JUDI dan rasuah adalah haram. Namun perkembangan mutakhir menakutkan. Seorang timbalan menteri beragama Islam mencadangkan akan dihalalkan operasi judi sempena Piala Dunia FIFA. Tak takutkah bala yang akan diturunkan Allah SWT? Bala bukan saja diturunkan ke atas orang yang hendak 'makan' duit judi ini, tetapi semua orang. Inilah yang buat kita takut ini, sudah terbayang 'kena balun' dalam kubur. Ya Allah, Kau jauhkan kami daripada semua ini.
Demikian juga rasuah adalah haram, tetapi amat-amatilah apa yang berlaku di Hulu Selangor. Penulis yang mengikuti buletin TV3 dapat melihat dengan jelas apa yang dikatakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak semasa beliau berkempen di Felda Sungai Buaya.
Pada hari berkenaan, seramai 100 peneroka diberikan wang RM50,000 – tetapi hanya RM1,000 diserahkan pada hari itu, bakinya (RM49,000) melalui bankdraf. Tetapi sehingga artikel ini ditulis, peneroka belum lagi secara sah menerima baki RM49,000 itu.
Najib juga menjanjikan peneroka akan menerima RM160,000 untuk setiap ekar tanah yang akan dibangunkan jika BN dapat menawan kembali negeri Selangor.
Tidakkah janji wang diberikan jika BN dapat tawan Parlimen Hulu Selangor atau rampas Selangor pada pilihan raya umum berikutnya adalah satu bentuk pembelian rasuah untuk mendapatkan undi? Tidakkah ini namanya merasuah pengundi untuk menang pilihan raya?
Kemudian semasa kempen BN berjanji memberikan peruntukan berjumlah RM3 juta kepada SRJK (C) Rasa, Hulu Selangor. Sebaik menang BN mengotakan janjinya. Najib dengan bangganya menyerahkan sebuah replika cek dengan pihak pengurusan sekolah itu. Pada majlis penerimaan cek itu, sejumlah pentadbir sekolah kelihatan ceria.
Najib juga ceria. Di sebelah kirinya berdiri Presiden MCA yang terbabit dalam skandal seks, Dr Chua Soi Lek dengan wajah serius manakala di sisi Dr Chua, Timbalan Presiden MCA, Dato’ Liow Tiow Lai, juga berwajah tegang. Pemimpin MCA ini berwajah serius mungkin kerana memikirkan mengapa ramai orang Cina tidak sokong dan undi calon BN.
Apa yang lucunya (atau sedih), yang bertanding di Hulu Selangor adalah BN (calon MIC), tetapi pada cek itu tertulis jelas perkataan SUMBANGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA, siap dengan logonya sekali. Jadi yang berjanji di Hulu Selangor itu adalah BN tetapi yang menunaikan janji (yang membayar) adalah kerajaan yang mengambil wang itu sebahagiannya daripada hasil cukai yang dibayar semua rakyat, tidak kira status mereka.
Alangkah sedihnya, duit rakyat digunakan untuk membiayai projek BN. Adakah BN=Kerajaan Persekutuan? Jika demikian mudah perkiraan itu, senanglah mentadbir negara, patutlah menurut Ketua Umum KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Umno-BN menabur wang RM100 juta di Hulu Selangor. Hakikatnya, Umno-BN bukan menabur wangnya tetapi MENABUR WANG RAKYAT.
Kini pentadbiran Najib, malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperakui tindakan mereka ini bukan rasuah politik. Mereka tidak bersalah. Apabila rasuah politik ataupun rasuah yang sudah jelas haram di sisi agama Islam dihalalkan oleh puak-puak ini, dikhuatiri ia akan mendatangkan implikasi amat buruk kepada negara.
Golongan ini bijak bermain istilah. Apabila rasuah jelas kejijikannya, mereka menukarnya kepada politik wang. Apabila pemimpin mereka didakwa melakukan politik wang dalam parti, sesetengahnya tidak dikenakan tindakan berat seolah-olah perbuatan mereka itu tidak ada apa-apa malah ada pemimpin pesalah politik wang sekarang ini bukan main lagi bercakap mengenai moral masyarakat, kononnya moral dia baik sangat!
Apabila sesuatu yang haram, dijadikan halal, musnahlah masyarakat. Orang ramai menjadi keliru, tetapi itulah yang dibuat oleh Umno dulu, kini dan harap-harap tidak selamanya. Sebagai contoh amalan bersalaman antara lelaki-perempuan bukan muhrim atau sebaliknya adalah HARAM tetapi seetengah pemimpin Umno mana ada reti bahasa dan hukum. Baik yang lelaki atau perempuan, dengan muka bersahaja mereka bersalaman. Pemimpin lelaki syok bersalaman dengan bini, anak dara orang malah yang perempuan kadang-kadang terlebih sudu daripada kuah; mereka menyuakan tangan. Jelaslah yang haram, dibuat halal. Ini amat bahaya kerana mengelirukan masyarakat.
Apabila yang haram, dibuat-buat halal, pemimpin Umno paling hebat meluluskan kilang arak dan pusat judi dan kasino dan baru-baru ini mereka cuba memberi kelulusan kepada pertaruhan judi bola. Perkara ini jelas haram, tetapi mereka buat-buat tak reti. Itulah sebabnya ramai yang ada saham dalam syarikat judi, ada jadi pengarah dan ahli lembaga pengarahnya pula. Mereka tidak peduli pun apabila Malaysia berada dalam ‘ranking’ tempat ke-10 teratas pengambilan minuman keras terbesar dunia!
Tengoklah apa dah jadi kepada masyarakat apabila yang haram, dibuat-buat halal. Hari-hari ada saja pembunuhan termasuk melalui kaedah pelik seperti suami tikam isteri atau cucu bunuh datuk. Pembuangan bayi semakin menjadi-jadi, penyalahgunaan dadah usah cakaplah, semuanya begitu mengerunkan, orang Melayu tetap paling ‘top’ (Number 1, bukan 1 Malaysia).
Pemimpin Umno-BN apabila menganjurkan majlis, mereka buat secara gah tanpa mempedulikan ajaran agama. Mereka tidak peduli percampuran lelaki-perempuan. Sebagai contoh di Kelantan, boleh diadakan konsert tanpa membabitkan percampuran bebas tetapi apabila diadakan di Danga Bay, Johor Baharu baru-baru ini, lelaki-perempuan bebas terkinja-kinja. Artis perempuan pun boleh berpakaian mengikut cita rasa mereka di pentas. Apabila muda-mudi bebas bergaul, maka mudahlah berlaku perkara keji itu. Banyak ‘bayi haram’ lahir. Sebab itu banyak berlaku buang bayi. Siapa suburkan semua ini, kalau tidak Umno-BN.
Demikianlah apalah sangat halal-haram pada sesetengah pemimpin Umno-BN. Jadi tidak hairanlah, banyak projek mereka main ‘sesah’ saja, yang penting “aku kaya dan terus berkuasa, dulu kini dan selamanya!” Namun ingatlah Firaun yang hidup 500 tahun tanpa sakit itu pun hancur juga, demikian juga dengan Hamman, Qarun, Namrud, Abu Jahal, Abu Lahab dan Bush laknatullah yang siap sedia untuk ditelan bumi! Umno-BN bila lagi?
No comments:
Post a Comment