Saturday, December 19, 2009

Rakyat dibebani RM6.4 bilion cukai


Pasukan Khas Anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyifatkan pengenalan cukai itu akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperoleh daripada pihak industri.

Ahli Jawatankuasanya, Tony Pua berkata, kenyataan bahawa rakyat tidak terbeban dengan pengenalan cukai tersebut dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan negara sebagai tidak masuk akal.

“Jika perolehan cukai daripada peniaga akan dikurangkan sehingga RM5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM6.4 bilion akan diperoleh daripada rakyat.

“Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi? Pengecualian cukai RM6.4 bilion yang dinikmati oleh peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini.

Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Anti-GST, Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menganjurkan sesi jelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai GST.

“Pakatan Rakyat (PR) akan jelajah seluruh negara bulan depan memberi kesedaran kepada rakyat dan menerima maklum balas mereka yang terdiri daripada ahli akademik dan pakar industri," katanya.

No comments:

Search This Blog