Hakim Datuk Alauddin Mohd Sheriff berkata ia diputuskan sebulat suara dan tiada perintah dibuat mengenai kosnya.
Keputusan tersebut menimbulkan tandatanya kerana mahkamah tertinggi di negara ini itu sebelum ini pernah membenarkan panel tujuh hakim mendengar dua kes dadah.
Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mewakili Nizar, sebelum itu berhujah bahawa panel 11 hakim itu penting kerana kes itu membabitkan kepentingan awam dan banyak implikasinya.
Katanya, ia juga memberi kesan pada semua negeri dan serta Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, katanya, seluruh dunia sedang mengikuti kes tersebut, termasuk para akademik dan orang awam "kerana ini adalah satu kes yang unik".
Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang membantu menterjemah perlembagaan Perak dan perlembagaan Persekutuan, berkata permohonan tersebut tidak seharusnya dibuat melalui usul.
Sebaliknya, kata beliau, ia seharusnya dibuat melalui semakan kehakiman.
Keputusan rayuan Nizar, akan menentukan masa depan kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang ditumbangkan Februari lalu selepas beberapa wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).
Ia juga bukan sahaja akan menentukan menteri besar Perak yang sah tetapi juga akan menjadi duluan bagi kes-kes yang serupa pada masa depan.Panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut.
Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.
Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.
Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.
No comments:
Post a Comment