Friday, January 29, 2010

HADAPI 9HB FEBRUARI DENGAN TENANG, SABAR DAN TAWAKKAL

Menjelang penghakiman siapa MB Perak yang sah oleh Mahkamah Federal pada 9 Februari ini, PAS Perak akan menghadapinya dengan tenang, sabar dan bertawakkal kepada Allah swt. Justeru itu ahli-ahli dan para penyokong PAS seluruh Perak hendaklah memberi tumpuan untuk solat Hajat dan Munajat setiap malam kepada Allah swt supaya Hj Nizar diberi kemenangan dalam kes ini.


Kemenangan Hj Nizar nanti merupakan kemenangan rakyat dan demokrasi di Perak. Hj Nizar dan Pakatan Rakyat bukan gila kuasa, tetapi mahu mengembalikan semula kuasa kepada rakyat yang pada pilihanraya 2008 lalu memberi mandat kepada PR menerajui Perak. Namun Mandat rakyat 2008 hanya bertahan 11 bulan sahaja apabila 3 orang wakil rakyat dari PKR dan DAP telah menodai amanah rakyat melalui perbuatan khianat yang dilakukan oleh mereka. Dan UMNO BNlah konspirator utamanya. Perbuatan khianat merekalah penyebab jatuhnya kerajaan PR, mereka perlu diajar melalui demokrasi dengan pembubaran DUN. Hj Nizar tidak perlu menunggu lama dan tidak pula pula tergopoh gapah bagi mengadap Tuanku Sultan Perak bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

Yang penting kemenangan Hj Nizar sebagai MB Perak yang sah, Insya Allah melalui kemenangan ini, keadilan demokrasi akan dipulihkan. Rakyat merupakan hakim yang paling sah dan adil dalam menentukan kerajaan yang sah di Perak.

Sementara menunggu penghakiman pada 9hb Februari ini, semua pihak terutama UMNO BN jangan cuba mempengaruhi para hakim dalam membuat keputusan. Penghakiman hendaklah bebas dari mana-mana unsur yang boleh menjatuhkan kredibiliti sistem kehakiman. Rakyat sebelum ini hilang kepercayaan kepada sistem penghakiman selepas peristiwa Tun Salleh Abbas dipecat daripada Ketua Hakim Negara dan pendedahan video Linggam yang jelas menjejaskan kredibiliti para hakim.

Kempen kemenangan Hj Nizar akan terus dijalankan oleh PR melalui berbagai program. Antaranya solat Hajat Perdana peringkat negeri akan di buat di Taman Meru pada 1 Februari ini, PAS seluruh kawasan pula akan menganjurkan solat Hajat di markaz-markaz setiap malam.

Ahli-ahli PAS terutama para alim ulamanya diharap dapat menghidupkan malam dengan munjat kepada Allah swt.

No comments:

Search This Blog