Tuesday, October 19, 2010

Anwar Semakin Hampir Ke Penjara, Bukan Putrajaya. Percubaan Akhir Dapatkan Kenyataan Saksi Ditolak


Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak percubaan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kenyataan saksi Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dirakamkan oleh polis dalam kes tuduhan liwatnya.

Anwar mahu semua kenyataan tersebut kerana beliau mendakwa terdapat percanggahan dalam keterangan Mohd Saiful semasa dalam perbicaraan kes tuduhan liwat terhadapnya sehingga boleh mendorong kebolehpercayaan pengadu dicabar.

Ketua Pembangkang berusia 63 tahun itu mendakwa Mohd Saiful telah memberi keterangan bahawa dakwaan liwat itu berlaku tanpa kerelaannya tetapi dia (Anwar) didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu mengadakan hubungan seksual secara rela.

Mohd Saiful, 25, telahpun memberi keterangan sebagai pengadu dan saksi utama dalam perbicaraan itu.

Dalam keputusan sebulat suara, Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, memutuskan bahawa perintah Mahkamah Tinggi tidak merangkumi definasi perkataan "keputusan" dan ia bukan perintah akhir di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Kami setuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa keputusan mahkamah perbicaraan dalam kes ini bukan merupakan satu keputusan dan ianya tidak boleh dirayu," kata Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong dan Datuk Seri Md Raus Sharif.

Mengenai isu dua mukasurat "alasan lebar" yang dibangkitkan oleh peguam Anwar, Karpal Singh semasa hujahan dalam rayuan itu, Hakim Arifin berkata alasan Mahkamah Rayuan menyifatkan sebagai "alasan lebar" adalah jelas dan menyeluruh kerana ia mengandungi semua bahan dalam hujahan penghakiman.
Pada 19 Ogos lalu, Karpal mendesak Mahkamah Persekutuan untuk mengarahkan Mahkamah Rayuan memberikan alasan lanjutan atas penolakan rayuan Anwar, dengan berkata penghakiman tersebut hanya alasan lebar sahaja.

Bagaimanapun, Hakim Arifin dalam penghakimannya berkata Mahkamah Rayuan telah memberi alasan ringkas dan padat dengan memetik beberapa pihak berkuasa dalam menyokong keputusan mereka.

"Dalam beberapa insiden, alasan penghakiman ringkas dan padat sudah memadai. Dalam kes ini, isu di hadapan Mahkamah Rayuan ialah sama ada terdapat hak untuk merayu terhadap keputusan," katanya.

Beliau menegaskan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi sedang memperjuangkan bahawa hakim perlu berusaha menulis penghakiman ringkas dan padat di mana ia diperlukan.

"Kami sangat bersetuju dengannya. Inilah apa yang dilakukan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini," kata Hakim Arifin dalam penghakiman 19 mukasurat semasa menolak rayuan Anwar itu.

No comments:

Search This Blog