Tuesday, January 26, 2010

Zambry serta exconya bagai cacing kepanasan

Keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah akan dibuat pada 9 Februari ini, Seluruh rakyat Perak hatta Malaysia sendiri kini tertumpu untuk mengetahui perkembangan terkini isu itu.


Rakyat sudah bosan menyaksikan apa yang berlaku di depan mata mereka sekarang. Soalnya sekarang, apakah akan berlaku jika benar telahan semua pihak keputusan itu akhirnya berpihak kepada Datuk Seri Ir.Mohd Nizar Jamaluddin?.

Ramai dikalangan pemimpin UMNO BN Perak yang tidak suka ini berlaku. Malah Exco Perak Hamidah Osman sendiri mengatakan bahawa satu penghinaan kepada institusi raja dan kehakiman bagi mereka yang membuat spekulasi bahawa mahkamah akan berpihak kepada Nizar dalam kes ini.

Itu bukti jelas bahawa mereka amat takut jika MB Zambry Kadir tumbang pada kali ini. Jika dulu, Mahkamah Rayuan menidakkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Nizar adalah MB yang sah. Kini mereka amat gusar dengan keputusan yang akan dibuat itu sebenarnya.

Zambry Kadir dan barisan exconya kini "tidur tak lena mandi tak basah" gara-gara menanti satu keputusan yang bakal menggugat kedudukannya sekarang ini.

Apapun keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, ternyata kini bahawa Zambry Kadir adalah "MB Haram" yang telah memerintah Negeri Perak tanpa amanat rakyat.

Maka, atas undang-undang mana yang beliau gunakan untuk luluskan Bajet Negeri yang mencecah billion ringgit itu agaknya.

Walhal beliau bukanlah MB Perak yang sah lagi sebenarnya. Mahkamah tertinggi negara belum memutuskan perkara ini, sewajarnya Zambry tidak boleh terkinja-kinja mengatakan BN menang di Perak dan beliau MB yang sah.

Cara perlantikkan dan kemenangan yang cukup memalukan itu jelas sekali menipu rakyat. Hak rakyat untuk pilihanraya semua dinafikan atas berbagai alasan yang tidak munasabah. Walhal BN takut untuk berhadapan dengan suara rakyat itu sendiri sebenarnya.

Mereka tahu, bahawa majoriti rakyat Perak tidak mahu lagi UMNO BN mentadbir negeri itu. Mereka mahu Pakatan Rakyat berkuasa kerana yakin dengan corak kepimpinan dan masa depan mereka.

Sungguh memalukan, gara-gara terlalu kemaruk untuk berkuasa maka Zambry Kadir membelakangkan perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri. Mengaku beliau adalah MB yang sah, sedangkan keputusan mahkamah tertinggi masih belum dimuktamadkan.

Rakyat juga amat terkejut, dalam keadaan MB Perak yang masih "tergantung" itu, pihak polis sanggup bertindak keras terhadap ADUN Pakatan Rakyat ketika Sidang Dewan Undangan Negeri di adakan sebelum ini.

Akhirnya berlakulah berbagai peristiwa yang cukup memalukan negara di mata dunia seperti membenarkan pihak polis masuk ke dalam DUN, mengangkat dan mengheret speaker keluar dewan serta bertindak kejam terhadap ADUN Pakatan Rakyat hingga berlakunya Mesyuarat DUN di bawah pokok selepas itu.

Semua ini adalah satu rentetan daripada penghinaan buat Kerajaan Negeri Perak itu sendiri. Anehnya suara rakyat terus dinafikan, sehingga ke hari ini.

Dan kini, nampaknya keputusan yang sudah pasti cukup menggemparkan akan berlaku. Siapakah MB Perak yang sah akan diketahui 9 Februari ini.

Jika Zambry menang, maka beliau akan terus kekal sebagai MB Perak. Namun, bayangkan jika Nizar menang?

Bukankah satu episod yang lebih memalukan akan berlaku di Perak selepas ini. Apapun sama-sama kita nantikan episod terakhir ini.

Difahamkan Pakatan Rakyat telah mengarahkan jentera pilihanraya mereka bersiap sedia sekarang ini. Ini berikutan terdapat spekulasi Nizar akan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak sekiranya beliau menang dalam kes ini.

Jika ini berlaku, sudah pasti ramai pemimpin UMNO BN akan bertambah terluka sebenarnya. Mereka amat takutkan suara rakyat, malahan mereka tahu rakyat akan menghakimi mereka selepas ini.

Justeru itulah mereka tidak mahu suara menentukan siapakan MB dan kerajaan yang mentadbir Perak diserahkan kepada rakyat.

Apa yang penting, sudah pasti ramai ADUN dan Exco Perak sedia ada sekarang ini bakal berputih mata sekiranya pilihanraya negeri diadakan semula.

Kemungkinan besar Zambry dan Hamidah juga akan tumbang di kawasan mereka sendiri. Inilah yang amat ditakutkan sangat oleh puak mereka.

No comments:

Search This Blog