rakyat Sarawak yang semakin ghairah untuk menggulingkan Taib Mahmud menjelang 16 April ini.

2 comments:

Anonymous said...

SOAL JAWAP PILIHAN RAYA SARAWAK

Soalan:Apakah hukum mengundi?
Jawapan:Pada asalnya hukum mengundi adalah fardhu kifayah.

Soalan:Bolehkah mengundi dihukum sebagai wajib?
Jawapan:Bergantung kepada situasi dan keadaan,ia boleh menjadi fardhu ‘ain ataupun wajib sekiranya untuk mempertahankan kepimpinan Islam seperti di Sarawak sekarang ini yang berasaskan kepada konsep perkongsian kuasa yang tidak menyalahi syariat Islam.

Soalan:Bagaimanakah ciri-ciri pemimpin yang patut dipilih sebagai umat Islam?
Jawapan:Patuh kepada agama, amanah dan bertanggungjawab kepada rakyat dan bukan bersandarkan unsur-unsur fitnah dan tohmhan semata-mata. Perlu juga dipertimbangkan terhadap jasa, perjuangan, perngorbanan yang telah dilaksanakan oleh seseorang calon itu terhadap pembangunan Sarawak.
Soalan:Sekiranya terdapat beberapa orang calon muslim yang bertanding di sesuatu kawasan,di atas parti politik yang berbeza, bagaimanakah kaedah Islam untuk menentukan calon yang layak menjadi pemimpin, berdasarkan akhlak individu atau prinsip parti?
Jawapan:Pilihlah pemimpin yang cenderung kepada agama dan dapat memberi faedah kepada masyarakat, dan ukurlah juga sejauh mana sumbangan calon-calon tersebut terhadap pembangunan ummah.
Berdasarkan realiti dan situasi politik di Sarawak dengan berpandukan perkongsian kuasa yang telah terbukti kejayaannya, maka pilihlah Parti yang kurang mendatangkan kemudharatan kepada umat Islam. Dan hindarilah mengundi calon parti mereka yang akan mendatangkan kemudharatan yang lebih besar terhadap pembangunan ummah dan memecah belahkan perpaduan masyarakat majmuk,khususnya di Sarawak.

Soalan:Sekiranya terdapat di kawasan kita calon-calon non muslim yang bertanding. Bagaimanakah untuk kita sebagai pengundi untuk memilih pemimpin?
Jawapan:Pilihlah calon non muslim yang lebih prihatin,bertanggungjawab dan lebih memberi manfaat kepada masyarakat Islam sebagaimana yang telah terbukti dalam memimpin negeri Sarawak selama ini yang berasaskan kepada perkongsian kuasa dan saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum dan kepercayaan.

Soalan:Apakah kewajipan wakil rakyat(YB) muslim terhadap rakyat yang pelbagai agama dan kaum yang terletak di kawasan yang dimenanginya?
Jawapan:Islam menuntut agar keadilan dilaksanakan untuk semua tanpa pilih kasih, hatta terhadap mereka yang tidak menyokong(tidak mengundinya) sewaktu pilihan raya.Wujudkan keharmonian, saling hormat-menghormati dan maafkan semua orang yang menentang

Soalan:Apa hukumnya menyebarkan fitnah terhadap seseorang calon bagi mempengaruhi pengundi atau memperdayakan mereka yang tidak mengetahui keadaan yang sebenarnya.
Jawapan:Haram dan berdosa besar!

Bersambung.....

Anonymous said...

Sambungan....

Soalan:Adakah halal elaun@gaji seseorang wakil rakyat(YB) yang memenangi sesuatu pilihanraya disebabkannya melakukan penipuan dan menyebarkan fitnah terhadap lawannya?
Jawapan:Haram! Beliau adalah seorang yang fasiq dan tidak layak menjadi pemimpin.

Soalan:Adakah wajib seseorang calon itu menunaikan janji-janjinya semasa berkempen seandainya dia ditakdirkan sebagai pemenang?
Jawapan:Wajip ditunaikan jika dia memenangi pilihan raya tersebut, walaupun parti yang diwakilinya tidak menjadi pemerintah di negeri itu.Jika tidak ditunaikan maka beliau dikhuatiri menjadi munafik.(sesungguhnya orang-orang munafik itu dibuntut neraka jahanam).

Soalan:Apakah hukumnya mengingkari pemerintah?
Jawapan: “Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram menurut kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Perkataan Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menukil perkataan Ibnu Baththal dalam Fathul Bari,
“Telah berkata Ibnu Baththal dalam hadis yang menjadi hujjah untuk meninggalkan sikap keluar dari ketaatan kepada sultan (pemerintah) walaupun pemerintah tersebut seorang yang jahat, (katanya) “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan (mutaghalib) dan berjihad bersama-samanya. Ini adalah kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.”.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)

Soalan:Dalam kontek Negeri Sarawak, jumlah umat Islam sekitar 25%(tidak ada mana-mana kaum boleh disifatkan sebagai majority:Iban;36%,Cina:32%).Apakah hukumnya individu atau parti yang memecahbelahkan perpaduan dan persaudaraan umat Sarawak yang sangat sedikit itu jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk Sarawak?

Jawapan:Haram, kerana jamaah dan ukhuwah Islamiah mengatasi segala kepentingan parti atau individu terutama sekali di kalangan umat Islam Sarawak yang begitu sedikit. Dan seandainya ditakdirkan umat Islam kehilangan kekuatan dan kuasa memerintah, maka mereka yang terlibat dan bersubahat mengkhianati kepimpinan Islam itu bukan sahaja haram malah berdosa besar!.

Semoga FAQ Pilihan Raya ini ada manfaatnya bagi mereka yang mahu berfikir untuk masa depan rakyat Sarawak.

UMAT ISLAM SARAWAK,RENUNG-RENUNGKANLAH!
JANGAN KERANA SEEKOR DUA NYAMUK YANG MENGHISAP DARAH SEMUA KELAMBU DIBAKAR....!!!!
YANG DIKEJAR TAK DAPAT, YANG DIKENDUNG BERCICIRAN.....!!!

DR MUZZAKIR

Search This Blog