Friday, July 16, 2010

Rasionalisasi Subsidi Gula Dan Minyak

Oleh Nobisha

Malam tadi kerajaan mengumumkan rasionalisasi subsidi bahan api dan gula. Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, rasionalisasi subsidi ini bertujuan membantu Malaysia mencapai kedudukan tanggungjawab fiskal dan meletakkan negara pada kedudukan untuk mengurangkan defisit
Pengumuman ini menyaksikan kenaikan harga gula dan bahan api di pasaran mulai tengah malam ini. Seperti biasa, akan ada dua pandangan yang berbeza dalam isu ini. Satu pihak akan mempertahankan proses rasionalisasi ini, manakala satu pihak yang lain akan menggunakannya bagi memberikan satu lagi alasan mengapakah rakyat perlu mengundi pembangkang dalam PRU13 nanti.


Polemik ini akan berterusan, dan ia adalah sesuatu yang dijangkakan. Saya serahkan kepada kerajaan untuk berkomunikasi secara langsung dengan rakyat dan menyakinkan mereka kepada keperluan proses rasionalisasi ini.

Proses meyakinkan rakyat bukanlah sesuatu yang mudah; apatah lagi sehingga sekarang masih ada sesetengah pemimpin kerajaan (sama ada pemimpin politik atau kakitangan awam) yang hidup mewah. Ini menjadikan rakyat sukar menyokong keperluan proses rasionalisasi subsidi. Hujah yang biasa dan akan selalu kita dengar ialah “rakyat diminta berkorban, sementara pemimpin terus hidup mewah.”

Atas sebab inilah maka saya mengatakan bahawa dalam proses komunikasi, perbuatan adalah lebih penting dari percakapan (actions speak louder than words). Selagi rakyat melihat pemimpin kerajaan hidup mewah, selama itulah mereka akan menjuihkan bibir kepada seruan menyokong proses rasionalisasi subsidi dan menuding jari kesalahan kepada kerajaan.

Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan agar pengumuman rasionalisasi subsidi diikuti dengan tindakan pengurangan gaji dan kemudahan untuk anggota kabinet, kakitangan kanan GLC dan kakitangan pengurusan atas sektor awam.

Tindakan ini boleh sekurang-kurangnya menunjukkan kepada rakyat bahawa pemimpin negara juga sedia mengorbankan sedikit kemudahan tatkala rakyat merasai beban itu. Dalam bahasa yang mudah, rakyat tidak memikul beban tersebut sendirian.

Saya tak fikir rakyat inginkan pemimpin politik hidup merempat. Namun, mereka juga tidak mahu pemimpin masih menunjukkan gaya hidup mewah tatkala kehidupan rakyat menjadi sukar akibat rasionalisasi subsidi ini.

Usah perlekehkan kemampuan intelek rakyat untuk memahami keperluan rasionalisasi subsidi ini. Cuma, pada masa yang sama, usah juga mengharapkan rakyat sendirian memikul beban tersebut!

No comments:

Search This Blog